Inovasi merubah landskap ternakan udang komersial - Utusan Malaysia

Inovasi merubah landskap ternakan udang komersial

Pasukan penyelidik diketuai Nor Azman sedang melakukan pengiraan komposisi bakteria dalam penghasil teknologi biofloc.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah dengan menampilkan prototaip sistem baharu yang lebih canggih dan mudah untuk penternakan udang, Indoor Multi-Techno Aquaculture System (Imtas). Perhasilan itu bertujuan mengubah landskap penternakan udang secara komersial di negara ini yang dijangka berupaya meningkatkan tahap pengeluaran udang sekali gus mengekalkan kestabilan pasaran udang dalam negara.

Ketua Penyelidik Imtas, Prof. Madya Ts. Nor Azman Kasan berkata, kaedah digunakan itu bakal memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah ternakan tradisional.

Sistem dibangunkan dengan dana RM150,000 itu mengadaptasikan kecanggihan teknologi dalam meningkatkan kecekapan operasi dengan pemantauan secara minima.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Imtas mengaplikasikan sistem Re-Circulating Aquaculture System (RAS) dan teknologi biofloc serta melibatkan penggunakan Internet of Things (IoT) sebagai kaedah pemantauan kualiti air secara lebih sistematik.

“Ia turut menggunakan ternakan rumpai laut atau lebih dikenali sebagai latok (Caulerpa sp.) dalam sistem tertutup, sebagai salah satu sistem ternakan polikultur bersama-sama ternakan udang marin.

“Secara tidak langsung sistem ini akan dapat menjana pulangan lebih lumayan berbanding kaedah mono-kultur penghasilan rumpai laut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

KAEDAH UDANG MARIN
Inovasi berkenaan, berupaya membuka lembaran baharu kepada industri ternakan udang negara yang masih bergantung pada penggunaan kolam tanah secara kovensional.

Katanya, Rapid biofloc (Rapid BFTTM) yang digunakan pada sistem penternakan Imtas itu adalah produk inovasi UMT yang berteraskan teknologi microb (bakteria) bagi sistem kawalan kualiti air.

“Imtas juga boleh diaplikasikan pada keluasan kawasan ternakan secara maksima sesuai bagi ternakan udang marin pada skala komersil.

“Kecekapan sistem kawalan kualiti air hasil gabungan inovasi dan aplikasi IoT memudahkan pengusaha mengurus dan menyelia ternakan udang yang berskala besar disamping penggunaan air yang sedikit berbanding kaedah terdahulu,” katanya.

Imtas adalah salah satu penyelidikan inovasi baharu yang berjaya dihasilkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Hicoe) Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) UMT dalam membangunkan sistem ternakan berteknologi tinggi secara tertutup di negara ini.

Selain itu katanya, sistem yang bakal diperkenalkan itu boleh dipantau secara jarak jauh melalui aplikasi telefon pintar yang turut berupaya meminimumkan kadar kematian udang dengan pemantauan berterusan dan efisyen.

“Ia turut berupaya mengurangkan jangkitan patogen dari sumber air baharu yang masuk secara berterusan akibat penyakit bawaan air yang mengandungi patogen berbahaya,” katanya.

IMPAK ALAM SEKITAR
MENGENAI impak jangka panjang, Nor Azman berkata Imtas akan dapat meningkatkan penghasilan pengeluaran udang pada kadar yang maksimum dengan kuantiti yang banyak dan stabil.

Pada masa sama teknologi ini membantu dalam menggalakkan lagi pembangunan sistem ternakan berteknologi tinggi yang berskala besar, dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan baharu terutama dalam kalangan generasi muda.

“Secara tidak langsung ia dapat meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar akibat pembukaan tanah baharu untuk menghasilkan kolam-kolam ternakan dan pelepasan air buangan daripada kolam ternakan,” katanya.

Tegasnya, produk berkenaan bakal mewujudkan dimensi baharu sistem ternakan kepada industri akuakultur lain dan tidak terhad hanya kepada ternakan udang putih, Litopenaeus vannamei sahaja.

Projek prototaip berkenaan, bakal direalisasikan bersama-sama pemain industri akuakultur terkemuka, Serandu Aquaponic System Sdn. Bhd. (SERANDU) melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai baru-baru ini di kampus Kuala Nerus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini