TERNYATA, memang sukar untuk melupakan momen indah yang terlakar ketika menatap penyanyi jelita ini beraksi menjayakan konsert Raisa Live in Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Barangkali, pandangan ini turut dipersetujui penonton yang hadir pada malam itu.
Apatah lagi Raisa adalah antara penyanyi era baharu dari Indonesia yang sudah lama ditunggu-tunggu kehadirannya ke negara ini.
Sebagai mana yang pernah dikatakan Raisa dalam temu bual sebelum ini, bukan dia tidak pernah bercita-cita hadir ke Malaysia untuk membuat persembahan.
Cuma, waktu belum tersedia tepat untuk dia berbuat demikian.
Seiring waktu yang bergulir, ternyata 2022 menyaksikan rezeki berpihak kepadanya untuk menghadiahkan sebuah konsert bagi menghargai peminat.
Konsert itu juga secara tidak langsung menjadi saksi kematangannya dalam perjalanan sebagai anak seni sejak 12 tahun lalu.
Walaupun cuma satu malam, Raisa tidak bermain-main dalam memberikan sepenuh cinta dan kasihnya menerusi seleksi lagu romantis yang melekat di jiwa peminat.
Membuka persembahan dengan lagu Could It Be, karya ciptaan lima sekawan iaitu Adrianto Ario Seto, Adryanto Pratono, Asta Andoko, Ifa Fachir dan Raisa sendiri dilihat begitu tepat sebagai pembuka halwa telinga.
Sebenarnya, profil Raisa sebagai penyanyi profesional tidak perlu dipertikai kerana sepanjang mengabdikan diri dalam bidang muzik, dia tidak pernah gagal memberikan persembahan yang memukau.
Pesonanya sebagai bintang menyerlah dari satu lagu ke satu lagu yang didendangkan, membuatkan penonton bagaikan terpukau dan ‘menggila’.
Mereka bernyanyi bersama-sama, menghayati bait lirik yang sudah sebati di kotak ingatan.
Hampir 20 lagu dipersembahkan, termasuk Percayalah, Teristimewa, LDR, Tentang Dirimu, Serba Salah, You, Love You Longer, Nyawa dan Harapan, Kutukan Cinta Pertama dan Love & Let Go.
Memandangkan ini konsert pertamanya di sini, Raisa tahu, peminat sudah pasti tertunggu-tunggu untuk melihat dia membawakan lagu bernuansa galau.
Antara lagu galau tersebut sudah tentu Mantan Terindah, Terjebak Nostalgia, Usai Di Sini, Apalah (Arti Menunggu), Bahasa Kalbu dan Kali Kedua.
Di setiap selingan persembahan, Raisa juga tidak lokek berceloteh, bercerita itu dan ini.
Raisa menghangatkan malam yang penuh mesra bersama peminat yang setia berada di lantai dewan Zepp Kuala Lumpur.
Benar apa yang diperkatakan mengenai penyanyi tersebut sebelum ini.
Raisa pandai berjenaka manja, sedikit sebanyak menyerlahkan lagi sisi berbeza penyanyi berusia 32 tahun ini menguasai pentas persembahan.
Selain persembahan, penampilan dan busana yang digayakannya juga mendapat pujian ramai.
Tidak keterlaluan jika dikatakan dua persalinan rekaan Brian Khoo itu memberi nilai tambah dalam persembahan penyanyi R&B ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, sebagai penganjur, pihaknya kagum dengan sambutan hangat yang diberikan peminat penyanyi itu.
“Saya bersyukur kerana segala-galanya berjalan dengan lancar seperti yang direncanakan. Terima kasih kepada hampir 2,500 peminat yang hadir memenuhi ruang konsert bagi menonton persembahan perdana penyanyi itu.
“Rata-rata pembeli tiket mengatakan, mereka amat berpuas hati dapat menyaksikan bintang kesayangan membuat persembahan secara live.
“Mereka juga terpesona dengan kebolehan Raisa berinteraksi begitu baik, malah dia diibaratkan seperti story-teller yang menceritakan maksud setiap karya yang dinyanyikan.
“Raisa turut meluahkan rasa terharu atas sambutan di luar jangkaan. Penantiannya selama 12 tahun untuk membuat persembahan di Malaysia berbaloi,” katanya.











