Pada usia 29 tahun, pelakon baharu, Amanda Tan mengumpul keberanian dan tidak lagi menafikan kata hati serta minat untuk menjadi seorang pelakon.
Sepanjang usianya, anak jati Ipoh, Perak ini terpaksa hidup dalam kepura-puraan, kononnya penglibatannya dalam dunia korporat membahagiakan dia. Hakikatnya, hatinya meronta-ronta.
“Sejak kecil, saya tidak diberi pernah peluang untuk menjadi pelakon. Walhal, saya tahu, minat dalam bidang lakonan sangat mendalam.
“Perjalanan hidup saya bagai sudah diatur. Terima biasiswa, belajar tinggi dan bekerja, semuanya seperti sudah terancang.
“Tahun ini, saya nekad tidak mahu lagi membuang masa melakukan perkara di luar kemahuan. Saya mahu kejar cita-cita. Pada usia 29 tahun, mungkin ada yang berasakan lewat, tetapi saya yakin, better late than never,” tegasnya.
Bila disoal, kenapa baru tahun ini dia mengumpul kekuatan untuk merealisasikan impian? Jawabnya, pengalaman hidup beberapa tahun lalu membuka mata untuk tidak mensia-siakan keinginan.
“Dua tahun kita dilanda Covid-19. Banyak perkara yang berlaku yang menyedarkan dan membuka mata tentang kemahuan diri kita.
“Kita tidak pernah menjangkakan kerana wabak, hidup kita berubah sekelip mata. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku seterusnya.
“Hidup kita sementara, esok lusa mungkin kita tiada. Penularan Covid-19 benar-benar membuka mata. Saya tidak mahu berdalih dan menyesal pada kemudian hari,” jelasnya.
Usaha, kerja keras
Penulis melihat pilihan Amanda sebagai pengorbanan. Dunia seni sarat dengan ketidak tentuan dan bukan semua dapat bertahan.
Mental peserta program realiti Fit For Action ini sudah sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan. Katanya, hidup umpama perjudian, tidak ada pilihan yang menjamin kesenangan.
“Memang ada yang mempersoalkan, kenapa saya masuk dalam bidang ini, bidang yang belum tentu menjamin apa-apa ini. Saya percaya, kerja keras dan usaha adalah kunci tak kira bidang apa sekalipun.
“Saya memang benar-benar mahu jadi pelakon. Saya jumpa ramai orang. Hadiri uji bakat tanpa fikir dapat tawaran atau tidak. Saya tambah kenalan. Ambil sahaja peluang yang ada.
“Jujur, saya tidak malu menonjolkan diri. Inilah usaha saya sebab saya benar-benar mahu menjadi pelakon,” katanya.
Kata Amanda lagi, dia kini lebih bahagia kerana telah membuat keputusan yang betul, mengejar cita-cita dan kemahuan yang sekian lama dinafikan.
“Ibu bapa, adik-beradik saya juga sedar saya kini lebih gembira. Mereka melihat perubahan dalam diri saya.
“Bahkan, saya tidak sabar untuk pergi set penggambaran. Setiap hari saya terujaa. Memang, sekarang saya lebih bahagia,” ujarnya.
Fauziah Nawi, Farah Ahmad
Bila ditanya, siapa idola Amanda? Pelakon dan model berketinggian 160 sentimeter ini menyebut, Fauziah Nawi dan Farah Ahmad.
Katanya, pengalaman bekerjasama dengan dua pelakon hebat itu diambil sebagai proses pembelajaran yang bermanfaat untuk membentuk dirinya menjadi seperti mereka.
“Kami bekerjasama dalam telemovie, Seri yang ditayangkan di RTM, baru-baru ini. Saya dapatkan nasihat kepada mereka tentang lakonan. Saya kagum, mereka pelakon yang hebat dan berpengalaman, namun sangat merendah diri dan tidak sombong.
“Ibu (Fauziah Nawi) dan kak Farah nampak potensi saya sebagai pelakon. Saya pegang nasihat mereka, jangan menipu diri dan teruskan berlakon sekiranya ini yang saya mahukan.
“Mereka tidak hanya menceritakan perkara yang indah tentang dunia lakonan. Sebaliknya, mereka juga mahu saya bersedia untuk berdepan apa juga kemungkinan kerana bidang lakonan banyak cabarannya” kongsinya.









