Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan penglibatan golongan selebriti yang bertanding, membawa perjuangan masing-masing atas keprihatinan terhadap nasib rakyat. Perkembangan ini membuktikan besarnya pengaruh golongan tersebut dalam menyuarakan aspirasi rakyat.
Masing-masing mendepani manifesto tersendiri, yang antara lain memfokuskan kepada kebajikan dan keperluan masyarakat yang selama ini mendambakan pembaharuan dalam tampuk pemerintahan.
Berjayakah para selebriti meraih sokongan rakyat, menang dalam PRU15 sekali gus merealisasikan perjuangan mereka? Segalanya bakal terjawab 19 November ini.
Jadikan PD hab pendidikan khas – Ahmad Idham
Pelakon dan pengarah, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri mempunyai wawasan untuk menjadikan Port Dickson sebagai hab pendidikan khas serta banda pelancongan mesra orang kurang upaya (OKU).
Bagi merealisasikan hasrat itu, dia memilih bandar Springhill untuk dijadikan lokasi pertama pembinaan pusat intervensi awal bagi kanak-kanak istimewa dan pembelajaran khas.
“Selepas perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Springhill adalah lokasi yang sesuai. Saya juga mempunyai pengalaman membina sekolah tersebut di Kuala Lumpur dan Sabah, lesen juga sudah ada, jadi tiada masalah untuk saya gerakkan.
“Saya tak perlu gerak kerja dari kosong semasa musim kempen ini sebab tiga bulan awal saya sudah buat tinjauan di kawasan Parlimen ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Idham juga mahu mengembalikan Port Dickson sebagai bandar pelancongan utama disebabkan ekonomi penduduk tempatan bergantung pada sektor tersebut.
Jelasnya, sektor itu juga akan melibatkan golongan peniaga di kawasan pantai dan infrastruktur berkaitan perlu ditambah baik bagi menarik lebih ramai pelancong luar.
Selain itu, katanya, sukan air juga perlu dipelbagaikan bagi merancakkan sektor pelancongan.
“Dapatan ini saya diperoleh daripada anak muda yang mahu lebih banyak aktiviti sukan air seperti parachute dan paragliding, bukan setakat ada jet ski sahaja.
“Ini sudah tentu boleh jadi tumpuan pelancongan dan pada masa sama saya mahu menarik lebih ramai pelabur luar datang serta menyelesaikan projek-projek yang tertangguh akibat pandemik sebelum ini,” katanya.
Tubuh Jawatankuasa Komuniti Parlimen Sabak Bernam – Eizlan Yusof
Walaupun berdepan momokan calon luar dan memegang status selebriti yang menjadi pertikaian penduduk tempatan, pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof tidak mahu dilihat lemah dan tetap bertekad menjadi wakil rakyat yang terbaik.
Malah Eizlan turut merancang menubuhkan Jawatankuasa Komuniti Parlimen Sabak Bernam yang ahlinya terdiri daripada penduduk tempatan supaya masalah dapat disalurkan dengan baik.
Katanya, tidak sampai seminggu berada di kawasan Parlimen ini sudah banyak aduan, masalah dan keluhan yang disampaikan sendiri oleh penduduk kampung.
“Apabila saya beritahu pelan tindakan yang ingin dibawa sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, penduduk sendiri teruja kerana mereka tidak pernah dengar cadangan seperti ini.
“Saya harap penduduk Sabak Bernam memberi peluang dan ruang untuk saya bekerja bagi mempercepatkan proses dan saluran aduan di sini,” katanya.
Mengulas kaedah dan pendekatan kurang agresif di media sosial, Eizlan yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempunyai cara tersendiri berkempen semasa PRU15.
“Alhamdulillah, ia berjalan baik dan saya lebih suka turun padang dan kadang-kadang berjalan sendiri.
“Dengan kelebihan Allah SWT bagi, ramai juga penduduk tempatan yang sudah mengenali saya sendiri dan mereka juga sangat menghormati walaupun dari penyokong parti berbeza,” katanya.
Walaupun bergelar selebriti, tidak terdetik di hati Eizlan untuk menggunakan populariti sebagai kaedah mendekati rakyat.
Pelakon filem Paskal ini berkata, dia mahu rakyat tempatan mengenali personaliti sebenar supaya tidak skeptikal dengan kemampuan dirinya.
Apatah lagi status pelakon bukan kayu ukur menilai kebolehmampuan individu melakukan kerja kerana jelasnya, ramai sahaja ahli politik yang tidak buat kerja di kawasan yang diwakili.
“Masalah rangkaian internet yang tidak lancar dan mengangkat Sabak Bernam sebagai lokasi ekopelancongan turut menjadi agenda pembaharuan yang akan dilaksanakan kelak,” katanya.
Bukan main politik – Lando Zawawi
Pengasas Ikatan Silaturrahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi menegaskan penglibatannya yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kawasan Tanjong Karang bukan untuk bermain politik.
Hasrat bertanding adalah untuk memperjuangkan nasib masyarakat yang selama ini terkesan ekoran kelemahan agensi kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya bukan ahli politik dan Brotherhood ditubuhkan bukan untuk main politik atau menjadi ‘macai’ kepada mana-mana parti politik. Sebab itu saya tidak melihat diri saya sebagai pencabar kepada mana-mana calon yang bertanding.
“Saya mencabar diri sendiri untuk menjadi pemimpin yang dapat membawa perubahan di Tanjong Karang, melawan ketirisan dalam sistem pemerintahan dan pengurusan yang selama ini menjadi punca kepada pelbagai masalah yang membelenggu rakyat.
“Itulah fokus Brotherhood sejak ditubuhkan 16 tahun yang lalu. Justeru, saya mahu pastikan sistem pengurusan sedia ada dilaksanakan dengan baik tanpa salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya.
Lando berkata, banyak masalah gagal diselesaikan pemerintah sehingga mengakibatkan masyarakat di kawasan tersebut buntu.
Beliau akan turut membantu mempertingkatkan lagi ekonomi masyarakat tempatan sekiranya berjaya meraih sokongan rakyat dan menang di Tanjong Karang.
“Pertama, kami tumpukan kepada masalah kesesakan trafik lebih-lebih lagi berdekatan jambatan Tanjong Karang yang sekian lama membelenggu masyarakat di sini.
“Kedua, kami mahu membantu golongan petani yang saban tahun mengalami kerugian akibat penggunaan baja, racun serangga yang tidak berkualiti sehingga merosakkan padi. Pada masa sama, kami mahu majukan teknologi tenaga solar untuk tanaman tersebut.
“Para nelayan runsing dengan ketiadaan infrastruktur yang baik. Di jambatan Tanjong Karang ada sebuah pusat pengumpulan namun hanya menjadi projek gajah putih kerana tidak dimajukan dan diselenggara sepenuhnya,” jelasnya.
Bangunkan pelancongan Lenggong – Jurey Latiff
Penambahbaikan sektor pelancongan menjadi antara manifesto yang diperjuangkan calon Parlimen Lenggong, Perak, Datuk Jurey Latiff Rosli, 56, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Kata Jurey, dia yakin Lenggong dapat dibangunkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Banyak tarikan di Lenggong yang boleh kita perbaiki seperti aset pelancongannya yang tidak diketahui umum.
“Ia boleh dibangunkan lagi agar ia boleh menjadi Tapak Warisan Dunia yang memberi manfaat ekonomi kepada penduduknya.
“Kedatangan pelancong ke sini masih kurang walhal ia adalah Tapak Warisan Dunia yang diwartakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.
Jurey memaklumkan dia juga berazam untuk menangani masalah kemiskinan tegar di Lenggong yang semakin merungsingkan.
“Masalah kemiskinan semakin meningkat. Ini berlaku kerana kurangnya peluang pekerjaan untuk orang muda sehingga memaksa mereka berhijrah ke bandar.
“Yang tinggal hanyalah warga emas yang melakukan kerja menoreh getah, menangkap ikan dan sebagainya.
“Jadi saya nampak potensi sektor pelancongan di sini untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Untuk menjadikan Lenggong sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, ke a ada perubahan,” ujarnya.











