KUALA KRAI: Apabila musim tengkujuh tiba, golongan penoreh getah dan nelayan adalah antara yang paling terkesan kerana tidak dapat keluar untuk mencari rezeki seperti biasa.
Bergantung kepada keadaan cuaca, kedua-dua kelompok itu kadangkala buntu memikirkan cara untuk menambah kantung kewangan mereka yang semakin nipis.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penoreh mendedahkan mereka terpaksa ‘berehat’ sejak akhir November lalu sehingga sekarang akibat hujan lebat hampir setiap hari.
Seorang penoreh dari Kampung Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Pas, Ruhana Mat, 62, berkata, kantung kewangannya semakin nipis selepas beberapa minggu tidak dapat keluar mencari rezeki akibat cuaca tidak menentu.
Katanya, menoreh getah adalah punca utama untuk menyara keluarga dan dia bergantung sepenuhnya kepada Banduan Musim Tengkujuh (BMT) yang diterima sebanyak RM300 pada bulan lalu.
“Keadaaan cuaca sekarang ini tidak mengizinkan saya untuk keluar menoreh. Malah, pada November lalu, saya hanya dapat keluar menoreh getah beberapa hari sahaja dan ini amat dirasai ditambah dengan harga getah murah ketika ini iaitu RM2.50 sekilogram.
Sementara itu, seorang lagi penoreh getah, Aziz Nor, 43, berkata, ketika ini dia tidak dapat keluar menoreh dan segala perbelanjaan hanya bergantung sepenuhnya kepada BMT yang diterimanya bulan lepas selain terpaksa mengambil upah mencuci kebun bagi menambah pendapatan.
Katanya, dia sangat berharap kerajaan baharu dapat menaikkan harga getah sesuai dengan peningkatan kos sara hidup kini.
“Sekarang ini, penoreh getah hanya bergantung kepada BMT dan ia pasti amat menyukarkan kami kerana bantuan itu sahaja tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, di KUALA NERUS, Terengganu, nelayan di Pantai Tok Jembal di sini terpaksa mempertaruhkan nyawa turun ke laut mencari rezeki demi menampung perbelanjaan keluarga.
Seorang nelayan, Mohd. Nazarudin Abdullah, 47, berkata, dia nekad turun ke laut walaupun berdepan detik cemas ketika di tengah laut apabila angin kencang dan ombak setinggi hampir dua meter kerana itulah punca utama pendapatan keluarganya.
“Menjadi nelayan sejak 34 tahun lalu adalah pekerjaan tetap untuk menyara isteri dan enam anak. Sebab itu saya tiada pilihan terpaksa turun ke laut,” katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal, di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya keadaan cuaca terlalu buruk dan membahaya keselamatan, dia terpaksa akur dengan keadaan demi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Seorang lagi nelayan, Che Ghani Abdullah, 58, berkata, dia bercadang untuk mencari pekerjaan sementara sambil menunggu keadaan cuaca pulih dan kembali turun ke laut.
Menurutnya, sebagai nelayan yang ‘makan gaji’ harian, dia hilang sumber pendapatan sejak tiga hari lalu disebabkan air pasang besar dan musim tengkujuh ini.
“Awal minggu lalu saya turun ke laut pun airnya sudah bergelora dan hasil tangkapan juga tidak menentu. Namun sekurang-kurangnya ada duit belanja untuk membeli keperluan asas.
“Dengan cuaca ketika ini, bot kecil tidak sesuai untuk keluar menangkap ikan walaupun berhampiran muara. Jadi saya mencari pekerjaan lain sebagai pendapatan sampingan,” katanya. – UTUSAN










