Kerjasama BN-PH: Penyokong BN perlu diberi pemahaman, elak rosak kepercayaan - Utusan Malaysia

Kerjasama BN-PH: Penyokong BN perlu diberi pemahaman, elak rosak kepercayaan

MOHD. JOHARI Hussain (dua dari kiri) ketika melakukan tinjauan ramah mesra di Sepayang di Rompin, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Setiap pimpinan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan bahawa asas perjuangan parti itu tidak luntur walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Pusat dan negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain berkata, setiap pimpinan BN diminta tidak melakukan kesilapan yang boleh melemahkan parti itu dan merosakkan kepercayaan rakyat.

“Berhubung andaian BN dan UMNO akan hilang asas perjuangan menerusi kerjasama dengan PH, saya harap perkara ini dapat difikirkan oleh pucuk pimpinan. Kita tuntut kepimpinan tertinggi BN supaya andaian ini tidak berlaku kerana kita hari ini berada dalam pelbagai situasi dan cabaran yang menghimpit kita.

“Walaupun penggabungan BN dan PH ini dilihat luar biasa tapi jika pucuk pimpinan memberi jaminan tidak merosakkan kepercayaan rakyat termasuk ahli parti dan penyokong BN, aspirasi ini boleh dijayakan.

“Semangat penyatuan ini perlu disuburkan. Ini percubaan pertama maka semua mesti main peranan bagi pemahaman kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ramah mesra di Sepayang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Johari berkata, tidak timbul soal BN ghairah untuk bekerjasama dengan PH tetapi ia lebih kepada semangat kedua-dua parti bergabung ke arah kesejahteraan rakyat.

Beliau mengakui perlu bekerja lebih keras untuk memberi pemahaman kepada rakyat bahawa keputusan pucuk pimpinan BN itu setelah mengambil kira darurat ringan berbanding kesan lebih besar.

“Dalam beberapa siri kempen saya, isu kerjasama BN-PH ini antara dibangkitkan pengundi. Mereka melihat ini satu perkara yang luar biasa kerana secara tradisi UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang terbesar sebelum ini tak pernah ada hubungan kerjasama dengan PH.

“Pucuk pimpinan kita dah memikirkan sehabis baik dan mendalam namun, kita sudah membayangkan kerjasama ini ada penentangan dari segi kefahaman dan kekeliruan ini boleh menjejaskan kredibiliti parti dan juga kerajaan negeri itu sendiri.

“Tetapi bila kita mengambil darurat yang lebih ringan daripada yang besar, maka kerajaan negeri telah membuat pilihan yang mana kerjasama dengan PH memberi ruang untuk kesejahteraan rakyat dan juga perpaduan kaum lebih baik berbanding bergabung dengan Perikatan Nasional (PN),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×