Perkahwinan adalah medan realiti yang menghimpunkan tawa dan tangis. Ada suka duka, pahit manis. Paduan inilah yang melahirkan kalimah ‘masam manis rumah tangga’.
Mendirikan rumah tangga bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu datang bersama dengan tanggungjawab seorang suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya.
Bukan keseronokan semata atau mahu memenuhi nafsu sahaja.
Oleh yang demikian adalah wajar bagi setiap pasangan terutama wanita supaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.
Keserasian dan kebahagiaan itu bukan terletak pada sifat luar semata-mata tetapi juga personaliti yang memenuhi syarat sebagai suami soleh.
Walau bagaimanapun tidak ramai wanita memandang berat akan hal itu.
Sebahagian mereka lebih tertarik kepada fizikal luaran, seperti tutur kata tanpa memerhatikan akhlak dan agama pasangan.
Akhirnya, rumah tangga yang dibina retak di pertengahan jalan kerana naluri dan hati yang tidak serasi.
Minggu ini saya kongsikan kisah Juwita (bukan nama sebenar) salah seorang yang menjadi mangsa bekas suami tidak bertanggungjawab.
Ketika sedang bahagia, apa sahaja permintaan suami, Zaid (bukan nama sebenar) dituruti kerana terlalu percaya dan sayangkannya.
Ini termasuklah menggunakan namanya untuk membuat pinjaman peribadi.
Sayangnya, ia tidak seperti diharap Juwita.
Setelah mereka bercerai, Zaid mungkir janji dan tidak pernah membayarnya.
Rupa-rupanya, lelaki yang diharap dapat melindungi hidupnya adalah seorang putar alam dan kaki belit.
Selepas disiasat, sebelum berkahwin dengannya, bekas suami sudah mempunyai dua isteri.
Kedua-duanya juga mangsa seperti Juwita dan telah diceraikan.
Dalam emelnya kepada saya, Juwita menulis, dia telah sah diceraikan oleh Zaid lima tahun lalu selepas turun naik mahkamah.
Ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia 7, 10 dan 12 tahun itu bukan sahaja menghadapi masalah berkaitan pemberian nafkah oleh suami kepada anak-anak, bahkan dia terpaksa menanggung beban hutang yang dibuat bekas suaminya .
Jumlahnya bukan sedikit, sebaliknya mencecah sejuta ringgit.
Mengimbas semula detik awal perkahwinan bersama Zaid, hanya kurang tiga bulan berkenalan, keduanya sepakat mendirikan rumah tangga.
Juwita merupakan seorang kakitangan kerajaan.
Manakala bekas suaminya sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat menjual kenderaan.
Gaji yang diperoleh lebih tinggi daripada suami. Gaji pokok suami hanya RM1,500 dan hanya mendapat komisyen setiap kali kenderaan berjaya dijual.
Setiap bulan, suami hanya memberi nafkah RM200 sebulan untuk belanja dapur.
Bagi perbelanjaan lain seperti bayaran bulanan pengasuh anak, susu anak serta bil, semuanya ditanggung Juwita.
Pada awalnya, memang Juwita boleh terima, tetapi lama kelamaan timbul rasa tidak puas hati.
Bagaimanapun, dia memilih untuk mendiamkan diri kerana menghormatinya sebagai suami selain enggan bergaduh.
Juwita terpaksa menerima keadaan itu bagi mengekalkan kelangsungan serta kerukunan rumah tangga.
Sangka Juwita apabila mereka dikurniakan anak-anak , sikap Zaid akan berubah.
Sayangnya, Juwita tetap terus menjadi mangsa maki hamun.
Tidak ada kasih sayang, perhatian apalagi tanggungjawab daripada suami.
Dalam emelnya Juwita menulis, disangka selepas bercerai, dia dan anak-anak akan lebih tenang tetapi sebaliknya.
Kebahagiaannya tergugat apabila dia menerima sepucuk surat saman daripada pihak bank setahun selepas mereka sah bercerai.
Semuanya gara-gara suami membuat pinjaman peribadi atas nama Juwita semasa mereka masih hidup bersama.
Dalam tempoh sama, Juwita cuba menghubungi bekas suami agar bertanggungjawab terhadap pinjaman yang dibuat.
Namun pelbagai alasan diberi bekas suami dan setiap kali mahu berbincang soal itu, bekas suami cuba mengelak.
Setelah hampir lima tahun berpisah, Juwita sudah tidak lagi boleh berharap kepada bekas suami untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.
Sedangkan, bekas suami masih culas membayar nafkah anak-anak seperti diperintah mahkamah sebelum ini.
Sehingga ke hari ini, Juwita terpaksa menggunakan 60 peratus daripada gaji bulanannya untuk membayar hutang kad kredit dan pinjaman peribadi suami.
Baki selebihnya itulah digunakan untuk menyara kehidupannya dan anak-anak.
Dalam emelnya, Juwita turut mengakui dia tidak pernah menyesal dipertemukan jodoh dengan lelaki seperti Zaid.
Meski kadang harus terluka dan melalui ujian yang berat, dia yakin setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya.
Perceraian bukanlah satu pengakhiran dalam kehidupan seorang wanita, sebaliknya menjadikan diri mereka lebih kuat, bahagia dan bersemangat.
Dalam hal mencari jodoh, Rasullullah SAW bersabda:
Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama,itulah pilihan terbaik. (HR Bukhari dan Muslim).
Harus diingat, dalam mencari jodoh bukan kaum lelaki sahaja berhak memilih, wanita juga boleh memilih pasangannya.
Ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW:
Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, makan kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan berpanjangan.(HR Tirmizi).
Melalui hadis ini, Rasulullah SAW berpesan kepada wali supaya memilih calon suami untuk anaknya dalam kalangan orang yang memiliki agama dan akhlak mulia.
Calon suami memiliki ciri-ciri ini diharap dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, memelihara hak dan kehormatan ahli keluarga, mendidik isteri dan anak serta menafkahi mereka sewajarnya.










