Jata Negara atau Lambang Malaysia secara jelas terpahat kata semboyan: Bersekutu Bertambah Mutu. Ia membawa prinsip bahawa Malaysia adalah negara yang mementingkan persatuan, bukan perpecahan.
Walaupun kata semboyan ini sudah terpahat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, apakah kita rakyat Malaysia benar-benar menghayati dan berpegang dengan prinsip yang diwariskan oleh leluhur kita?
Dalam ruang ini, penulis pernah menyebut tentang bagaimana negara Islam di Andalusia yang telah bertapak sejak tahun 711 Masihi telah runtuh dengan reconquista dari kuasa Katolik Sepanyol pada tahun 1492 Masihi. Setidaknya selama tujuh abad lamanya Andalusia hidup dalam masyarakat majmuk iaitu umat Islam, Katolik dan Yahudi.
Pemerintahan umat Islam ketika itu juga terlihat sebagai pemerintahan yang berada di dalam zaman keemasan dengan perkembangan sains, teknologi, tamadun, sastera, pembangunan dan falsafah. Siapa tidak kenal Ibn Firnas (w. 887 M) seorang muslim Andalusia yang berusaha mencipta teknologi terbang.
Ahli Falsafah Ibn Rushd (w. 1198 M) seorang sarjana Islam yang dikenal di Eropah sebagai Averroes. Beliau bukan hanya pakar dalam ilmu akidah dan falsafah akan tetapi kepakaran beliau juga di dalam bidang perubatan.
Salah satu faktor utama runtuhnya kerajaan Islam terakhir Andalusia di kota Granada adalah umat Islam ketika itu tidak bersatu.
Mereka berpecah-belah dan bergaduh sesama sendiri. Munculnya kerajaan “Taifa-Taifa” iaitu suku-suku tertentu menyebabkan umat Islam mudah dikalahkan. Satu persatu kota Islam jatuh di tangan musuh, bermula dari Cordova, Sevilla dan akhirnya Granada pada tahun 1492 M.
Perkara yang sama juga berlaku di Kepulauan Melayu. Tidakkah bangsa ini lupa dengan strategi divide et impera atau politik adu domba yang diterapkan oleh kuasa kolonial Eropah di nusantara. Sehinggakan kesultanan-kesultanan di pelbagai pulau saling berperang sesama sendiri.
Akhirnya setiap inci tanah bangsa Nusantara dijajah oleh berbagai kekuatan Eropah seperti British, Belanda, Portugis dan Sepanyol. Akibat berpecah-belah, umat Islam kehilangan daulat dan kekayaan.
Sebab itulah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. (ali-Imran: 103)
Imam Ibn Kathir (w. 1373 M) mentafsirkan ayat ini sebagai perintah Allah SWT kepada umat Islam untuk bersatu dan melarang mereka berpecah-belah. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah meredhai kalian pada tiga perkara dan memurkai kalian pada tiga perkara; Allah reda kepada kalian apabila beribadah hanya kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, berpegang teguh kepada tali agama Allah dan janganlah kalian berpecah belah, saling nasihat menasihati kepada pemimpin-pemimpin kalian. Dan Allah SWT membenci khabar angin (desas-desus), membenci banyak bertanya dan pembaziran. (Riwayat Muslim].
Dalil-dalil ini adalah bukti nyata kepada umat Islam betapa pentingnya untuk bersatu. Oleh sebab itu Allah SWT mengingatkan kepada para sahabat masa silam mereka ketika zaman jahiliah betapa mereka bercerai-berai dan ketika mendapat hidayah Islam, mereka bersatu, dan ia adalah nikmat yang besar.
Allah SWT berfirman setelah ayat di atas:..dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan dahulu, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. (ali-Imran: 103)
Bagaimana pula dengan umat Islam hari ini? Apakah mereka lupa dengan sejarah? Atau mereka masih belum mengambil ibrah daripada sejarah yang berlaku?
Tidakkah mereka belajar daripada sejarah bagaimana Khilafah Uthmaniah yang besar dan agung runtuh berkecai kerana susahnya menyatukan kembali umat Islam yang berpecah-belah, mementingkan kuasa dan perut masing-masing sehingga tergadai harta, tanah dan maruah di Asia Barat?
Rasulullah SAW pernah bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara kepada muslim yang lain (Riwayat Bukhari dan Muslim)
TETAP BERSATU
Dapat difahami pergaduhan apa pun yang terjadi sesama saudara, akhirnya tetap bersatu dan berdamai, kerana mereka diibaratkan satu anggota tubuh.
Jika satu anggota sakit, maka anggota lainnya juga akan merasa sakit. Allah SWT berfirman: Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu perbaikilah hubungan antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat: 10).
Ayat ini adalah perintah untuk bersegera memperbaiki hubungan dua orang atau kelompok yang sedang dalam pertikaian.
Umat Islam juga dituntut sentiasa menjaga persatuan dan tidak menimbulkan fitnah yang dapat memecah-belahkan umat Islam.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: Fitnah itu sedang tidur, Allah melaknat orang yang membangunkannya. Walaupun hadis ini dianggap lemah oleh Imam al-Suyuthi (w. 1505 M), ia berfaedah agar umat Islam tidak melakukan perkara yang dapat menyebabkan pertikaian antara sesama umat.
Bahkan Syed Muhammad bin Ahmad al-Shathiri (w. 1422 H) menjelaskan, berdasarkan hadis ini, sengaja menyalakan api fitnah yang memecahkan persaudaraan umat Islam adalah dilarang walaupun kadang-kadang ia dilakukan atas nama Islam atau amar makruf nahi munkar.
Marilah kita renungkan, setelah sekian lama negara merdeka pada 1957, apakah kita betul-betul menghayati, mengamalkan dan istiqamah dengan semboyan Bersekutu Bertambah Mutu? Atau negara ini semakin berpecah-belah dengan berbagai fitnah mula dinyalakan untuk kepentingan diri sendiri atau kelompok masing-masing?
Lebih-lebih lagi ketika negara sedang diuji dengan musibah Covid-19. Semoga bangsa ini dapat menjaga kesatuan dan perpaduan, amin ya rabb!
————–
Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felow Kehormat IKIM.










