Paku, tembaga 100kg dikembali - Utusan Malaysia

Paku, tembaga 100kg dikembali

MESRAN Mohd. Yusop (kiri) memeriksa kepingan tembaga dari kapal British berusia lebih 200 tahun selepas dipulangkan di Lipis, Pahang. – MINGGUAN/MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Komponen paku dan lapisan tembaga yang dileraikan daripada bangkai kapal berusia lebih 200 tahun dikembalikan kepada Jabatan Warisan Negara.

Ketua Pengarahnya, Mesran Mohd. Yusop berkata, komponen yang diperbuat daripada tembaga itu diserahkan pemilik kedai besi buruk di situ, kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati beberapa penduduk Kampung Penjom, di sini meleraikan bangkai kapal tersebut untuk mendapatkan komponen tembaga itu sejurus selepas ia terdampar di tebing sungai selepas banjir di daerah ini surut.

“Lebih 100 batang paku dan lapisan tembaga dengan berat lebih 100 kilogram dikembalikan. Semua komponen tembaga itu diambil (dicuri) dan dijual kepada kedai besi buruk dengan harga lebih RM1,000.

“Memang diakui, kita kesal dengan apa yang berlaku (kecurian komponen bangkai kapal bersejarah) dan cuba melakukan restorasi atau memasang semula bangkai kapal itu de­ngan komponen-komponen asal yang masih ada,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau mengulas kecurian komponen bangkai kapal yang dipercayai berusia lebih 200 tahun selepas ia terdampar di tebing Sungai Lipis dekat Kampung Penjom.

Mengulas lanjut, Mesran berkata, kawasan sekitar penemuan itu juga dikawal rapi oleh pihaknya bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Sebelum kejadian banjir, kami menerima aduan penduduk kampung tentang pe­nemuan kapal lama di dasar sungai. Malangnya, kerja eks­kavasi untuk mencari gali terpaksa ditunda disebabkan ke­a­daan cuaca buruk pada ketika itu yang tidak mengizinkan.

“Tidak sangka pula kapal peninggalan British pada sekitar 1820-an itu timbul semasa banjir dan tersadai di tebing sungai selepas bah surut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang melakukan rancangan rapi untuk memulakan operasi ekskavasi di kawasan sungai berkenaan untuk mencari artifak yang mungkin tenggelam bersama kapal tersebut.
“Kita percaya, mungkin ada beberapa lagi artifak berharga yang mempunyai nilai sejarah di dasar sungai berhampiran lokasi penemuan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan cari gali tanpa kebenaran, mengambil atau menyimpan komponen kapal itu kerana bertentangan dengan Seksyen 47 Akta Wa­risan Kebangsaan 2005,” kata­nya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×