Harap Tun M terus dedah kebenaran

Harap Tun M terus dedah kebenaran

SELAIN menulis, Dr. Mahathir Mohamad ialah seorang yang gemar membaca buku-buku fiksyen serta bukan fiksyen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH empat hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlalu, barulah Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bersuara bagi meluahkan perasaan sedih.

Saya yakin Dr. Mahathir yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada mulanya tidak percaya namanya termasuk dalam senarai 373 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit pada 19 November lalu. Menurut Dr. Mahathir, beliau sedih kekalahan GTA, gabungan politik termuda di negara ini.

Bagaimanapun, negarawan itu menyatakan, beliau menerima pilihan rakyat itu dengan hati terbuka apabila GTA yang menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan itu, Dr. Mahathir memberi bayangan beliau akan ‘bersara’ daripada politik dan memberi tumpuan untuk menulis berkenaan sejarah yang belum direkodkan termasuk apa yang berlaku di zaman British dan aktiviti dalam negara.

Sebenarnya, keputusan Dr. Mahathir memang cukup tepat kerana banyak pecapaian luar biasa diperolehnya ketika bergiat dalam politik termasuk dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletak jawatan pada 2003 sekali gus menjadikannya penjawat jawatan itu yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun.
Pada Mei 2018, beliau mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kali kedua susulan Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14.

Berumur 92 tahun ketika itu, Dr. Mahathir mencatat rekod menjadi Perdana Menteri ketujuh yang juga tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun bersara.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi meletak jawatan pada 24 Februari 2020 sekali gus menjadikan tempoh Perdana Menteri kali kedua itu hanya 22 bulan.

Tidak perlu lagi beliau yang kini berusia 97 tahun menunggu untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga seperti yang selalu disebut oleh penyanyi dari Amerika Syarikat (AS), Selena Gomez: “Saya percaya pada peluang kedua, tetapi saya tidak percaya pada peluang ketiga atau keempat.”

Dalam pada itu, bakat Dr. Mahathir sebagai penulis tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana telah menunjukkan kebolehannya itu sejak berusia 22 tahun. Beliau mula menulis ketika mengambil jurusan kedoktoran di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada 1947 sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada 1952.

Beliau rajin menulis artikel ketika menuntut di Singapura bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu dengan menggunakan nama pena C.H.E Det (Det adalah nama keluarga beliau) dalam akhbar-akhbar tempatan termasuk The Sunday Times.

Tulisan Dr. Mahathir itu tidak semuanya disukai oleh pemimpin negara. Sejurus selepas PRU 1969, pihak pembangkang mengadakan perarakan di Kuala Lumpur untuk meraikan kemenangan mereka yang membawa kepada rusuhan kaum pada 13 Mei tahun itu yang menyebabkan hampir 200 orang mati.

BONGKAR
Berikutan rusuhan itu, beliau menulis surat yang pedas kepada pucuk kepimpinan UMNO yang diterajui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga beliau dipecat daripada parti itu.

Beliau menuduh Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri ketika itu mengetepikan orang Melayu daripada menikmati hasil pembangunan ekonomi negara yang didominasi kaum Cina.

Tunku Abdul Rahman ketika ditanya sebab penyingkiran itu menyatakan: “(Dr.) Mahathir buat satu surat kepada saya, tapi diedar beratus ribu kepada semua orang, kepada tentera, kepada polis, kepada orang kebanyakan. Dimaki saya dalam surat itu dengan pelbagai perkataan. Saya dibenci oleh semua orang Melayu.”

Setelah dipecat daripada UMNO, beliau yang meneruskan kerja sebagai doktor klinik swasta semakin lantang bersuara termasuk menerbitkan buku bertajuk The Malay Dilemma yang membidas sikap orang Melayu yang sentiasa menyerah kepada takdir, sering menerima kekalahan dan pasif.

Walaupun buku ini diterbitkan di Singapura dan dilarang masuk oleh kerajaan Malaysia, ada beberapa pandangan beliau dalam naskhah berkenaan telah diambil kira bagi menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971.

Selain membongkar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebenarnya banyak sejarah negara yang boleh ditulis oleh Dr. Mahathir termasuk inovasi sistem terusan di Kedah oleh Menteri Besar ketika itu, Wan Mohamad Saman yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan ibunya, Wan Tempawan Wan Hanafi.

Keupayaan Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) itu untuk menulis termasuk melibatkan soal perkembangan semasa kerana beliau gemar membaca dan dalam usia warga emas, masih tekun membaca buku-buku fiksyen serta bukan fiksyen.

Dalam pada itu, penulisan Dr. Mahathir mungkin boleh melibatkan bidang-bidang yang sudah lama ditinggalkan beliau setelah bergiat semula dalam politik termasuk kepentingan cadangan penubuhan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur olehnya untuk membicarakan negara kuasa-kuasa besar yang membuat bukti palsu seperti menuduh Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.

Banyak pandangan kontroversi Dr. Mahathir termasuk ucapan beliau dalam beberapa seminar bahawa terdapat agenda pengurangan penduduk dunia menjelang 2030 dan wujud konspirasi serangan ke atas dua Menara Pusat Dagangan Dunia atau 9/11 pada 2001 sehingga kini masih dikongsi dan menjadi rujukan dalam laman-laman sembang di seluruh dunia.

Sebenarnya, takdir Dr. Mahathir adalah untuk menjadi pemimpin dunia dan bukan sekadar di Malaysia. Diharapkan beliau dapat terus membina rangkaian dengan white hat (orang-orang baik) di seluruh dunia.

Teruskan menyuarakan kebenaran dengan cara yang mudah dan ringkas tanpa perlu disertakan bermacam-macam data dan analisis seperti kepakaran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan badan-badan penyelidikannya.

Seperti yang selalu disebut penyajak AS keturunan Lebanon, Khalil Gibran: “Kebenaran boleh berjalan tanpa pakaian (ringkas dan mudah), tetapi pembohongan sentiasa perlu dipakaikan pakaian.”-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×