Ada sebab saya pilih Vida – Alyph - Utusan Malaysia

Ada sebab saya pilih Vida – Alyph

VIDA memilik kriteria yang dicari Alyph untuk tampil dalam video muzik single terbaharunya, Swipe.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECINTAANNYA terhadap genre hip-hop disemarakkan dengan meneroka lebih mendalam aliran muzik yang dipelopori Too Phat, suatu ketika dahulu.

Melihat penerimaan umum terhadap Too Phat membuka mata Alyph tentang hip-hop yang mampu membentuk identiti dan citra muzik tempatan.

Seni baginya bebas, asalkan memberi makna dan manfaat kepada masyarakat, selain mempertahankan identiti yang membentuk jati diri.

Lantas kata Alyph, pemilihan usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida untuk kemunculan istimewa dalam klip video single terbaharunya, Swipe bukan sekadar suka-suka, sebaliknya menepati kriteria ditetapkan.

Sebagai komposer yang sudah menghasilkan banyak lagu hip-hop, Alyph mencari bunyi vokal bersesuaian untuk melengkapkan perjalanan cerita.

Bagi memberikan gambaran realistik, penulis lagu kelahiran Singapura itu menjadikan Vida sebagai rujukan untuk sentuhan yang disuntik elemen romantik.

“Saya mahukan individu yang bangga menjadi diri sendiri, pada masa sama ada sejarah dan kejayaan di depan mata. Dia memiliki karakter itu.

“Boleh sahaja saya berbincang dengan Vida untuk buat kontroversi, tetapi itu bukan saya,” katanya.

Alyph yang baru memenangi anugerah Young Songwriter of the Year di Singapura berkata, Vida juga sering mendapat liputan media dan tidak pernah gagal menjentik khalayak untuk bercakap mengenainya.

“Frasa yang pernah diucapkan Vida juga menjadi pembuka lagu tersebut dan bertepatan dengan alur semangatnya: ‘Asalkan kamu ada hala tuju, apa nak kisah?” katanya.

SOKONGAN JOE FLIZZOW

Ditebak sama ada Joe Flizzow pernah mempertikai hasratnya ‘melamar’ Vida untuk muncul dalam klip video muzik tersebut, Alyph berkata, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 menerusi lagu Apa Khabar itu meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya.

Walaupun Joe sebelum ini dengan tegas memberitahu tidak akan sama sekali berkolaborasi dengan mana-mana usahawan sensasi menghasilkan lagu, kali ini dia dilihat bersikap terbuka.

“Joe seperti abang dan dia meletakkan kepercayaan 100 peratus serta percaya niat saya. Apapun yang saya lakukan, ia dikaji dan diselidiki sebelum sesebuah lagu dihasilkan.

“Dia tidak mempertikai hasil kerja saya, malah turut datang memberikan sokongan pada majlis pelancaran single ini,” katanya.

Mengenai hala tuju dalam pembikinan lagu, Alyph berkata, dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan single baharu.

Ditambah pula berkarya pada era ledakan digital, pendengar lebih berminat untuk membuat penstriman lagu secara dalam talian.

VIDEO MUZIK

Penghasilan video muzik Swipe mendapat sentuhan pengarah kreatif dan pejuang budaya, Shahrin Bahar yang pernah berkhidmat dengan ramai rakan hip-hop seangkatan Alyph.

Ia juga membawa Alyph keluar dari kepompong keselesaan dengan memberikan laluan kepada Shahrin berkarya mengikut kreativitinya.

Shahrin memberitahu, video muzik itu diinspirasikan daripada perwatakan penyanyi itu yang lahir dalam keluarga yang sangat menghargai muzik dan seni.

Swipe kini boleh dinikmati di semua platform pelayaran digital, manakala video muziknya dapat ditonton menerusi YouTube.

Dilancarkan Jumaat lalu, klip video lagu tersebut berjaya menghuni carta ketujuh paling trending di YouTube pada hari pertama diperkenalkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×