Keteguhan empat dekad Search - Utusan Malaysia

Keteguhan empat dekad Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lapan tahun, kumpulan rock gergasi tanah air, Search kembali menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya menerusi konsert Rock On 40 The Legends yang akan berlangsung Ahad ini.

Selepas beraksi di Zepp Kuala Lumpur, Jun lalu, kemunculan terbaharu Search memberi ruang kepada peminat untuk menyaksikan persembahan bertenaga terakhir kumpulan legenda ini sebelum 2022 melabuhkan tirainya.

Sebanyak 22 lagu bakal dipersembahkan dan kebanyakannya tidak dibawakan ketika mereka beraksi di Zepp KL, tempoh hari.

Vokalis Search, Datuk Amy ketika ditemui pada sesi latihan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, menyifatkan Rock On 40 The Legends sebagai persembahan penuh nostalgia.

Katanya, konsert tersebut akan membawa peminat Search kembali ke era permulaan mereka ketika membuat persembahan di kelab Red Rooster sekitar 1980-an.

“Konsert ini bersifat nostalgia yang bakal menyatukan peminat baharu dan lama. Ada peminat lama memaklumkan, mereka tidak akan lepaskan peluang untuk datang memberikan sokongan.

“Pada saya, konsert ini istimewa kerana ia meraikan muzik Rock and Roll secara keseluruhannya.

“Penonton nanti akan dihiburkan dengan lagu yang menjadi kenangan buat kami seperti Profession Of Violence daripada kumpulan UFO dan Mr. Crowley yang dipopularkan Ozzy Osbourne,” katanya.

Simbolik perjalanan

Disoal tentang signifikan konsert itu buat Search, pemain bass, Nasir Daud memaklumkan, Rock On 40 The Legends adalah simbolik perjalanan kumpulan itu dari awal penubuhan sehingga hari ini.

“Ia adalah rakaman perjalanan Search yang panjang. Pelbagai dugaan dan kejayaan kami tempuhi. Ada naik dan ada turunnya, termasuk melewati fasa pandemik Covid-19 dan sebagainya.

“Apapun, Search akan tetap bersatu untuk teruskan legasi ini. Kumpulan kami sudah berdiri sebagai nama yang sangat kukuh. Kami kena menjaganya sebaik mungkin,” katanya.

Terus bereksperimen

Enggan mengulangi konsep sama seperti konsert sebelum ini, Search terus bereksperimen agar dapat menampilkan kelainan dalam setiap persembahan mereka.

Bercakap tentang perkara itu, Nasir memaklumkan, bukan mudah untuk membawa kelainan, apatah lagi kebanyakan lagu memahat kenangan di hati peminat yang mengikuti perjalanan kumpulan tersebut sedari awal.

“Untuk mempersembahkan muzik malar segar pada konsert itu nanti tentunya mencabar buat Search. Kami memang ada berbincang mengenai perkara ini.

“Kami tidak akan persembahkan lagu Search seperti yang peminat sudah biasa dengar dalam album. Sebaliknya, kami banyak bereksperimentasi dengan membuat perubahan pada intro lagu atau sedikit pada bahagian solo. Namun, bahagian yang signifikan, kami kekalkan.

“Setiap lagu ada peristiwa yang signifikan buat peminat kami. Ada lagu yang tidak boleh diubah seperti lagu Meniti Titian Usang yang kami kekalkan susunan muzik asal,” katanya.

Nasir memaklumkan, konsert itu juga menjanjikan kelainan yang tidak pernah dilihat penonton dalam persembahan mereka sebelum ini.

“Kami mengetengahkan persembahan berkonsepkan teaterikal, bukan konsert rock biasa. Kami mahu bawa persembahan kami ke tahap lebih tinggi.

“Perkara itu memerlukan kepakaran. Di situlah, peranan pengarah konsert penting untuk merealisasikan impian kami.

“Contoh seperti apa yang kami buktikan di Zepp Kuala Lumpur. Kami lebih ke arah teaterikal dan eksperimentasi kerana tidak mahu persembahkan yang sama seperti dalam album,” jelasnya.

Saling berpesan tentang kesihatan

Bercakap soal kesihatan, Amy mengakui, perkara itu penting terutama sebelum beraksi dalam konsert besar. Bagaimanapun katanya, mereka faham tuntutan kerja pemuzik yang perlu meneruskan persembahan, meskipun berdepan masalah kesihatan.

“Sebagai penghibur, kami akan teruskan juga persembahan walaupun kesihatan terganggu.

“Berada di atas pentas membuatkan kami lupa segala masalah kerana ia perkara yang kami suka lakukan,” ujarnya.

Sementara itu, Nasir pula berkata, sudah menjadi amalan mereka untuk saling menasihati dan berpesan antara satu sama lain supaya menjaga kesihatan.

Katanya, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutama dalam keadaan dunia berdepan pelbagai ancaman penyakit.

“Kami sangat peka tentang penjagaan kesihatan, apatah lagi ketika menjelang konsert. Apa yang penting, kami perlu tahu bagaimana menguruskan hal berkaitan konsert itu.

“Sebagai pemuzik senior, kekuatan akan datang sendiri apabila beraksi di atas pentas.

“Tenaga luar biasa yang diberikan penonton membuatkan segala penat dan sakit kami hilang ketika membuat persembahan,” ulasnya.

Tentang 2022 dan harapan 2023

Pastinya, 2022 bukan perjalanan mudah buat Search yang berdepan pelbagai isu.

Bagi Amy, 2022 adalah antara tahun yang paling mencabar, namun penghujungnya berakhir dengan keindahan.

“Tahun ini memang sangat mencabar buat Search. Tetapi, penghujungnya, kami semua dapat capai apa yang kami impikan untuk kumpulan ini.

“Untuk 2023, kami harap segala perancangan dan impian kami terlaksana.Mungkin kami akan tampil dengan single baharu dan melakukan penstrukturan semula.

“Kami mahukan jenama Search kekal terpelihara dan mungkin ada pelapis yang akan meneruskan perjuangan kami. Itu yang kami fokuskan sekarang ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×