PKP, Darurat jejas prestasi Bursa - Utusan Malaysia

PKP, Darurat jejas prestasi Bursa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat telah memberi impak negatif terhadap prestasi pasaran modal negara.

Ketika ditutup pada pukul 5 petang semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.32 peratus atau 5.21 mata kepada 1,612.04 mata dengan indeks teknologi dan pengangkutan masing-masing menerajui pasaran apabila naik 2.9 dan 2.6 peratus.

Bursa Malaysia dibuka rendah berbanding penghujung sesi dagangan kelmarin apabila turun 1.41 mata kepada 1,615.84 mata pada permulaan sesi.

Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim, reaksi ‘knee-jerk’ dalam kalangan pelabur sudah pun dijangka berlaku tetapi ia dilihat berbeza ketika pelaksanaan PKP kali pertama.

Beliau berkata, penurunan prestasi Bursa Malaysia dijangka berlaku dalam masa terdekat tetapi pelabur mungkin akan membeli saham apabila keadaan kembali stabil.

“Tidak boleh dinafikan bahawa Bursa Malaysia akan mengalami penjualan saham masa terdekat akibat kegusaran dalam kalangan pelabur.

“Namun begitu, kadar penurunan FBM KLCI kali ini adalah lebih kecil kerana peniaga telah bersedia berbanding PKP lalu yang menyaksikan Bursa Malaysia mencecah paras terendah 1,219.72 mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebanyak 8.408 bilion saham telah didagangkan pada nilai RM5.76 bilion dengan 732 kaunter mencatatkan keuntungan berbanding 502 rugi manakala 421 kaunter lagi tidak berubah.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan memberitahu pasaran modal negara akan terus beroperasi sepanjang tempoh PKP dan Proklamasi Darurat.

Hal demikian kerana menurut Tengku Zafrul, ia penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh tersebut.

“Saya ingin menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan disokong oleh kecairan yang tinggi.

“Kerajaan ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia dan pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan yang teratur termasuk pasaran kewangan serta pasaran modal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×