Menjejaki syurga ski di New Zealand - Utusan Malaysia

Menjejaki syurga ski di New Zealand

PERGUNUNGAN sekitar Quensland jadi lokasi penggemar sukan ski dari seluruh dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keletihan menempuh penerbangan sehingga 12 jam lenyap sebaik mata dijamu dengan pemandangan gunung-ganang yang diselaputi salji ketika kapal terbang mendekati Lapangan Terbang Queenstown, New Zealand.

Tidak sabar hendak menerokai gunung-ganang di sekitar Quensland yang sememangnya menjadi lokasi penggemar sukan ski dari seluruh dunia.

Urusan di imigresen berjalan lancar dan pelancong hanya diminta mengisytiharkan barang dibawa termasuk makanan. Tidak salah bawa apa-apa makanan tapi kena isytihar.

“Selesai urusan di imigresen, kami menaiki kereta yang sudah disewa secara dalam talian sebelum ini, dan terus ke Colonial Village Motel tempat kami menginap selama empat hari ini di bandar Queenstown. 

“Kabus menyelubungi puncak gunung dengan langit membiru menghidangkan pemandangan bak lukisan,” kata Datin Hanita Mohd. Noor berkongsi pengalaman bercutinya ke negara kiwi itu, kepada Seri.

Jalan raya menuju motel tidak begitu sibuk dan menjadikan pemanduan jadi lancar tambahan pula tempat penginapan itu hanya terletak 10 minit saja dari lapangan terbang. 

Bandar Queenstown kecil saja tapi agak sibuk kerana ramai pelancong datang ke bandar yang terkenal sebagai syurga ski ini. Ada tiga pilihan resort ski tidak jauh dari bandar ini iaitu The Remarkables, Coronet Peak and Cardrona Alpine Resort. 

“Kebanyakan hotel di sini menghadap Tasik Wakatipu termasuklah motel tempat kami menginap. Suasananya cukup tenang dengan angin menderu lembut dengan pemandangan menakjubkan berlatarkan gunung-ganang.

“Sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini, kami memilih untuk makan kebab Turki yang berharga USD15 sehingga USD29 untuk hidangan makan malam,” katanya.

CORONET PEAK

Perjalanan ke sini dari hotel penginapan hanya mengambil masa 20 minit saja tetapi pemanduan agak mencabar kerana jalannya sempit di lereng gunung dan tepi gaung.

Peralatan untuk ski kami sewa sahaja di situ. Selepas puas bermain ski selama empat hari di Queenstown, kami ke Tasik Tekapo yang mengambil masa dua setengah jam. Perjalanan melalui lereng-lereng gunung yang bengkang bengkok memang cukup memenatkan.

Oleh kerana keadaan jalan yang bengkang bengkok, kami perlu memandu perlahan dan lebih berhati-hati. Sesekali kereta membelok di simpang dengan gaung curam disebelahnya.

TASIK TEKAPO

Tasik Tekapo destinasi romantik, bak lukisan yang hidup. Tasik kedua terbesar daripada tiga tasik utama di South Island New Zealand ini berkeluasan 83 km persegi dan ketinggian 700 meter di atas paras laut.

Penduduk di Tekapo tidak begitu ramai menjadikan kawasan ini cukup tenang. Namun banyak juga restoran, kafe, supermarket serta hotel di sekitar bandar yang juga di anggap destinasi romantik untuk pasangan berbulan madu.

“Selepas check in di Hotel Godley yang terletak di tepi tasik dengan pemandangan gunung-ganang. Kami berjalan selama lima minit saja dari hotel untuk ke tasik. Angin bertiup agak kuat ketika kami tiba di tepi tasik Tekapo yang terbentang luas di depan mata.

“Di tepi tasik ada sebuah gereja kecil, The Good Shepard yang menjadi lokasi untuk pengunjung melihat keindahan kerlipan bintang di waktu malam,” katanya.

Makan malam, masak nasi dan goreng telur dadar dimakan dengan kicap yang dibeli di sebuah pasaraya.

“Kami tidur awal dan terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat berdentum kira-kira jam 10 malam. Sebaik keluar kami teruja melihat hujan ais batu,” katanya.

CHRISTCHURCH
Perjalanan mengambil masa hampir tiga jam menempuh jalan yang seperti ular kena palu di lereng-lereng gunung.

Sepanjang perjalanan mata dihidangkan dengan kawasan padang ragut kambing biri-biri dan lembu berwarna hitam. Ada pelancong yang memberhentikan kereta untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan kambing biri-biri yang berbulu putih.

Dalam perjalanan mereka sempat singgah di tempat bermain ski, Roundhill Ski Field di Mckenzie District iaitu kira-kira 32 km dari bandar Tasik Tekapo tapi tidak bermain ski kali ini dan hanya masuk untuk melihat keadaan di situ. Pemandangan di sini memang menakjubkan, merentasi tasik Tekapo dan pergunungan.

MASJID MASIH BAU DARAH

“Kami tiba di Christchurch jam tiga petang dan terus ke Masjid Al Noor di Canterbury, Christchurch untuk solat jamak. Melangkah ke dalam masjid, seakan terhidu bau hanyir darah kesan tragedi tembakan pada hari Jumaat, 15 Mac 2019 yang mengorbankan 51 mangsa dan 42 mengalami kecederaan.

“Di luar masjid terdapat tugu peringatan didirikan bagi memperingati para syuhada yang terkorban,” katanya.

Mereka kemudian ke Hotel Belmont Motor Inn yang terletak kira-kira 3.8 km dari masjid untuk check in selama empat hari.

Keesokan harinya mereka ke Mount Hutt yang terletak 90km dari Christchurch untuk bermain ski. Pemanduan agak mencabar dengan mendaki gunung sejauh 14 km dengan jalan yang sempit dan agak menakutkan bila berselisih dengan kenderaan lain.

Di sini perlu mahir bermain ski kerana kecuraman gunung menyebabkan anda meluncur laju. Itulah sebabnya ia dikenali sebagai ‘Bandar kelajuan’ (capital of speed).

“Pulang ke Christchurch, kami berusaha mencari makanan halal menerusi Google dan berjaya menemui kedai nasi briyani Hyederabadi Dum Briyani yang menghidangkan masakan seperti briyani sayuran, ayam, kambing dan telur pada harga serendah NZ 13 hingga NZ66.

“Pengalaman ke Lake Coleridge di pedalaman Canterbury pada hari kedua agak menyeramkan kerana di sini kami seakan tersesat sekejap apabila terputus dari liputan internet. Kawasan kejiranannya sunyi sepi malah jarak antara setiap rumah pun agak jauh antara satu sama lain.

“Tiada sebuah kereta pelancong pun di situ. Kami tidak jadi meneruskan perjalanan ke tasik kerana bimbang kerana tiada orang langsung. Kami tengok pemandangan tasik dari jauh saja kerana perlu berjalan kaki agak jauh untuk ke tasik. Tasik ini terletak di lembah yang terlalu dalam yang dibentuk oleh glasier lebih 20,000 tahun yang lalu pada era Pleistocene,” katanya.

Tempat menarik lain yang sempat dikunjungi adalah Mount Cook yang menghidangkan pemandangan indah glasier yang turun ke celah cerun-cerun gunung.

Sebenarnya terdapat perkhidmatan helikopter dengan bayaran NZ200 untuk menikmati pemandangan di sini.

Di Milford Sound pelancong boleh menaiki cruise mengelilingi tasik dan melihat pemandangan air terjun tinggi yang memukau dan melihat secara dekat dolphin berenang dan mengejar cruise.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×