Kaji semula kriteria pemilihan pelakon - Utusan Malaysia

Kaji semula kriteria pemilihan pelakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU rupa mengatasi bakat sudah sering diperdebatkan, malah berulang kali diperbahaskan penggiat industri hiburan.

Pelbagai pendapat dilontarkan sehingga berlaku percanggahan pandangan. Topik berkenaan kembali hangat diperkatakan susulan kenyataan yang dikeluarkan penerbit sensasi, Datuk A.Aida, baru-baru ini.

Kenyataan itu menyemarakkan api kemarahan sebilangan besar penggiat seni yang tidak bersetuju dan membangkang habis-habisan pendiriannya.

Diminta pandangan tentang isu berkenaan, anak seni berbakat besar, Khir Rahman, 49, berkata pelakon yang bergantung kepada faktor luaran semata-mata tidak akan bertahan lama sekiranya tidak disokong bakat.

“Saya okey tentang perkara itu sebab sememangnya fitrah manusia suka perkara yang cantik. Hendak beli kereta atau bunga pun, kita mahu yang cantik.

“Tetapi, jangan pula kita jadi elemen itu sebagai perkara utama. Bakat dan nilai persembahan mesti ada dalam diri seseorang pelakon.

“Dua perkara itu yang membantu anak wayang untuk kekal relevan, manakala rupa yang cantik dan kacak akan berubah seiring usia,” katanya.

Mengulas lanjut, Khir berkata, amalan pencarian pelakon dengan menetapkan rupa paras sebagai kriteria utama perlu dikaji semula untuk memastikan industri filem dan drama tempatan dapat berkembang serta mencapai standard antarabangsa.

“Contohnya, mencari pelakon menerusi media sosial. Ada yang mempersoalkan kenapa perlu mencari pelakon di platform tersebut, sedangkan banyak ruang lain untuk mencungkil bakat baharu.

“Apa yang salah adalah cara pencarian pelakon apabila kita hanya memandang rupa. Buat mana-mana pelakon, berdirilah atas bakat sendiri dan bukan bersandar kepada kecantikan semata-mata.

“Jangan asal pelakon itu cantik, dia ditawarkan watak sedangkan tidak boleh berlakon. Pemikiran begini yang menyesatkan industri. Rupa paras yang menarik adalah bonus, manakala bakat tetap paling utama. Saya bernasib baik kerana banyak pihak yang membantu dalam mengasah bakat, membentuk lontaran suara dan penghayatan.

“Orang kata setiap kali saya berlakon, watak yang dibawakan menjadi. Saya bersyukur dengan kelebihan itu,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Hilang arahan Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi, baru-baru ini.

Bukan sekadar pacak muka depan kamera – Aqasha

Mengulas isu sama, pelakon kacak, Aqasha senada dengan Khir yang menolak pemilihan pelakon berdasarkan rupa paras kerana baginya, bakat lebih diutamakan.

Kata pelakon filem Embun itu, lakonan adalah bidang yang kompleks dan berasaskan ilmu yang perlu dikuasai seseorang anak seni. Justeru katanya, kecantikan dan ketampanan tetap jatuh nombor dua atau disifatkan sebagai bonus.

“Saya bermula dalam bidang lakonan dengan membintangi teater. Sebaik sahaja melangkah dalam dunia teater, saya sedar kena ada ilmu. Itu yang saya kejar ketika mula-mula berlakon dahulu.

“Saya percaya kita akan tahu apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pelakon kalau kita hormat asas tersebut. Berlakon bukan sekadar pacak muka depan kamera dan tunggu pengarah kata action. Ia lebih daripada itu,” ujarnya.

Aqasha juga tegas dengan pendirian menolak pandangan pemain industri yang lebih mementingkan rupa dan meletakkan bakat sebagai perkara kedua.

“Senang cakap memang saya tidak bersetuju apabila ada penerbit yang memandang rupa semata-mata. Pada saya, bakat tetap nombor satu.

“Saya tidak nafikan memang ramai yang akan pilih rupa, tetapi harus diingat ia hanya permainan visual. Hujung pangkal, keberkesanan lakonan lebih penting.

“Rupa paras tidak akan bermakna tanpa adanya falsafah lakonan dalam diri.Penonton akan tengok benda kosong, tiada pengisian dan buang masa,” kongsinya.

Hilang satukan Aqasha, Khir

Buat kesekian kalinya, Khir dan Aqasha kembali digandingkan dalam produksi terbaru, Hilang.

Drama yang ditayangkan di platform Viu itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Siti Saleha, Jasmine Suraya, Farah Ahmad dan ramai lagi.

Hilang mengisahkan tentang pembunuhan seorang remaja berstatus pendatang tanpa izin yang tinggal di sebuah kampung bernama Seri Daik.

Tragedi pembunuhan tersebut menarik minat seorang anggota penyiasat, Inspektor Munir (Khir Rahman) untuk kembali ke kampung selepas 17 tahun dan menyiasat kematian remaja tersebut.

Kepulangan itu mempertemukannya semula dengan rakan lama, Yusof yang dituduh sebagai pembunuh adik kepada Munir, bertahun-tahun lalu. Kepulangan Munir dan Yusof merungkai misteri yang menyelubungi kampung tersebut.

Pengarah, Sein memaklumkan, Hilang merupakan naskhah yang terhasil tanpa merujuk mana-mana drama bersiri popular.

“Kami sengaja bahagikan penceritaan yang mengupas tentang aktiviti suspek pembunuhan dalam setiap episod.

“Elemen mistik dan seram kami masukkan sebagai rencah yang akan menghidupkan lagi drama ini. Kami mahu mencapai standard penghasilan drama sebenar tanpa perlu meniru formula produksi sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ghaz tidak menolak Hilang menyampaikan ideologi keagamaan dan adat Melayu yang dekat dengan penonton di negara ini.

“Kalau kita rujuk filem atau drama Hollywood, mereka banyak menyampaikan ideologi agama dalam naskhah yang dipersembahkan.

“Dalam Hilang, kami sampaikan ideologi dari sudut pandang Islam di mana Yusof dipaparkan sebagai karakter yang alim dan merupakan simbol kepercayaan agama, manakala Inspektor Munir pula kurang mempercayai benda ghaib menjadi simbol sebagai orang tidak beriman,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×