GEORGE TOWN: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan perpindahannya dari Parlimen Pendang ke Tasek Gelugor adalah strategi untuk mengekalkan kemenangan PN di kerusi itu.
Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perpindahan calon adalah perkara biasa yang diamalkan parti-parti politik untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum.
”Keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan yang mengarahkan saya bertanding di kerusi ini adalah satu amanah dan saya bertanggungjawab memastikan kemenangan kerusi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada PRU-14, Wan Saiful bertanding di kerusi Parlimen Pendang namun tewas kepada Datuk Awang Hashim daripada Pas.
Menurut Wan Saiful, banyak perkara yang perlu dipelajarinya di Tasek Gelugor dan setakat ini penerimaan pengundi terhadap kehadirannya di situ disifatkan amat baik.
”Jentera Bersatu dan PN juga memberikan sokongan sepenuhnya kepada saya dan kita akan cuba pastikan kemenangan berpihak kepada PN di kerusi itu,” katanya.
Dalam pada itu, calon paling muda PN Pulau Pinang iaitu Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid, 30, yang diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Balik Pulau berkata, beliau bersedia diapit dua calon senior daripada parti-parti lain di kerusi berkenaan.
”Tanggungjawab sebagai calon ini saya akan galas dengan sebaik-baiknya, malah saya juga yakin boleh menarik pengundi-pengundi muda untuk memilih PN di kerusi Parlimen Balik Pulau,” katanya.
Diminta mengulas mengenai akar umbi Bersatu Bahagian Balik Pulau yang didakwa menolak pencalonannya, Muhammad Harris Idaham berkata, isu itu telah berakhir kerana semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan PN.
”Tidak ada penentangan, sebelum pengumuman memang masing-masing ada hasrat tetapi selepas umum, semua akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya. – UTUSAN










