Usahawan tidak boleh syok sendiri - Utusan Malaysia

Usahawan tidak boleh syok sendiri

Nik Sarina Hashim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datin Dr. Nik Sarina Hashim berkelulusan undang-undang dan pernah menjadi peguam, majistret serta Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara. Namun itu bukanlah alasan untuk dirinya terbabit dalam dunia keusahawanan dengan mengeluarkan produk kosmetik.

Kata Nik Sarina, menceburi bidang yang luar daripada kepakaran tidaklah semudah disangka kerana ia memerlukan keberanian dan keazaman.

Namun katanya, ilmu dan pengalaman dalam bidang perundangan, memberi kelebihan untuknya bergerak maju dalam bidang perniagaan yang menjadi keutamaannya kini.

Beliau komited memperkenal dan memasarkan produk SLAE Cosmetics pada 2021.

Selain SLAE, Nik Sarina turut memulakan syarikat perniagaan e-dagang Amaxmall Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2016.

“Pengalaman memasarkan produk keluaran usahawan tempatan di platform e-dagang Amaxmall itu jugalah yang telah mencetuskan inspirasi untuk saya mengeluarkan produk kosmetik jenama sendiri,” katanya.

Nyata keputusannya berbaloi kerana rangkaian produk kosmetik yang lengkap untuk kecantikan wajah ini walaupun masih baru namun jenama ini mendapat sambutan menggalakkan.

Penjagaan kecantikan wajah dan penampilan diri sebenarnya tidak asing dalam hidup Nik Sarina.

Buat mereka yang mengenalinya pasti tidak menafikan bahawa Nik Sarina mementingkan penampilan diri ketika berada di khalayak ramai.

“Saya berterima kasih kepada ibu kerana beliaulah menekankan penjagaan kecantikan dan penampilan diri sejak remaja lagi.

“Sejak zaman persekolahan lagi saya diajar ibu untuk menjaga kulit wajah dan penampilan diri. Malah saya sentiasa ingat pesannya sehingga kini. Ibu kata kalau hendak keluar rumah paling kurang pun perlulah sapu bedak pada muka.

“Pesan ibu itu juga buat saya sentiasa pastikan diri bersiap rapi dari atas hingga ke bawah setiap kali keluar rumah. Bagi saya mudah sahaja untuk jaga kecantikan dan penampilan asalkan kita rajin melakukannya,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Jadi diri sendiri
Tegas Nik Sarina lagi setiap wanita ada kecantikan tersendiri.

Apabila wanita jaga diri, jaga penampilan sekaligus ia membuatkan mereka rasa gembira dan yakin dengan diri mereka.

“Cara bawa diri itu juga penting. Jangan jadi orang lain. Wanita perlu jadi diri sendiri sebelum menjaga orang lain. Apabila wanita itu yakin dengan diri mereka barulah mereka boleh jadi kakak, isteri, ibu yang bagus,” katanya.

Tidak mudah bergelar usahawan dan ahli perniagaan namun Nik Sarina bersyukur kerana sejak menceburinya banyak pengalaman yang dikumpul dan boleh dikongsi bersama mereka yang berminat.

“Tips yang boleh saya kongsikan dalam bidang perniagaan adalah tidak boleh syok sendiri. Sentiasa bertanya pada orang yang lebih berilmu dan berpengalaman. Penting untuk mendengar pendapat orang yang pakar dalam bidang yang ingin diceburi,” katanya.

Pemakanan sihat
Melihatkan wajah wanita berusia 50 tahun ini pasti ada antara wanita sebayanya yang rasa cemburu.

Menurut Nik Sarina apa yang dimiliki kini adalah kesinambungan amalan penjagaan kecantikan yang diamalkan sejak dari muda lagi.

Rutin seharian Nik Sarina dalam penjagaan wajah adalah memastikan wajah dicuci bersih dengan pencuci muka dan menyapu losen pelembap wajah.

Selepas itu jika ada keperluan barulah beliau menggunakan produk kosmetik yang sesuai dengan kulit wajah.

Namun begitu penjagaan kulit wajah bukan setakat menjaga penampilan luaran sahaja.

Akui Nik Sarina, penjagaan dalaman juga penting.

Katanya lagi menjaga kecantikan wajah semuanya perlu bermula dengan cara seseorang itu menjaga pengambilan pemakanan setiap hari.

“Mengambil makanan sihat itu adalah amalan saya sejak dari muda lagi. Nabi Muhammad SAW berkata kita perlu jaga pemakanan kerana penyakit itu datang dari perut. Oleh itu apa yang kita makan itu sangat penting.

“Saya percaya kulit kita akan terjaga kalau kita ambil makanan sihat.

“Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin C dan multivitamin juga amat digalakkan sebab ia mampu melindungi diri daripada penyakit.

“Selain itu penting juga untuk melakukan senaman untuk memastikan diri cergas.

“Saya sendiri sejak dari muda tidak pernah meninggalkan amalan bersenam. Paling kurang tiga kali seminggu mesti melakukan senaman. Dalam usia sekarang, saya masih lagi jaga kecergasan diri,” katanya berterus terang.

Aktif sukan berkuda dan Polo
Nik Sarina sukakan kuda dan sejak berusia 24 tahun beliau telah aktif sukan berkuda dan bermain sukan Polo. Penglibatannya dalam sukan Polo bermula selepas berkahwin dengan suaminya Datuk Abdul Ghani Abdullah dan semasa anak-anaknya masih lagi kecil.

“Saya pilih bermain sukan Polo sebab ia pantas dan banyak cabaran. Tidak dinafikan sukan ini agak bahaya tetapi ada banyak peraturan. Jika ikut peraturan pasti kita akan selamat ketika melakukannya.

“Apabila ada pertandingan dalam sukan Polo, kalau ada kesempatan saya cuba juga bertanding bersama pasukan saya. Terkini, saya bertanding di Merdeka Cup anjuran Royal Malaysian Polo Association pada bulan April dan Jun 2022 lalu.

“Saya bukannya pemain profesional dan tidak hebat bermain seperti pemain profesional lain namun saya puas setiap kali bertanding, banyak pengalaman yang dapat saya kumpul. Saya menyertai sukan ini selagi ada kudrat dan selagi diri mampu melakukannya,” katanya.

Kata pemain yang suka bermain di posisi nombor satu ini lagi, minat terhadap sukan berkuda ini turut diikuti oleh tiga orang anaknya Ariff, Ashman dan Aryssa.

Namun setelah dewasa hanya anak perempuannya sahaja yang mengikut jejak langkah bermain sukan Polo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×