Rabbani realisasi impian arwah Ustaz Asri - Utusan Malaysia

Rabbani realisasi impian arwah Ustaz Asri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 25 tahun, hasrat kumpulan nasyid, Rabbani untuk beraksi dalam konsert sendiri tercapai menerusi Konsert 25 Tahun Simfoni Kesyukuran Rabbani yang akan berlangsung 30 Disember depan.

Konsert yang dianjurkan bersama Yayasan Warisan Johor dan Malaysian Thailand Halal Food Festival bakal diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor.

Anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 49, menyifatkan konsert tersebut sebagai sesuatu yang istimewa dan cukup bermakna bukan sahaja buat Rabbani, malah semua peminat yang mengikuti perjalanan kumpulan itu sejak 25 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, konsert ini akan melakar memori bersejarah buat industri nasyid dan Rabbani khususnya, selepas perjuangan 25 tahun kami dalam dunia seni.

“Lebih dua dekad, perjuangan Rabbani bukan hanya untuk kumpulan ini, tetapi juga peminat dan penggiat muzik nasyid secara keseluruhan,” katanya.

Tambah Azadan, anggota Rabbani begitu gembira dan menyifatkan penganjuran konsert itu sebagai hadiah yang sangat bermakna buat mereka.

“Konsert terakhir melibatkan Rabbani adalah Malam Sinar Maulidur Rasul di Terengganu antara 2014 dan 2016 yang turut menampilkan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Yasin serta ramai penyanyi lagi.

“Konsert 25 Tahun Simfoni Kesyukuran Rabbani ini adalah konsert sulung kami secara stand alone dan 25 lagu yang bakal dipersembahkan adalah lagu kami yang turut dinyanyikan penyanyi lain.

“Konsert ini sangat signifikan untuk meraikan penglibatan 25 tahun Rabbani dalam industri muzik nasyid,” katanya.

Di sebalik kegembiraan itu, Azadan mengakui, terselit perasaan sedih apabila konsert istimewa itu berlangsung tanpa Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang menghembuskan nafas terakhir pada 13 Ogos 2009.

“Tentunya, kami dan peminat sedih dengan ketiadaan arwah yang meninggalkan kita pada 2009. Hakikat dia tidak bersama kami dalam konsert ini juga menyentuh hati.

“Kami anggap ketiadaannya sebagai cabaran untuk meneruskan perjalanan Rabbani lebih jauh lagi.

“Bagaimanapun, kami teruja dan bersemangat serta tidak sabar merealisasikan konsert yang juga menjadi harapan arwah,” jelasnya.

Iringan orkestra

Antara keistimewaan konsert Rabbani ini adalah elemen muzik orkestra yang bakal melatari kesemua lagu yang dipersembahkan pada malam itu.

Kata Azadan, itu adalah tarikan yang jarang diketengahkan Rabbani dalam mana-mana persembahan mereka. .

“Untuk kelainan, alunan muzik orkestra oleh pemuzik profesional, Yayasan Warisan Johor bakal mengiringi persembahan kami nanti.

“Kami jarang menjayakan konsert diiringi muzik orkestra. Tetapi kali ini, kesemua 25 lagu Rabbani akan disampaikan dengan iringan muzik tersebut.

“Kami juga akan menampilkan gimik pada pembukaan konsert dan ia belum pernah dilakukan dalam mana-mana konsert,” ujarnya.

Kata Azadan, dia yakin peminat yang hadir akan terhibur dan pulang dengan kegembiraan.

“Kami tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang. Tetapi, kami yakin penonton yang datang tidak akan kecewa.

“Persembahan pembukaan akan menjadi antara tarikan yang mengujakan penonton,” jelasnya.

Penampilan barisan artis nasyid terkenal

Konsert 25 Tahun Simfoni Rabbani juga bakal dimeriahkan dengan persembahan istimewa artis nasyid seperti Mawi, Hijjaz, Daqmie, Dini Juri dan kumpulan Aeydan yang diundang untuk menyampaikan lagu popular kumpulan itu.

Bercakap mengenainya, Azadan memaklumkan, kesemua artis terlibat bakal muncul dalam segmen khas yang telah disusun khas untuk menghangatkan konsert.

“Menerusi segmen nostalgia Nada Murni, kami bakal berduet dengan Hijjaz menerusi lagu-lagu yang pernah kami rakam bersama ketika berada dalam kumpulan Nada Murni.

“Daqmie pula akan berduet dengan Rabbani menerusi lagu Kejora Sinar Zaman, manakala Mawi pula menyampaikan lagu Saksi dan Intifada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×