PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyusun semula barisan Kabinet dengan 25 jemaah menteri mencukupi untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, Kabinet sebelum ini sering dianggotai lebih 30 menteri sehingga mewujudkan percanggahan tugas antara menteri-menteri.
Menurut beliau, walaupun Anwar mempunyai tugas mencabar untuk memuaskan hati semua pihak dalam kerajaan perpaduan yang diterajuinya, namun mewujudkan Kabinet yang efisien adalah jauh lebih penting.
“Dalam Kabinet-Kabinet sebelum ini, ada beberapa tugas menteri yang bertindih, jadi inilah peluang Anwar menyediakan Kabinet lebih tersusun.
“Ini bukan sahaja boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan, tetapi juga membantu kerajaan bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi tahun hadapan,” katanya.
Penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpendapat, Anwar perlu memastikan usaha membentuk 25 menteri Kabinet tidak memberi kesan negatif kepada Kerajaan Persekutuan.
“Mengecilkan Kabinet tidak hanya boleh dibuat dengan menghapuskan satu-satu kementerian semata-mata tetapi boleh dibuat melalui penggabungan portfolio tanpa menggugat kemampuan Kabinet. Ini menjimatkan tetapi perlu diterajui menteri-menteri berkaliber,” katanya.
DIKHUATIRI
Bagaimanapun, kata beliau, pelantikan 25 menteri dikhuatiri menjadi sesuatu yang mencabar kerana Kerajaan Persekutuan sebelum ini sering dianggotai 30 menteri atau lebih sejak Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1999.
Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak (2013-2018) mencatat rekod apabila melantik ahli Kabinet paling ramai dalam sejarah, meliputi 38 menteri dan 34 timbalan menteri.
Jumlah itu kemudian dikurangkan ketika Kabinet Mahathir (2018-2020), meliputi 28 menteri dan 27 timbalan menteri. Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin (2020-2021) dan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2021-2022) masing-masing meliputi 32 menteri dan 38 timbalan menteri.
Namun, Noor Nirwandy berkata, sekurang-kurangnya lapan kementerian sedia ada wajar dipertimbang semula bagi membolehkan Kabinet Anwar dianggotai sekurang-kurangnya 25 menteri sahaja.
Ini menurut beliau melibatkan dua jawatan menteri dalam Jabatan Perdana Menteri iaitu Hal Ehwal Sabah dan Sarawak boleh digalas oleh Timbalan Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak manakala portfolio Hal Ehwal Ekonomi boleh diambil alih oleh Menteri Kewangan.
Begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi boleh disatukan bersama Kementerian Pendidikan supaya hal ehwal pendidikan dapat ditangani dengan menyeluruh.
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pula boleh diwujudkan semula, bagi mengambil alih tiga kementerian iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Kementerian Pembangunan Keusahawanan peranannya boleh dipindahkan sama ada di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau portfolio itu diletakkan di bawah Timbalan Menteri Kewangan.
Kementerian Perpaduan tidak perlu kerana tugas kementerian itu seharusnya dipikul semua kementerian termasuk Perdana Menteri bagi mencerminkan sebuah kerajaan perpaduan, malah tugas Menteri Perpaduan juga boleh diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui portfolio Tugas-Tugas Khas atau portfolio agama.- MINGGUAN










