PETALING JAYA: Bursa Malaysia Derivatives Berhad melancarkan kontrak FTSE4Good Bursa Malaysia Index Futures (F4GM) dalam tunai bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur Malaysia untuk memasukkan tema pelaburan mampan ke dalam portfolio.
F4GM ialah kontrak niaga hadapan berasaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertama yang dilancarkan oleh Bursa Derivatives dengan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) sebagai instrumen asasnya.
Indeks F4GBM mengukur prestasi lebih daripada 80 syarikat senarai awam Malaysia (PLC) dari seluruh segmen permodalan pasaran kecil, sederhana dan besar dengan amalan ESG yang kukuh.
Pemangku Pengarah Bursa Derivatives, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, pelancaran F4GM adalah selaras dengan aspirasi bursa untuk menawarkan rangkaian produk yang pelbagai untuk pelaburan bertanggungjawab.
“Dengan F4GM, pelabur Malaysia mampu menyelaraskan matlamat kewangan mereka dengan nilai ESG.
“Ia juga merupakan jalan baharu yang membolehkan lebih banyak modal mengalir dalam pelaburan yang mampan, menyokong pertumbuhan PLC Malaysia yang mematuhi ESG dan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Indeks F4GBM menyediakan penanda aras untuk membuat pelaburan dalam PLC dengan amalan ESG yang dinilai dan ditapis, manakala F4GM akan tersedia untuk dagangan mulai 12 Disember ini melalui CME Globex, platform dagangan elektronik global.
Kontrak itu juga akan dimasukkan dalam sesi dagangan selepas waktu kerja. – UTUSAN










