Sedia berdepan status negara tua - Utusan Malaysia

Sedia berdepan status negara tua

SINGAPURA sudah jauh di depan dalam memastikan kebajikan selayaknya kepada warga tua. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTIAGO, nelayan tua di Cuba dalam novel Old Man in the Sea karya Errnest Hemmingway membuktikan tepatnya peribahasa Melayu, kelapa tua semakin banyak santannya. Usia manusia mempunyai hubungan yang hampir selari dengan tinggi dan rendah pengalamannya.

Kalau menurut definisi yang digunakan Bank Dunia atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Santiago adalah warga tua yang berusia lebih 65 tahun. Di banyak negara lain, individu yang sebaya dengannya berdepan tanggapan sebagai warga yang membebankan.

Sekalipun begitu, peribahasa kelapa tua semakin banyak santannya tetap berasas dan ada kebenarannya. Banyak juga yang tua seperti Santiago. Kaya dengan pengalaman yang menyuntik semangat mengalahkan kudrat orang muda.

Pengalaman adalah suatu yang abstrak, tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau diukur dengan angka. Pengalaman diperoleh daripada kejadian-kejadian pada garis usia dilalui. Maknanya semakin panjang usia seseorang memungkinkan lebih banyak pengalaman dikutip daripada kehidupan.

Kebijaksanaan silam orang Melayu mengenai usia dan pengalaman tidak boleh disangkal lagi. Kalau kelapa dalam peribahasa itu diukur tua atau mudanya, nilai pengalaman kepada manusia ditandai dengan peningkatan usia. Semakin bertambah usia akan banyaklah liku-liku kehidupan yang dilalui.

Akan tetapi segala pengalaman itu tidak bermakna sekiranya tanggapan bahawa warga tua suatu beban tidak diubah. Ketuaan tidak wajar menjadi satu hukuman yang menafikan kepedulian sosial dan psikologi selayaknya kepada warga tua. Pengalamannya yang bernilai akan terabai oleh sikap masyarakat yang mundur.

Ketika ini dunia sedang berdepan krisis peralihan demografi apabila meningkatnya populasi warga tua. Keadaan sedemikian menjadi pemangkin wujudnya masyarakat tua. Seterusnya menjadikan negara tua apabila jumlah warga tua melintas garis 15 peratus daripada populasi.

Sekalipun begitu, kesedaran sosial yang tinggi di negara-negara maju menjadikan golongan warga tua lebih terbela. Langkah proaktif sesetengah negara menjadikan warga tua lebih bernilai dan pengalamannya terus dimanfaatkan.

Semua diperkatakan ini menuntut perubahan pemikiran yang holistik dalam kalangan pembuat dasar, keterbukaan masyarakat termasuk majikan dan seterusnya oleh keluarga. Secara mudah, dasar-dasar berteraskan kemanusian memungkinkan warga tua hidup gembira hingga ke akhir hayatnya.

Menurut World Population Prospect (Revision 2019), pada 2050 dijangka satu daripada enam penduduk dunia berusia 65 tahun ke atas. Bukan itu sahaja, malah populasi 143 juta penduduk dunia berusia 80 tahun pada 2019 dijangka meningkat pada 426 juta pada 2050.

Bank Dunia pula melaporkan pada 2010 buat pertama kali dalam sejarah di mana populasi penduduk berusia 65 tahun ke atas mengatasi populasi kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah. Peralihan demografi ini menuntut kesedaran semua pihak – pembuat dasar, ahli masyarakat dan keluarga.

Di banyak negara maju, kerajaan sudah merangka dasar-dasar tertentu untuk memanfaatkan pengalaman warga tua. Dasar itu sebenarnya berkonsepkan serampang dua mata, iaitu menghindarkan warga tua daripada keterasingan dan memindahkan pengalaman kepada generasi lebih muda.

INSURANS

Jepun misalnya, sejak 2000 memperkenalkan beberapa dasar dan insentif untuk mengurangkan bebanan keluarga yang mempunyai warga tua. Antaranya mewujudkan pelan insurans yang memberi perlindungan kepada warga emas hingga berusia lebih 80 tahun.

Kemudian pada 2011, kerajaan Jepun mewujudkan pusat penjagaan khusus untuk warga tua selain membangunkan teknologi perubatan untuk menangani penyakit sering dihidapi oleh warga tua. Ini juga serampang dua mata – meningkatkan tahap kesihatan dan mewujudkan industri yang dapat mengurangkan belanja penjagaan kesihatan kepada warga tua.

Ketika ini, sebanyak 25 peratus daripada populasi Jepun terdiri daripada warga tua. Keadaan ini dijangka meningkat hingga 40 peratus menjelang 2060. Sekalipun Jepun merupakan sebuah masyarakat teknologi, akan tetapi mempunyai kesedaran sosial dan tanggungjawab kemanusiaan yang tinggi dalam isu warga tua.

Singapura juga sudah jauh di depan dalam memastikan kebajikan selayaknya kepada warga tua. Pada 2019, sebanyak 15 peratus daripada populasi Singapura adalah warga tua. Dijangka pada 2030, seorang warga tua dalam empat penduduk Singapura bekerja berusia antara 20 hingga 64 tahun.

Kerajaan negara itu menggubal beberapa akta untuk melindungi warga tua dari sudut kewangan dan sosial. Antaranya menggubal Maintenance Act dan The Retirement and Reemployment Act. Penguatkuasaan secara undang-undang kedua-dua akta ini memperlihatkan ketegasan kerajaan terhadap kebajikan warga tua.

Sekalipun dipaksa oleh undang-undang seperti anak-anak diwajibkan memperuntukkan sejumlah wang bagi keperluan warga tua, kebajikan golongan itu terus terbela.

Suatu yang menarik, penguatkuasaan undang-undang juga meliputi dalam kalangan majikan. Misalnya melalui The Retirement and Reemployment Act telah menambah usia persaraan pada 62 tahun. Dalam pada itu, majikan secara undang-undang diarahkan mengambil warga tua bekerja semula sekiranya ada permohonan.

Pelaksanaan undang-undang seperti ini selain memastikan kedudukan kewangan warga tua terjamin, ia juga untuk memanfaatkan kemahiran atau pengalaman warga tua dalam bidang-bidang tertentu. Inilah sumbangan warga tua kepada masyarakat.

Bagaimana pula pelan tindakan di negara kita? Dalam carian di internet ada ditemukan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang antara kegiatannya mengadakan sambutan Hari Warga Emas.

Akan tetapi belum ada pelan tindakan proaktif selari dengan negara-negara maju lain dalam isu peralihan demografi dan meningkatnya populasi warga tua. Kalau dibandingkan dengan Singapura, agaknya negara kita masih jauh untuk sampai ke tahap itu.

Menurut laporan Bank Dunia pada 2020, Malaysia diramal menjadi negara tua pada 2044. Akan tetapi dasar-dasar sosial yang boleh mendukung matlamat mengurangkan tekanan hidup golongan warga tua hampir belum kelihatan.

Dalam keadaan peralihan demografi yang terus bergerak itu sepatutnya kepedulian terhadap warga tua lebih pantas, bukan perlahan dan hampir tidak kelihatan. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×