Jawatankuasa Audit perlu pastikan integriti pelaporan kewangan

Jawatankuasa Audit perlu pastikan integriti pelaporan kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Audit syarikat tersenarai awam (PLC) diminta mewujud dan mengekalkan persekitaran yang menyokong dan menegakkan kebebasan juruaudit serta kualiti audit yang tinggi.

Menurut Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), ia bagi memastikan maklumat kewangan yang telah diaudit boleh dipercayai dapat disediakan untuk memudahkan keputusan termaklum oleh pengguna.

AOB, pada siri dialog maya bersama 823 ahli Jawatankuasa Audit daripada 723 PLS baru-baru ini, turut mengingatkan bahawa ahli Jawatankuasa Audit memainkan peranan penting dalam menetapkan nada yang betul untuk proses pelaporan kewangan syarikat dan membolehkan hubungan kerja rapat antara Jawatankuasa Audit dan pihak juruaudit bebas.

Lembaga itu turut menekankan bahawa pengawasan berkesan oleh Jawatankuasa Audit yang kukuh, berpengatahuan dan bebas akan meningkatkan lagi kualiti audit dalam pasaran.

“Menyedari perkara ini, AOB telah kerap berhubung dengan Jawatankuasa Audit dalam memastikan mereka maklum dan sentiasa mengikuti maklumat yang berkaitan untuk melaksanakan tanggungjawab pengawasan mereka dengan berkesan,” jelas SC dalam kenyataan.

Pada siri dialog itu, AOB turut berkongsi hasil tinjauannya mengenai ‘Pelaporan Ketelusan oleh Firma Audit’, yang berdasarkan maklum balas daripada seramai 151 ahli Jawatankuasa Audit.

AOB berkata, walaupun 89 peratus daripada responden kaji selidik mengetahui keperluan bagi firma audit untuk menghasilkan Laporan Ketelusan, namun, hanya 68 peratus daripada responden telah membaca Laporan Ketelusan.

“AOB menggalakkan ahli Jawatankuasa Audit membaca laporan, memandangkan 94 peratus daripada responden tinjauan yang telah berbuat demikian mendapati maklumat yang didedahkan berguna untuk memudahkan pemilihan dan penilaian yang lebih berkesan ke arah pelantikan (termasuk pelantikan semula) juruaudit luar.

“Untuk tadbir urus korporat yang baik, keputusan untuk pelantikan atau pelantikan semula juruaudit hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa Audit dan bukannya pengurusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, diperkenalkan pada Disember 2019, Laporan Ketelusan dikeluarkan oleh firma audit berdaftar tertentu yang memenuhi kriteria pelaporan mandatori seperti yang ditetapkan oleh AOB.

Laporan Ketelusan menyediakan maklumat tentang struktur perundangan dan tadbir urus firma, langkah yang diambil oleh firma untuk menegakkan kualiti audit dan mengurus risikonya, serta maklumat tentang pengukuran penunjuk kualiti audit firma, jelasnya.

Siri dialog yang diadakan pada 17 November dan 6 Disember 2022, mencerminkan usaha SC untuk menambah baik tadbir urus korporat dalam PLC serta mengukuhkan ekosistem untuk kualiti audit dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang telah diaudit.

Ia juga menyediakan platform untuk Jawatankuasa Audit membangkitkan sebarang isu berkenaan dengan fungsi pengawasan mereka dan berkongsi amalan baik dalam menyokong kualiti audit, tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×