Kongres Nasional Parti Komunis China Ke-20 yang berakhir baru-baru ini menjadi titik tolak kepada pembaharuan agenda China dalam skop perluasan kuasa dan dominasi global menjelang 2049.
Impak utama adalah berdasarkan kepada tampuk hala tuju kepimpinan di bawah Presiden, Xi Jinping yang kini selesa mendapat sokongan dan jaminan daripada kumpulan elit pemimpin yang dipilih olehnya.
Perubahan alunan strategik dan aspirasi global Beijing menyaksikan perubahan ketara di bawah era pimpinan berbeza. Bekas Presiden, Jiang Zemin dan Hu Jintao mencorakkan legasi dan dasar berbeza dengan strategi Jinping yang membawa impak berbeza terhadap kepercayaan dan perspektif terhadap Beijing di mata dunia.
Sejak berakhirnya Perang Dingin, Beijing masih dilihat sebagai kuasa membangun baharu yang berpotensi untuk disokong dan dibentuk ke arah transformasi model pentadbiran berasaskan kebebasan dan demokrasi secara berperingkat yang dapat memacu anjakan sejajar ekonomi progresif bertunjangkan kapitalisme terbuka dan ikatan globalisasi bersepadu.
Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) dan Barat telah memberikan suntikan dan bantuan komprehensif kepada Beijing di bawah pentadbiran Deng Xiaoping berdasarkan dasar and aspirasi futuristik beliau dalam membuka ekonomi Beijing dan menerima sistem dan model baharu untuk China.
Xiaoping sedar laluan ke arah melonjak status China sebagai kuasa dominan dunia serta usaha merealisasikan agenda China Dream hanya akan berhasil dengan langkah modenisasi dalam sumber kritikal, sains dan teknologi serta memastikan ekonomi dalaman yang kukuh dan kental.
Selepas era Xiaoping, pentadbiran Zemin dan Jintao meneruskan agenda transformasi bersifat lebih terbuka dalam memupuk toleransi dan budaya pemerkasaan kebangkitan China sebagai tamadun dan kuasa dunia berasaskan keunggulan budaya, soft power serta ikatan kepercayaan dan kebergantungan aspek sumber dan ekonomi sejagat.
Walaupun Washington pada ketika itu sedar Beijing akan muncul sebagai pencabar terdekat pada masa depan, Uncle Sam terus menyimpan hasrat dan agenda jangka pendek bagi meneruskan dasar memikat Beijing.
Bantuan dan pemindahan teknologi, dana, sumber serta kepakaran terus melonjak dalam usaha untuk menyaksikan masyarakat China progresif dan berdaya saing yang dapat memberikan pulangan kepada kedua-dua pihak. Penyertaan Beijing dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2001 adalah hasil daripada sokongan Barat dan Washington.
Walaupun dibekalkan dengan anjakan ekonomi baharu hasil daripada kelebihan yang diraih di WTO serta peningkatan kebergantungan Barat terhadap kelebihan pasaran, sumber serta kapasiti pembuatan China, Beijing di bawah pimpinan Jintao terus berdisiplin dalam mengekalkan saranan dan strategi Xiaoping untuk kekal bijak dalam memperluas kuasa dan pengaruh China.
SUKAN OLIMPIK
Kuasa dunia lain masih melihat Beijing sebagai kuasa dominan akan datang yang bakal mencorak struktur dan alunan ekonomi, perdagangan serta keselamatan rantau dan dunia. Ini merupakan hasil daripada kejayaan impak dan pengaruh soft power Beijing yang efisien dan bersistematik di bawah Jintao hasil kejayaan Sukan Olimpik Beijing 2008.
Ketibaan Jinping menggantikan Jintao menyaksikan beliau berhasrat untuk meninggalkan takuk lama Jintao untuk menempa darjat legasi yang sama dengan Mao Zedong dan Xiaoping.
Era China di bawah Zemin dan Jintao dilihat sebagai kesinambungan ideologi dan aspirasi Xiaoping dalam membentuk orientasi China secara terkawal dan berdisiplin dan Jinping kekal dengan agendanya untuk mencetus perubahan lebih nyata, pantas dan berkesan.
Di bawah Jintao, dua tonggak utama dipancarkan menerusi fokus ikatan dan sokongan daripada Barat dan pada masa sama memperkasa kapasiti dalaman untuk menjadi sumber kebergantungan kepada Barat dan global.
Di bawah Jinping, beliau sedar dan membuat kesimpulan bahawa China tidak berupaya untuk terus mengharapkan orientasi Barat, di mana AS dan sekutu dilihatnya sebagai bijak dalam permainan jangka panjang untuk mengekang China.
Washington dilihat oleh Jinping untuk terus kekal menjadikan Beijing sebagai musuh dan pesaing masa depan dan AS tidak akan berganjak untuk mengekang kebangkitan China. Dengan pendirian strategik dan kukuh Jinping, China dibentuk untuk menyekat tentangan AS dan terus memperkukuh posisi, imej dan aspirasi China secara terang-terangan.
Jinping melihat masa sekarang sebagai terbaik untuk memecah cengkaman dominasi Barat dan menonjolkan keupayaan sebenar. Pertama, China akan mendapat kelebihan kerana dari segi kekuatan ketenteraan di samping kekuatan ekonomi sekarang bakal menyaksikan lebih banyak negara terhimpit untuk kekal berada di bawah radar China. Kedua, Beijing berharap pakatan Barat akan terjerat dengan taktik tindak balas agresif untuk memberikan respons terhadap tindakan China.
Strategi dan tindakan ini mengundang risiko jangka panjang kepada Beijing, di mana negara lain yang masih bergantung kepada China untuk kepentingan jangka pendek ekonomi sekarang akan berdepan kegusaran melangkaui pulangan kebergantungan ekonomi dari segi keselamatan dan kesinambungan negara.
Ini mungkin akan menyebabkan China hilang momentum dari segi soft power conviction dan kepercayaan berdasarkan nilai, di mana ini kekal kritikal untuk sesebuah negara menjadi kuasa dominan dunia dalam perspektif komprehensif.
Ia juga bakal mengundang tindakan lebih bersepadu dan efektif Barat dan Washington untuk mengekang taktik dan aspirasi Jinping dan China melalui pakatan dan gabungan sumber yang lebih meluas hasil daripada kegusaran negara lain. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya (UM).











