Mukadimah
BANYAK suara rakyat terutama anak muda sudah letih corak politik lama yang lebih berkisar kepada isu-isu lapuk.
Ini sudah semestinya memerlukan momentum baharu dengan idea dan cara yang lebih segar untuk menarik sokongan rakyat khususnya golongan berumur 18 sehingga 21 tahun.
Malah, dengan melihat kepada penambahan jumlah pengundi muda iaitu 1.4 juta, ia sekaligus bakal menjadi kayu pengukur dalam penentuan perubahan lanskap politik negara menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN;Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL dan Ketua Penerangan UMNO, SHAHRIL SUFIAN HAMDAN bagi mendapatkan perspektif berkaitan undi anak muda. Turut membantu jurufoto, SHIDDIQIEN ZON.
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana keyakinan Muda bagi menarik undi golongan muda?
SYED SADDIQ: Sebenarnya, isu rakyat merentasi faktor umur terutama membabitkan masalah gaji yang masih rendah dan isu yang menyentuh pendidikan mereka terutama apabila 71 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu melanjutkan pelajaran.
Begitu juga dengan golongan warga emas, pesara dan pelbagai isu lain termasuk membabitkan perubahan iklim.
Bagaimana dengan persediaan Muda setakat ini untuk menghadapi PRU15?
Walaupun kurang setahun kita sudah ada 80,000 ahli aktif dan kita mahu tampilkan politik baharu iaitu politik dasar dan politik khidmat.
Sebab apa? Sebab rakyat tidak mahu melihat mereka yang mengeluh tanpa ada solusi. Apabila sistem ekonomi tidak adil iaitu yang kaya makin kaya, kita perkenalkan cukai yang lebih progresif supaya ia dapat dikongsi secara adil.
Apabila negara dilanda banjir, Muda bukan sekadar turun padang, kita beri solusi seperti gazetkan hutan dan kawasan perlombongan yang mana ia tidak boleh ditentukan menteri besar semata-mata sebaliknya perlu dikembalikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kita juga cadangkan supaya ada akta perubahan iklim. Orang banyak lihat persediaan PRU lebih kepada jentera. Tapi jika kita tidak fokus pada politik solusi, rakyat tidak tahu apa perbandingan yang ingin dibuat. Kalau saya sokong parti A, apa pendirian mereka berkenaan sistem pendidikan, begitu juga dengan isu pengangkutan awam dan sebagainya.
Apakah kriteria Muda bagi mempertaruhkan calon-calonnya PRU15 ?
Kita mahu letak calon berbakat dan berwawasan serta integriti. Memang betul mereka masih hijau (dalam politik), tapi ada pengalaman lain dan ada rekod baik.
Sebagai contoh Amira Aisya Abdul Aziz. Dia sebelum ini seorang pendidik dan pengkaji dasar di bawah Kementerian Pendidikan. Begitu juga Cikgu Ayu, yang merupakan pengasas sekolah Chow Kit yang dulu tiada apa-apa. Sekarang sudah ada pembiayaan sendiri dan ada ramai cikgu lain tolong. Ini contoh yang mahu diketengahkan.
Bagaimana Muda melihat kepentingan dalam menentukan hala tuju politik negara?
Saya rasa selepas undi 18 penambahan pengundi muda sebanyak 1.2 juta, kita perlu lebih banyak calon muda. Kalau tidak rakyat akan hukum. Dengan penglibatan Muda juga akan ada perkembangan politik tanpa mengira berapa lama parti itu bertapak. Kalau berani bawa pembaharuan rakyat akan menilai.
Muda mengambil keputusan untuk bertanding dengan logo Pakatan Harapan (PH). Adakah Muda tiada keyakinan dan belum cukup berkredibiliti bagi menawan undi orang muda?
Isu bendera masih sedang berunding dan apa yang terbaik untuk kita. Ini kerana PH ada katakan bahawa kita hanya kesepakatan atau electoral pact bukan penyertaan dalam PH.
Fokus utama mahu kurangkan pertindihan dengan parti kawan bagi berdepan lawan. Ini fokus utama. Perlu satukan pembangkang demi mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Saya yakin orang muda pilih PN
Ada dakwaaan mengatakan undi bagi golongan muda lebih menyebelahi Pakatan Harapan (PH)?
WAN AHMAD FAYHSAL: Saya tidak rasa begitu. Sokongan mereka agak terbuka terhadap semua parti di luar bandar. Tapi rata-rata anak muda yang pertama kali undi dan tidak pernah mengundi, saya yakin mereka cenderung kepada PN sebab imej dan reputasi BN sebagai parti diselaputi pelbagai skandal rasuah. Begitu juga PH yang terkait dengan isu korupsi membabitkan Lim Guan Eng Eng. Presiden Muda, Syed Saddiq tidak terkecuali. Malah PH bahaya daripada segi ideologi yang cenderung kepada ekstrem kiri atau liberal.
Itu akan menolak sokongan anak muda daripada golongan konservatif atau pertengahan. Walaupun ada orang Islam yang ke kelab malam dan tidak puasa, tapi bab akidah memang kita tidak boleh dipersoalkan. Jadi undi golongan ini yang PN akan dapat.
Saya teringat dalam satu ceramah agama yang mengatakan tidak guna canang kemakmuran dan kestabilan kalau orang yang nak tadbir negara itu korup serta tidak jujur. Itu semua hanya sekadar wala’.
Kestabilan mesti berpandukan kepada akhlak. Sifat nabi iaitu siddiq, amanah dan fathonah. Kalau pimpinan parti tersebut termasuk parti saya tiada sifat ini akan hancur juga.
Undi orang muda kali ini mencecah 1.2 juta. Apakah strategi Armada dan Bersatu khususnya untuk meraih sokongan orang muda?
Kami berharap sebanyak 30 peratus kerusi akan diberikan kepada golongan muda dan itu pun bukan hanya Armada, tetapi ia merangkumi Pas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan komponen lain dalam PN.
Namun, perlu ada gabungan lama dan baharu. Lagipun, orang lama veteran masih berbisa dan orang baharu masih belum ampuh di peringkat bawah.
Gabungan kedua-dua ini lebih menarik undi dan saya nampak 30 peratus itu munasabah.
Adakah Muda akan jadi saingan utama kepada Bersatu dan Armada?
Saya setuju. Muda ada kekuatan sendiri. Cuma Muda kalau letak dalam spektrum jalur politik dia central left sedikit. Dia akan bersaingan dengan kami , tapi ia bukanlah competitor. Muda pesaing terdekat PKR iaitu Angkatan Muda Keadilan (AMK) ini. Sebab itu, kita lihat sampai ada yang masih rayu nak runding kerusi dan mereka minta 15 kerusi. Muda nak dari mana? Sebenarnya hendak dapat daripada PKR namun ditentang AMK. Apa guna AMK bila ada Muda? Yang buat kerja AMK. Sebab itu, saya nampak ada ketegangan dan mereka kongsi demografi yang sama. Muda akan beri saingan pada kami tapi bukan semua. Kalau Muda bertanding di kawasan Melayu saya yakin sukar dapat sokongan.
Adakah perlu Bersatu letak calon orang muda di kawasan yang sebelum ini disandang anak muda?
Saya setuju demografi akan jadi pemberat kepada calon PN yang mahu diletakkan. Kalau banyak veteran ia lebih kepada veteran. Tapi tidak bermakna orang baru tidak boleh bertanding di tempat orang lama. Tapi ia terpulang. Kalau orang muda itu ada hubungan kekeluargaan di peringkat akar umbi di kawasan itu, ia mungkin layak diberi kepada orang muda.
Kalau menang apa yang Bersatu boleh tawarkan dan jaminan untuk mengangkat suara anak muda?
Saya yakin kita sebenarnya di fasa pemulihan yang masih lagi tidak berkesudahan. Antara paling terkesan adalah anak muda terutama membabitkan pelajar sekolah menengah, rendah atau universiti selain memperjuangkan untuk mendapatkan gaji bermaruah. Semua takkan dapat kalau pentadbiran hari ini iaitu selepas PRU15 bukan pentadbiran stabil dan bersih serta integriti. Banyak peluang anak muda hilang 10 tahun lalu akibat salah guna kuasa dan rasuah.
Jadi saya nampak PN di bawah Tan Sri Muhyidin Yasin akan tekankan aspek ini. Sebab itu, kestabilan penting untuk beri keyakinan kepada pelabur, usahawan dan pihak berkepentingan lain. Jadi ini kita lihat peluang untuk buktikan kepada anak muda inilah masa untuk mencipta peluang bukan sahaja untuk Melayu tapi bangsa Malaysia.
Kita tawarkan kestabilan dan kredibiliti
Bagaimana saudara melihat sokongan orang muda terhadap UMNO dan apakah persediaan dalam meraih sokongan mereka sendiri?
Shahril Sufian Hamdan: Berbeza dengan PRU lalu, ada gelombang sokongan orang muda terhadap BN. Trend ini bermula sejak Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands yang mana saluran orang muda dilihat menyebelahi BN. Ini sekali lagi dapat dilihat semasa PRN Melaka dan Johor. Namun, tiada satu parti yang boleh kata mereka pilihan utama orang muda. Kerana pengundi muda akan memilih parti yang akan menawarkan penyelesaian kepada masalah mereka dan mereka juga kurang ada kesetiaan parti. BN sedang mengusahakan sebaik mungkin tawaran manifesto kepada masalah yang sedang dihadapi orang muda. Selain menawarkan calon muka baru dan berkaliber.
Ada pihak mengatakan undi golongan muda dijangka pergi kepada pembangkang. Setuju?
Saya tidak bersetuju. Mana-mana parti ada pengundi tegar mereka. Mana-mana parti ada sokongan dari semua julat umur. Namun, untuk golongan muda, ramai yang masih atas pagar dan akan memilih mengikut kebijaksanaan dan pertimbangan mereka pada sesuatu ketika. Seperti yang saya sebut, orang muda kebanyakannya tidak ada kesetiaan ke mana-mana parti. Saya meyakini orang muda bijak memilih kerana mengikut tawaran dan kredibiliti parti yang bertanding. Mana-mana parti yang boleh menawarkan penyelesaian kepada masalah gaji misalnya, itulah parti yang akan dipilih.
Adakah saudara melihat Muda sebagai saingan utama bagi meraih sokongan golongan muda?
Bukan sekadar parti Muda tetapi setiap parti lain selain BN adalah pesaing. Cuma, BN menawarkan situasi dan rekod yang mana kami ada perancangan dan kredibiliti untuk melaksanakan perancangan itu. Bukan hanya pandai menaikkan amarah atau berjanji akhirnya tak kotakan. Selain itu, hendak menang pilihan raya, bukan sahaja perlu mendapat sokongan satu segmen sahaja. Tapi kita perlu dapat sokongan seluruh rakyat tidak kisah umur, bangsa, mahupun agama.
Berapa jumlah kerusi sewajarnya diberikan kepada generasi muda?
Sebanyak mungkin yang membolehkan keseimbangan merentasi julat umur. BN sudah melalui pelbagai pengalaman yang mematangkan kami semua. Kita perlu realisitik dalam perbincangan mengenai agihan kerusi. Saya Agihan ini perlu seimbang. Sebagai contoh, golongan wanita telah dijamin akan mendapat 30 peratus dari kerusi dipertandingkan. Kita juga perlu ada pengalaman yang mampu membantu. Saya percaya dalam politik, kewibawaan orang yang lebih senior untuk menasihati memainkan peranan penting membantu barisan calon yang lebih segar dan berpaksikan masa depan.
Apakah perlu BN meletakkan calon orang muda di kawasan penyandang sebelumnya orang muda seperti di Parlimen Batu?
Situasi yang paling munasabah adalah calon muda diberi peluang untuk bertanding di kawasan di mana mereka ada peluang untuk menang. Tetapi di mana pun calon muda BN bertanding, mereka bersungguh-sungguh berkhidmat untuk rakyat.
Apa yang UMNO boleh tawarkan pada anak muda dan jaminan bahawa parti ini mengangkat suara golongan muda?
Kita sentiasa menyuarakan isu-isu anak muda. Sebagai contoh kalau lihat bajet. Antara orang yang penting dalam merangka bajet adalah Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Shahar Abdullah yang merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO.
Kita tak janji nak hapuskan PTPTN, kita tak janji nak bagi tol percuma. Kita tak janji tiba-tiba harga minyak boleh jadi RM1.50 walaupun harga pasaran dunia melambung tinggi. Yang kita tawarkan adalah kestabilan dan kredibiliti. Perkara yang boleh dilaksanakan. – MINGGUAN MALAYSIA










