SEBAGAIMANA karya sastera, filem yang dihasilkan juga mampu merakam dan mengungkapkan budaya masyarakat setempat.
Cabaran dihadapi pembikin filem Tamil tempatan pula lebih besar kerana mereka bukan setakat perlu mengimbangi antara tanggungjawab menyampaikan mesej positif mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa atau stesen televisyen.
Mereka juga berdepan kekangan kewangan kerana pembikinan filem, telefilem dan drama Tamil di Malaysia masih jauh daripada boleh dikategorikan sebagai sebuah ‘industri.’
Pelbagai impian dan keinginan menghasilkan filem secara penuh seni dan kreatif terpaksa dikorbankan kerana penerbit, pengarah, jurukamera, pengarah seni, pelakon dan seluruh kru terpaksa akur pada kekangan yang wujud.
Sebagai tambahan kepada dua halangan ini, muncul pula cabaran ketiga iaitu khalayak penonton filem Tamil tempatan sentiasa membandingkan filem dari Kollywood (Tamil Nadu, India). Belum lagi mengambil kira filem Hindi, Malayalam, Telugu, Marathi, Bengali dan Kannada yang semakin mendapat perhatian penonton kaum India di Malaysia.
Maka penglibatan mana-mana individu dalam pembikinan filem, drama, telefilem atau filem pendek berbahasa Tamil wajar diberi perhatian, sokongan dan galakan dengan harapan mereka akan terus berusaha memberikan hasil lebih baik pada masa depan.
Dalam hal ini, Festival Filem Cholan anjuran Sai Nanthini Movie World dengan kerjasama Pertubuhan Filem India Kadaram, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi nafas baharu kepada anak muda tempatan yang menghasilkan telefilem, filem pendek dan video muzik dalam bahasa Tamil.
Para peserta memang bertuah kerana karya mereka turut dinilai pengarah dan pengkritik filem berwibawa seperti Hassan Abdul Muthalib dan Mohd. Zaini Hassan.
Dalam majlis penyampaian anugerah pada 12 November lalu di Sungai Petani, Kedah, peserta turut berpeluang mendengar ulasan panjang dan terperinci daripada juri. Komen dan kritikan yang diberi boleh dijadikan panduan untuk menghasilkan karya lebih baik pada masa depan.
Sejak dahulu, kita selalu mengatakan filem Tamil dari India yang penuh dengan unsur keganasan, jenayah, gengsterisme dan seks menjadi punca keruntuhan moral anak-anak muda dan remaja tempatan.
Memang sekarang pun ada banyak filem Kollywood yang mengagung-agungkan jenayah dan keganasan. Hero digambarkan terlibat dalam jenayah dan gengsterisme tanpa kawalan.
BERFOYA-FOYA
Trend sama sudah menular dalam filem Tamil tempatan. Contohnya, telefilem Assault dan Mun Vinai Payan yang mengangkat gengsterisme, jenayah, dadah, penyeludupan dan sebagainya.
Sekiranya dilihat dari sudut mesej dan muatan moral, kedua-duanya memang boleh dianggap gagal memberi sebarang kesan positif kepada remaja dan anak muda kerana mengagung serta mewajarkan budaya negatif.
Tentulah mesej negatif itu juga yang masuk ke dalam minda penonton remaja kaum India yang sudah sedia terdedah kepada risiko gengsterisme dalam kehidupan seharian.
Namun begitu, apabila dinilai sebagai sebuah filem, kedua-duanya ada kelebihan yang wajar diiktiraf. Misalnya dari aspek penyuntingan, pengarahan, pembawaan watak, muzik, sinematografi dan pengarahan seni. Tentulah kedua-dua telefilem ini menghadapi masalah untuk tayangan di televisyen tanpa melalui penyuntingan dan penapisan agak berat.
Apa yang diharapkan adalah supaya tenaga muda yang terlibat dalam pembikinan kedua-kedua telefilem terbabit memanfaatkan kelebihan yang dimiliki dan diiktiraf menerusi Festival Filem Cholan untuk menghasilkan filem dan telefilem yang lebih baik dan positif pada masa depan. Ada pula filem yang memang mengetengahkan mesej positif dan kekeluargaan.
Sayangnya, kisah yang disajikan dalam Petha Manasu Pithu terlalu klise. Misalnya, kisah ibu bapa di estet yang bersusah payah demi memastikan anak boleh belajar dengan baik. Si anak pula hidup selesa dan berfoya-foya di bandar.
Pada akhir cerita, si anak tiba-tiba insaf dan bertaubat. Malangnya, sebelum dia sempat pulang ke estet, ibu bapa meninggal dunia. Tema dan kisah seperti ini sudah terlalu banyak disajikan dalam cerpen dan novel Melayu sejak 1960-an. Lebih malang apabila cerita klise disajikan pula menerusi lakonan dan gaya perfileman yang konvensional juga.
Satu lagi tema lumrah dalam filem Kollywood sejak dahulu ialah kisah roh masuk ke dalam tubuh orang lain untuk membalas dendam. Premis sama ditemukan dalam filem Enakkul Oruvan yang ditayangkan menerusi TV2 pada 5 Oktober lalu. Memang timbul pertanyaan mengapa roh si mati mengambil masa 40 tahun sebelum datang membalas dendam.
Akan tetapi, telefilem ini memang ada beberapa kelebihan yang wajar dipuji. Misalnya, kemampuan menggambarkan situasi, budaya dan latar tempat di estet dalam babak imbas kembali.
Satu lagi kelebihan yang nyata ialah gaya lakonan kanak-kanak yang memegang watak Yashh. Bukan mudah untuk seorang kanak-kanak membawakan dua watak berbeza iaitu sebelum dan selepas tubuhnya dimasuki roh orang dewasa.
Lakonan bersahaja dan meyakinkan pasti mendapat pujian penonton. Sayangnya Festival Filem Cholan tidak menyediakan anugerah pelakon kanak-kanak, lalu terpaksa bersaing dalam kategori pelakon lelaki terbaik. Mungkin kelemahan ini boleh diatasi pada festival seterusnya.
Telefilem Kaathalin Vaanilai diangkat sebagai filem terbaik dan memang amat layak diberi pengiktirafan itu. Hakikat ini pasti diakui sesiapa yang berpeluang menontonnya di TV2 pada 9 November lalu. Malah, pada pandangan saya, filem ini layak ditayangkan di layar perak kerana ia merupakan suatu pakej agak lengkap.
Lakonan bersahaja daripada dua pelakon utama dan dua pelakon pembantu mampu membuatkan kita mengaitkan kisah dan pengalaman watak Neelan, Thendral, Varsha dan Samaran dengan kehidupan sehari-hari.
Filem ini berjaya mengangkat realiti budaya, pemikiran dan cabaran hidup yang sedang dilalui generasi muda kaum India, khasnya di bandar dan pekan besar. Saya optimis bahawa anak muda tempatan mampu menghasilkan filem, telefilem dan filem pendek bahasa Tamil yang lebih bermutu pada masa depan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











