Belanja RM1,000 bina bangsal terapung hadapi banjir - Utusan Malaysia

Belanja RM1,000 bina bangsal terapung hadapi banjir

FAUZI Dollah menyiapkan bangsal terapung yang dibina menggunakan tong sebagai persediaan menghadapi banjir di Kampung Tok Rusa, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang penduduk di Kampung Tok Rusa di sini, sanggup membelanjakan duit poket sebanyak RM1,000 bagi membina sebuah bangsal terapung sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fauzi Dollah, 59, berkata, bangsal kayu yang menggunakan enam tong sebagai pelampung dijadikan tempat untuk menyimpan barangan perkakasan rumah dan elektrik daripada rosak ditenggelami banjir.

Menurutnya, dia menggunakan kanvas sebagai bumbung bangsal untuk melindungi barangan perkakasan rumah daripada rosak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini merupakan salah satu usaha yang diambil oleh saya untuk menyelamatkan harta benda memandangkan setiap tahun kawasan rumah sering ditenggelami banjir.

“Hanya anak-anak dan isteri sahaja yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala saya akan bermalam di rumah kerana bimbang harta benda dicuri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Fauzi memberitahu, persediaan awal ini penting bagi memastikan semua berjalan lancar sebaik sahaja air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan rumah.

Katanya, faktor cuaca yang tidak menentu membuatkan dia mengambil langkah awal dengan menyimpan semua barangan di tempat selamat.

“Setiap kali banjir, air yang masuk ke dalam rumah biasanya akan mencecah satu meter. Walaupun sudah biasa, namun kami tetap perlu waspada,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN