Bekas kekasih, merubah cinta Aiza terhadap suami - Utusan Malaysia

Bekas kekasih, merubah cinta Aiza terhadap suami

Perkongsian hidup pasangan itu terlerai disebabkan perubahan sikap Aiza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pembohongan, pengkhianatan dan kecurangan seseorang akan menimbulkan rasa sakit dan dendam dalam sesebuah hubungan suami isteri.

Perkara ini juga akan mematikan kepercayaan dan kasih sayang yang sebelum ini tertanam.

Lebih-lebih lagi kecurangan melibatkan isteri dengan lelaki lain.

Ada banyak faktor yang menyebabkan isteri curang antaranya suami tidak memberikan tumpuan kepada isteri, kurang kasih sayang, diabaikan dan kahwin paksa.

Minggu ini saya kongsikan kisah isteri curang dengan lelaki lain, tetapi suami tetap memaafkan.

Kisah Aiza (bukan nama sebenar) diceritakan oleh bekas suaminya sendiri, Rashid (bukan nama sebenar) dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini.

Bukan mahu membuka aib sesiapa, Rashid mengakui segala perkongsian itu bertujuan menyedarkan kaum lelaki bahawa tanggungjawab mereka sebagai suami sangat luas dan besar.

Sebagai ketua keluarga, mereka juga pencari nafkah, pelindung, pemimpin dan pendidik untuk isteri dan anak-anak.

Sepanjang perbualan hampir dua jam itu, Rashid tidak pernah menyalahkan 100 peratus kepada bekas isteri atas apa yang terjadi.

Sebaliknya ia disebabkan oleh kekurangan dan kesalahannya sendiri.

Mengimbas kisah empat tahun lalu, Rashid mula dapat menghidu perubahan isteri selepas pulang dari tugasan luar daerah pada pertengahan Oktober 2017.

Jika sebelum itu, Aiza seorang isteri yang memahami dan tenang, berbeza kali itu perkara kecil pun membuatkan isterinya cepat marah seterusnya membawa kepada pergaduhan.

Mengimbas detik manis, Rashid dan Aiza bercinta sejak di zaman universiti.

Hasil perkahwinan berlandaskan cinta itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, masing-masing berusia 6 dan dua tahun.

Bagaimanapun, bahtera perkahwinan dilayari hampir 7 tahun itu diuji sehingga menyebabkan musnah pada pertengahan Mei 2018.

Perkongsian hidup pasangan itu terlerai disebabkan perubahan sikap ditunjukkan Aiza angkara curang dengan rakan sekolah lama yang juga bekas teman lelakinya.

Sambung Rashid, dia mula menghidu kehadiran orang ketiga dalam rumah tangganya selepas melihat sikap Aiza yang gemar berhias setiap kali keluar bekerja.

Aiza juga banyak menghabiskan masa dengan menghadap telefon bimbit ketika di rumah dan menyerahkan tanggungjawab sebagai ibu kepada pembantu rumah sepenuhnya.

Pada awalnya, Rahsid menganggap perubahan sikap ditunjukkan oleh Aiza adalah normal. Namun lama -kelamaan sikapnya semakin menjadi-jadi.

Jika sebelum itu, setiap kali dia pulang dari tugas luar daerah mereka akan keluar makan malam bersama pada hari berikutnya.

Namun berbeza pada kali itu, permintaan Rashid ditolak dengan alasan dia ada tugasan yang perlu disiapkan di pejabat.

Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali seolah-olah isteri cuba mengelak diri daripadanya.

Telahan Rahsid terhadap Aiza terjawab apabila pada satu hari dia melihat sendiri kemesraan isterinya sedang makan berdua bersama seorang lelaki di sebuah kafe erhampiran pejabat.

Ketika itu Rahsid sengaja tidak memberitahu kehadirannya kerana mahu memberi kejutan kepada isteri.

Dia yang pulang lebih awal selepas tugasannya selesai terus ke pejabat isterinya di Damansara.

Selepas kejadian itu, Rashid masih cuba berbaik sangka.

Pun begitu perubahan sikap Aiza semakin menjadi-jadi.

Setiap kali mahu melakukan hubungan intim, permintaannya ditolak.

Enggan terus membebankan fikiran, Rashid mengupah seorang penyiasat dan bertanya kepada kenalan rapat isteri.

Ternyata lelaki yang rapat dengan isterinya itu merupakan teman sekolah lama yang bertugas di bangunan bersebelahan pejabat isteri.

Silapnya Rashid ketika itu dia langsung tidak pernah bertanya kepada isteri dan masih tidak menganggap hubungan mereka serius.

Dia terus sibuk dengan kerjanya yang sering ke luar daerah dan mengambil sikap mengunci mulut.

Hari berganti minggu, minggu beralih bulan dan hampir setahun juga isteri mengadakan hubungan terlarang dengan lelaki berkenaan.

Sehinggalah sampai ke kemuncaknya apabila Rashid berjaya menangkap isteri curang di sebuah hotel di ibu negara.

Setelah pulang ke rumah, Rashid menyoal kepada isteri buat pertama kali mengenai hubungannya dengan lelaki itu.

Tanpa berdolak dalih, isterinya mengakui dia sudah jatuh cinta dengan lelaki itu.

Setiap kali berada bersama lelaki itu, isteri berasa selamat dan dihargai.

Berbanding dengan suami sendiri yang sering sibuk dengan urusan kerja dan tidak pernah bertanya tentang kehendak serta kemahuannya sebagai seorang isteri.

Rashid mulai sedar, dia tidak mampu mempertahankan rumah tangganya disebabkan Aiza sendiri minta dilepaskan secara baik kerana enggan terus menanggung dosa.

Selepas berfikir panjang, dia mengambil keputusan menceraikan Aiza di mahkamah syarikah bagi membolehkan isterinya hidup bersama dengan lelaki berkenaan.

Tambah Rashid, dia enggan menjadi lelaki dayus. Walaupun masih sayangkan Aiza dan memaafkan, dia terpaksa melepaskan bagi membolehkan mereka membawa haluan masing-masing.

Rashid juga bersyukur kerana mahkamah syariah turut menetapkan hak penjagaan kedua-dua orang anak mereka kepadanya.

Tidak dinafikan bukan mudah untuk mereka yang sudah berpisah menjalani hidup bekerjasama dalam hal melibatkan kepentingan anak-anak.

Bagi Rashid, bercerai tidaklah bermaksud untuk bermusuh. Apa dilakukan adalah terus melihat ke depan.

Sesungguhnya, Allah memberi amanah kepimpinan kepada suami bukan sebagai kemuliaan semata-mata, tetapi bersama tugasan berat dalam memelihara kemaslahatan seisi keluarga.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud:
Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dan dengan apa yang dinafkahkan dari harta kamu.” (Surah An-Nisa’:34).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×