Baru-baru ini kita digemparkan dengan kejadian seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya.
Pergaduhan itu melibatkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun.
Punca pergaduhan berlaku selepas mangsa dan kakaknya dikatakan berebut tempat duduk di dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Hakikat pada hari ini, kebanyakan ibu bapa memandang pergaduhan antara anak-anak mereka sesuatu yang lazim.
Tidak dinafikan, bergaduh adalah aktiviti harian dalam diari kehidupan seorang kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik. Sama ada sebagai adik, abang ataupun kakak, pergaduhan memang sukar dielakkan apatah lagi jika ada yang sedikit ‘keras kepala’.
Walaupun dinasihat, dimarah dan dihukum, pertelingkahan tetap berlaku dan kadangkala dua hingga tiga kali sehari. Ada saja perkara yang boleh menjadi ‘bahan gaduh’ dan membuatkan si kecil merajuk panjang.
Menurut kaunselor berdaftar dan perunding motivasi, Hushim Salleh, apa yang membezakan adalah jenis atau bentuk pergaduhan mereka.
“Ada yang sekadar bergaduh manja dan berbaik semula dalam beberapa minit, namun ada juga yang bergaduh secara ekstrem sehingga saling memukul, menolak dan bertumbuk.
“Istilah berkelahi lebih sesuai digunakan berbanding bergaduh kerana mereka hanya kanak-kanak.
“Perkelahian lazimnya berlaku antara adik-beradik walaupun dalam corak yang biasa seperti sekadar jeling-menjeling dan rasa tidak puas hati,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, perkelahian anak juga boleh berpunca daripada faktor persekitaran mereka membesar.
“Masalah ruang yang tidak mencukupi sering menyebabkan anak kecil berkelahi. Syukur, ramai ibu bapa yang mempunyai kesedaran tinggi pentingnya ruang untuk perkembangan anak dan menyediakan satu bilik khas atau ruang khas bagi segala aktiviti anak-anak.
“Ruang yang ‘tidak jelas’ sering menyebabkan anak kecil berkelahi sesama sendiri. Malah, sebahagian ibu bapa turut sama-sama berkelahi,” ujarnya.
Namun, Hushim berkata, apa yang lebih penting adalah layanan ibu bapa itu sendiri.
“Kekurangan masa bersama yang berkualiti boleh menyebabkan hubungan antara anak-anak menjadi kurang mesra. Antara tugas ibu bapa adalah menjadi fasilitator kepada sosialisasi anak-anak.
Si adik dan si abang juga si kakak perlu sentiasa dimesrakan.
“Selain itu, terdapat juga beberapa tindakan ibu bapa yang boleh menyebabkan anak-anak cenderung untuk berkelahi. Antaranya sikap suka membandingkan anak, memberi layanan yang berbeza dan cenderung memenangkan sebelah pihak. Anak kecil di bawah usia dua tahun amat sensitif dalam bab layanan, lebih-lebih lagi apabila melihat seorang adik di depan mereka,” katanya.
TIPS:
» Banyakkan masa berkumpul sekeluarga yang berkualiti. Anak-anak perlu banyak merasai pengalaman makan, bermain dan melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga dalam suasana mesra. Benar, akan timbul pertelingkahan kecil dan anda sebagai ibu bapa boleh menjadikan ia sebagai cara untuk menggalakkan mereka meluahkan pandangan dengan baik.
» Ibu bapa perlu berfungsi sebagai fasilitator dalam sosialisasi anak-anak. Sebagai contoh baringkan mereka bersebelahan, bercerita dan geletek.
» Sediakan satu ruang khas untuk aktiviti mereka. Ia tidak semestinya besar, tetapi memadai untuk bergerak dan bermain-main.
» Jangan membanding-bandingkan seorang anak di depan anak yang lain. Mereka boleh memahami maksud perkataan kita, cuma belum mampu bercakap. Jika anda memuji si abang atau kakak, puji juga kebaikan si adik.
» Berikan layanan yang sama dan adil kepada semua anak. Mereka sensitif terhadap kualiti layanan yang diterima.









