PERAMAL politik yang tepat jangkaannya parti mana yang akan meraih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) cuma seorang sahaja, Tun Daim Zainuddin.
Kata bekas menteri kewangan itu Julai lalu, Pas bakal memperoleh lebih banyak kerusi susulan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Benar, jumlah kerusi Parlimen Pas bertambah dari 18 yang diraih dalam PRU14 kepada 41 kerusi, peningkatan 23 kerusi Parlimen.
PRU15 tempoh hari penuh ranjau berduri walaupun telah disahkan di peringkat pengundian 19 November. Jika di negara lain pemimpinnya memikirkan masalah rakyat, di negara ini rakyat pula jenuh fikirkan hal pemimpin.
Senario ini yang terjadi sehingga Parlimen tergantung masuk hari kelima baru selesai. Ini gara-gara tiada satu pun gabungan parti utama yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu.

PH meraih 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 manakala BN 30 kerusi sahaja. Dititahkan Yang di-Pertuan Agong kepada PH dan PN supaya bersama-sama mewujudkan kerajaan perpaduan, ditolak pula oleh salah satu gabungan parti itu.
Sedangkan masa berjalan. Akibat reaksi mendadak pelabur terhadap pembentukan kerajaan yang masih tergantung itu, untuk tempoh sehari sahaja pada Isnin 21 November lalu Bursa Malaysia menyaksikan kerugian kumulatif permodalan pasaran RM7.32 bilion atau sebutan mudah seramnya, RM7,320 juta.
Apa pun dalam kita bergasak dalam politik, perkiraan utamanya harus fikirkan tentang rakyat. Bukan terbalik kot rakyat yang perlu fikirkan orang politik. Macam mana hendak satukan rakyat pelbagai bangsa kalau kita sendiri orang politik bertelagah?
RASIS
Sekian lama ada ‘orang kita’ begitu bencikan sebuah parti itu dikatakan rasis. Tapi yang hairannya ada pemimpin tertentu pun lenggok parti mereka nampak rasis. Mereka pergunakan sentimen ‘kegelisahan yang parti bukan Melayu itu akan lagi mencengkam’.
Namun persoalannya, apa yang dibuat oleh parti-parti Melayu yang bertebaran merata untuk meredakan ‘kebimbangan itu’? Tidak dibuat pun, sebaliknya ‘membingitkan’ nya dengan ‘sentimen itu, ini’ dalam kempen pilihan raya demi memenangkan calon-calon mereka.
Sedangkan, mahu tidak mahu kita akur bahawa parti mewakili masyarakat Cina yang relevan masa ini adalah parti itu. Bukannya dua lagi parti Cina dari dua gabungan politik berkenaan.
Dalam hidup harmoni di negara ini, kita sama sekali tidak boleh pinggirkan kaum tertentu yang sudah puluhan tahun hidup di negara. Jadi, mengapa ada pihak yang takut dengan bayang-bayang? Mari kita bina dan perkukuhkan benteng perpaduan dalam kalangan semua kaum, etnik, budaya dan agama. Perkukuhkan merit dan jati diri kita.
Ya, bukankah orang Melayu masih memegang tampuk kuasa? Perdana Menterinya Melayu, menteri besarnya Melayu, malah Yang di-Pertuan Agong pemegang tampuk kuasa negara ini adalah orang Islam, orang Melayu.
Jadi, apa yang digusarkan? Tidak perlu menjaja dengan memomokkan rakyat ‘takutkan parti terbabit tentang hal cauvinis itu, ini’? Parti itu menang pun kerana pengundi mereka tidak mahu pangkah parti-parti lain. Hormati pilihan mereka.
BERAJA
Begitupun syukur, mujurlah kita ini masih beraja. Majlis Raja-Raja itu sebenarnya adalah institusi pengimbang kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan.
Misal kata jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada perkara-perkara berkaitan hal-ehwal diraja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Perkara 152 (bahasa kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan keMelayuan), Majlis Raja-Raja berhak tahu dan hendaklah terlebih dahulu dirundingi.
Kedudukan Raja yang istimewa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara. Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi Raja. Pepatah berbunyi:
Raja adil, Raja disembah
Raja zalim, Raja disanggah.
Mengimbas kemelut politik Jun tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sanggup mencemar duli memanggil semua presiden parti-parti politik utama menghadap baginda untuk mendengar isu-isu semasa yang dibangkitkan.
Dalam merungkai kemelut siapa Perdana Menteri ke-10 yang berlarutan beberapa hari ini, Seri Paduka menyelesaikannya dengan cara bijaksana dengan merealisasikan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
DYMM Raja-raja tidak mampu untuk berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam soal melibatkan kepentingan rakyat jelata. Kedaulatan yang ada pada Tuanku itu adalah kedaulatan bangsa Melayu.
Daim dalam jangkaan PRU15 nya menyebut satu perkara ini untuk direnung dan diambil iktibar oleh politik Melayu. Katanya, berbeza dengan parti lain, ideologi Islam yang dibawa Pas menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti (dalam politik atau apa sahaja), golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama.
“Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang Allah dan bagaimana Pas menjadi penyelamat mereka,” kata Daim. – UTUSAN












