Telur berlambak atau masih kurang?

Telur berlambak atau masih kurang?

BIARPUN di peringkat ladang didakwa berlaku kekurangan bekalan telur tetapi di beberapa negeri kembali stabil selepas kerajaan perpaduan dibentuk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan telur di seluruh negara menjadi persoalan memandangkan di sesetengah tempat didakwa berlaku lambakan namun sumber industri pula mendakwa ia masih kurang di peringkat ladang.

Bekalan telur yang didakwa tiba-tiba kembali stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin berlaku tetapi dalam skala kecil dan bersifat terpencil.

Sumber dalaman industri ayam dan telur yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, hakikatnya di peringkat ladang ayam telur, bekalan masih kurang dan tidak ada peningkatan mendadak secara tiba-tiba.

Namun katanya, merujuk gambar yang tular di media sosial ko­nonnya ada segelintir pasar raya tiba-tiba mempunyai bekalan telur yang banyak, hal itu tidak melibatkan pengeluar peringkat ladang, sebaliknya peniaga de­ngan pemborong telur saja.

“Pada saya, sama saja isunya. Pagi ini pun, saya terima beberapa aduan, kata tiada telur. Tak tahulah macam mana orang boleh cakap bekalan telur stabil.

“Menjadi tiba-tiba ada telur, itu antara peniaga dengan pemborong. Di peringkat pengeluaran masih lagi kurang seperti sebelum ini.

“Tetapi di peringkat peniaga dan pemborong, mungkin kedua-duanya ada pakatan perniagaan tertentu. Saya pun terkejut, bila orang cakap kerajaan baharu, tiba-tiba telur ada. Jadi, kita pun rasa pelik juga,” katanya.

Sementara itu, satu sumber industri peruncitan yang dihu­bungi berkata, pihaknya masih mengalami kekurangan bekalan telur, malah mempersoal pihak yang mendakwa bekalan sumber protein itu sudah stabil.

“Keadaan masih sama seperti sebelum ini, telur masih tiada. Malah, sudah enam bulan sampai sekarang tiada telur di pasaran.

“Jadi saya tertanya-tanya, dari manakah orang awam dapat maklumat ada telur? Kalau masuk pasar raya pada waktu pagi, kemudian nampak ada banyak telur dijual, itu tak menghairankan. Di pasar raya kami pun ada. Tapi, sampai tengah hari membawa ke petang, masih ada lagikah telur?” soalnya.

Dalam pada itu, satu sumber penternak wilayah tengah yang dihubungi pula berpendapat sebaliknya dengan mengatakan memang wujud lambakan telur di sesetengah tempat.

“Sebelum ini, di peringkat pemborong, telur ini ada, tapi semua dieksport keluar negara. Kenapa ada lambakan sekarang? Macam biasa, ia ada kaitan de­ngan rangkaian perniagaan yang kompleks membabitkan ideologi. Jadi, mereka mahu menyusahkan rakyat.

“Isunya, kerajaan masih lagi bagi subsidi kepada gergasi-gergasi telur ayam ini. Kita sudah tahu, kartel ini belot terhadap keselamatan makan negara, tapi hulur lagi subsidi. Sudahnya, subsidi kita hangus, kita punya bekalan tetap tiada,” katanya.

Awal pagi semalam, Utusan Malaysia dan Kosmo! melaporkan bekalan telur di beberapa negeri kembali stabil selepas kerajaan perpaduan dibentuk.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Terengganu mendapati stok telur ayam di pasaran di negeri itu kembali pulih kira-kira 60 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×