DERETAN 16 lagu yang dipersembahkan terasa seakan masih belum cukup untuk melenyapkan bara kerinduan peminat yang membanjiri Zepp Kuala Lumpur, tempoh hari.
Menyatu dalam Konsert Noah Live in KL, Ariel, Lukman dan David Albert bagaikan sukar menolak permintaan peminat yang sudah lama menanti kehadiran mereka.
Malah sejak sebelum pandemik, sudah ada ura-ura bertebaran mengenai kunjungan Noah ke Kuala Lumpur.
Namun, apabila hari yang dijanjikan tiba, ramai dalam kalangan peminat merungut, persembahan yang dilakukan band popular dari seberang ini seakan singkat benar, tidak padan dengan harga tiket dan penantian lama mereka.
Begitulah situasi jikalau sudah namanya peminat tegar. Masa yang berlalu dirasakan bagai tidak cukup, malah mendambakan lebih waktu untuk bersama dengan band kesayangan ramai ini.
Dari sisi positif, ada usaha dilakukan Ariel, Lukman dan David yang sedaya upaya mahu memberikan yang terbaik buat peminat.
Bagaimanapun, ada khabar gembira dilayangkan Noah, khusus buat memenuhi permintaan penyokong mereka.
“Peminat di Malaysia tidak pernah menghampakan kami. Semoga tahun depan, kita akan bertemu lagi dalam acara begini di lokasi lebih besar,” katanya.
Meskipun ringkas, ia cukup untuk memberikan jaminan Noah akan kembali beraksi di sini.
Perkara itu turut dikongsi Ariel pada sidang media, sehari sebelum konsert berlangsung.
Katanya, Noah sedang dalam perancangan untuk mengadakan satu lagi konsert berskala besar pada tahun depan.
“Kali terakhir kami datang ke sini, lima tahun lalu. Ketika album keluar pada 2019, hajat untuk promosi di sini tidak dapat dilakukan kerana faktor pandemik. Sekarang sudah boleh, jadi tiada alasan lain untuk kami tidak datang ke sini.
“Kami akur, ruang persembahan untuk konsert kali ini mungkin terhad dan lebih kepada sesi persembahan intimasi bersama peminat.
“Jika tiada aral, kami akan kembali lagi dan berkemungkinan untuk bekerjasama dengan penyanyi serta pemuzik di sini,” katanya.
Dalam pada itu, penganjuran konsert yang dibawakan Yolo Malaysia menyaksikan sambutan memberangsangkan apabila dihadiri 3,000 peminat.
Antara lagu yang dibawakan, termasuk Menghapus Jejakmu, Separuh Aku, Cobalah Mengerti, Kisah Cintaku, Yang Terdalam, Bintang Di Surga dan Mungkin Nanti.
Menariknya, pembeli tiket dibekalkan dengan gelang tangan LED yang mengeluarkan cahaya mengikut irama muzik sepanjang konsert.
Kata Penerbit Eksekutif Yolo Malaysia, Haniff Hamzah, ia merupakan kali pertama gajet sedemikian digunakan dalam konsert di negara ini.
“Peminat juga diberikan kad dengan paparan wajah anggota Noah sebagai kenangan,” katanya.
Sementara itu, Ariel meluahkan rasa puas hati dengan keseluruhan perjalanan konsert, terutam sistem bunyi yang mantap.
Dia juga berharap peminat pulang dengan senyuman bersama kenangan yang mereka tinggalkan menerusi persembahan pada malam itu.











