Tidak perlu asingkan fungsi jika amanah

Tidak perlu asingkan fungsi Peguam Negara jika amanah

Pendakwaan
ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha menga­singkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi mereformasikan institusi keadilan tidak akan berjaya selagi individu yang berada dalam kedudukan itu tidak amanah dan jujur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, institusi keadilan negara hanya dapat ditegakkan sekiranya kerajaan melantik individu yang benar-benar berprinsip dan melangkaui campur tangan politik.

“Saya fikir tidak akan menjadi masalah sekiranya kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bersekali, jika melantik mereka yang sesuai ke dalam jawatan itu. Kalau orang yang dilantik bukan sela­yaknya, tidak jujur dan tidak tegas maka kita tidak akan ke mana-mana.

“Lihat sahajalah bagaimana pihak yang pernah dilantik sebelum ini, ada kes-kes mahkamah beberapa pemimpin yang sedang berjalan secara tiba-tiba ditarik semula. Sehingga kini tiada tindakan terhadap mereka.

CABARAN

“Semasa saya menjadi peguam negara dahulu, saya juga berdepan dengan pelbagai cabaran. Kerajaan tidak bersetuju tetapi saya tetap teruskan pendakwaan meskipun saya adalah peguam negara waktu itu, sebab saya tahu ini adalah tanggungjawab saya demi keadilan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said kelmarin memulakan langkah pertama untuk pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dengan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian Jabatan Peguam Negara.

Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan di bawah Perkara 145 (3). Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah menjadi tuntutan sekian lama, kerana ia sering dikaitkan dengan apa yang dikata penganalisis politik dan pengamal undang-undang sebagai ‘pendakwaan terpilih’.

Pada 2015, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlepas daripada dakwaan atas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015 apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Patail digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Kes bekas ahli Parlimen Pekan itu hanya bermula selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan Tan Sri Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara.

Namun, Tommy juga menggugurkan pendakwaan banyak kes melibatkan pemimpin PH termasuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas pertuduhan rasuah pembelian banglo di bawah nilai pasaran dan P Gunasekaran (memberi sokongan kepada LTTE). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×