PERTANDINGAN lima penjuru atau lebih dijangka berlaku di Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan empat parti dan seorang calon Bebas mengesahkan mahu mencuba nasib setakat ini.
Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah tentu bertanding di kerusi yang memiliki majoriti kira-kira 64 peratus pengundi Melayu itu.
Pendatang baharu dalam arena politik di Kedah, Warisan tidak kurang yang mahu memeriahkan bilangan borang pencalonan apabila mengesahkan satu daripada lima kerusi Parlimen yang ditandingi adalah Alor Setar.
Walaupun dilihat suka membuat kejutan, sebahagian masyarakat Cina dikatakan mula menyedari kehadiran Warisan yang baru berusia sebulan lebih di negeri ini.
Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Datuk Dr. Nordin Yunus menjadi calon pertama yang mengumumkan secara terbuka mahu bertanding PRU15 di kerusi Parlimen Alor Setar menggunakan tiket Bebas.
Atas kertas, PH dilihat ada kelebihan kerana berdasarkan keputusan PRU14, mereka menang dengan majoriti 15,200 undi menerusi wakil PKR, Chan Ming Kai yang sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan (Perlis) dan Simpang Pulai (Perak).
Bersandarkan kepada rekod lalu juga, PN turut memiliki peluang baik untuk merampas kerusi itu seandainya mereka kekal membariskan calon Pas yang sebelum ini mendapat 17,275 undi, walaupun tidak menyertai mana-mana gabungan besar ketika itu.
Ini kerana, sudah pasti undi yang diberikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika berada bersama-sama dalam PH pada PRU14 sedikit-sebanyak dibawa pula kepada PN kali ini.
Seandainya itu berlaku, BN mungkin berdepan kesukaran meraih undi orang Melayu jika mereka tetap kekal meletakkan calon MCA yang kini sedang dilobi oleh UMNO untuk diberi peluang bertanding.
UMNO Bahagian Alor Setar menyifatkan sentimen kerusi tradisi tidak boleh lagi didendangkan oleh MCA kerana faktor utama iaitu majoriti undi orang Melayu menentukan siapa yang layak bergelar Ahli Parlimen di kerusi P009 itu.
Maka, dengan drama ‘perebutan’ kerusi antara UMNO dan MCA di kawasan yang menjadi ibu negeri bagi Kedah, pertandingan Parlimen Alor Setar antara lima calon atau lebih pasti menjadi tumpuan ramai. – UTUSAN










