Gaya Japandi minimalis, sesuai ruangan terhad - Utusan Malaysia

Gaya Japandi minimalis, sesuai ruangan terhad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memilih susun atur dan tema kediaman berkeluasan terhad sememangnya agak memeningkan kerana perlu dilakukan dengan terperinci supaya ruangan tidak kelihatan terlalu padat atau sempit.

Gaya Jepun dan Scandinavian atau lebih popular sebagai Japandi mungkin boleh dipertimbangkan sebagai tema atau konsep kediaman memandangkan gaya itu menekankan aspek minimalis.

Seperti yang dikongsikan pemilik kediaman, Nur Baiti Mohd. Jainudin yang mendekorasi kediamannya yang berkeluasan 750 kaki persegi menggunakan konsep Japandi.

“Saya memilih konsep ini kerana sesuai bagi rumah yang berkeluasan kecil.

“Ia turut menampakkan setiap ruangan lebih luas dengan gabungan cat dinding tona lembut serta perabot berunsurkan kayu,” katanya kepada Seri.

Tambahnya, elemen penting bagi melengkapkan gaya Japandi adalah warna cat yang neutral, perabot berasaskan kayu serta susun atur dan hiasan yang minimalis.

Hiasan tidak perlu sarat bagi mengelakkan ruangan yang sedia ada sempit kelihatan lebih ‘sesak’.

Setiap hiasan yang dipilih juga tidak memiliki rekaan terlalu sarat dan berat supaya konsep minimalis dan ringkas dapat dikekalkan.

“Hiasan semua ringkas sahaja. Saya tetap selitkan hiasan pokok dan bunga tapi semuanya rekaan ringkas untuk nampak tidak padat pada ruangan.

“Untuk memberi sedikit kelainan, saya juga fokus untuk memasang cermin berbentuk seakan pintu gerbang dan melengkung,” jelasnya lagi.

Tambahnya, penggunaan cermin sangat membantu dalam memberikan ilusi luas di bahagian ruang tamu dan dibahagian lorong.

Mengakui agak mencabar untuk menyusun atur barangan dan hiasan bagi keluasan kediaman sebegitu, wanita berusia 34 tahun itu berkata, setiap perincian perabot yang hendak digunakan perlu diteliti sebaik mungkin supaya tidak menggunakan ruang yang terlalu banyak.

Penggunaan perabot sesuai, membolehkan setiap ruang diguna pakai dengan lebih maksima.

“Sebelum beli apa-apa perabot saya akan ukur mengikut saiz yang sesuai.

“Saya akan pastikan ada ruang lebih, sebagai contoh saya beli satu soda tiga tempat duduk sahaja berbanding sofa berbentuk L sebab tidak mahu ruang menonton jadi terlalu sempit.

“Meja makan pula cukup empat tempat duduk sahaja dengan meja bersaiz kecil,” kongsinya lagi.

Pemilihan perabot bersesuaian juga membolehkannya menyediakan sudut kopi untuk tetamu yang datang.

Berkongsi mengenai kos pula, kata Baiti, ia bergantung kepada perabot yang dibeli.

“Barang-barang tidak semestinya mahal asalkan kena dengan tema dan bijak memilih koleksi yang lebih mampu milik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×