DIA tidak lelah berbicara. Menjawab satu demi satu persoalan dengan tenang dan senyuman. Ternyata, aura penyanyi ini tidak pernah luntur, walaupun sudah bertahun lamanya tidak bertemu.
Membuka gelanggang pertanyaan tentang perubahan diri melalui fasa peralihan ke endemik, penyanyi kelahiran Indonesia, Marcell Siahaan, secara rohaninya, dia lebih belajar menerima dan memahami erti penyerahan diri.
Kongsinya, dia lebih berkomunikasi dengan diri sendiri, menghargai setiap apa yang dimiliki dan paling penting, mengubah dirinya menjadi manusia, anak, suami dan bapa yang lebih baik berbanding sebelumnya.
“Jujur, melalui fasa pandemik, kita semua tertekan. Awalnya mungkin kita seronok kerana boleh berehat. Namun, sampai suatu ketika, kita mula sedar perjalanan hidup perlu diteruskan. Perut perlu diisi bukan?
“Jadi, saya mula mencari sumber pendapatan menerusi dunia digital, pada masa sama, membuka ruang untuk diri lebih menghargai. Melepaskan ‘bagasi’ emosi yang mungkin membebankan.
“Saya belajar menyerahkan hidup ini sepenuhnya kepada Tuhan. Bersyukur dengan setiap nikmat, pada masa sama, terus mencari peluang untuk menambah ilmu agama,” katanya.
Tidak pernah sekalipun terfikir untuk berbicara soal agama, apatah lagi, penyanyi Hanya Memuji ini cukup privasi. Saat dia berhijrah sebagai mualaf juga dilalui dengan cukup sederhana.
Mungkin pada firasat segelintir orang, dia baru memeluk Islam. Namun, hakikatnya, sudah sedekad lamanya dia mengamalkan ajaran suci itu. Tiada siapa tahu, selain mereka yang terdekat.
“Saya lebih senang untuk berdiam diri. Tidak mahu berbalah atau terlalu bercerita tentang spiritual. Bahasa paling kasar, saya tidak cari wang dari isu agama. Saya penyanyi, lebih baik di situ.
“Dulu, mungkin saya banyak perdebatan. Selalu mencari dan kadang kala, ada pertanyaan yang buat saya rasa mahu membantah. Tetapi, sekarang saya lebih terbuka dan melihat sesuatu dari sudut berbeza.
“Kita sama-sama masih mencari. Tidak ada yang salah jika ada yang bertanya, cuma mungkin jawapan yang diharapkan tidak selari dengan jangkaan. Saya juga masih istiqamah,” katanya.
Ditanya adakah ketenangan mula memeluk dirinya, Marcell dengan senyuman menjawab, jika kita menutup diri dengan kesombongan dan ego, tidak mungkin ketenangan datang mengetuk pintu hati.
Baginya, kebahagiaan itu tidak perlu dikejar kerana semuanya sudah ada di depan mata. Itu pemahaman diri dan spiritual yang diraih sepanjang melalui fasa pandemik.
“Sebagai manusia, hidup saya sama seperti dahulu. Masih kacau-bilau. Tetapi sekarang, saya sudah ada tiga anak lelaki. Ada antara mereka sedang mengikut jejak langkah dalam dunia muzik.
“Nasihat saya, banyak hal yang saya lakukan sepanjang 44 tahun ini. Tidak semua membanggakan. Cuma, selagi ada kudrat, lakukan setiap satu dengan keikhlasan dan disiplin.
“Saya harap anak-anak saya jadi lelaki yang ada prinsip dan harga diri. Satu hari nanti, apabila saya sudah tiada, jika ditanya siapa ayah mereka, anak-anak saya dengan bangga menjawab, Marcell Siahaan,” katanya sebak.
PENTAS LEPAS RINDU
Empat tahun Marcell memendam rindu untuk bertemu peminatnya di sini. Kali ini, penyanyi berusia 45 tahun bakal kembali mewarnai lembaran muzik tanah air dengan konsert Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur.
Bakal memanaskan pentas Zepp KL pada 9 Disember depan, suami kepada pelakon, Rima Melati ini menjanjikan persembahan yang akan membuat setiap peminat larut bersama himpunan lagu-lagu indahnya.
“Empat tahun merindui udara di sini, saya mahu melepas rindu. Tidak ada satu pun memori pahit sepanjang 20 tahun saya berkarya di sini. Kali terakhir saya mengadakan konsert berskala besar pada 2018.
“Kali ini, saya kembali dengan persembahan lebih segar dan susunan muzik baharu. Pemilihan lagu juga lebih padat dan ada penambahan single baharu yang dilancarkan tahun lepas.
“Saya tidak mahu menjangkakan apa-apa. Cukup peminat hadir untuk menyanyi bersama-sama. Kalau terlalu berharap, boleh jadi stress. Saya serahkan soal itu kepada Tuhan,” katanya.
Popular dengan lagu malar segar antaranya Firasat, Semusim dan Takkan Terganti, Marcell tidak bercadang mengubah susunan muzik secara ekstrem kerana mahu mengekalkan memori sama terhadap peminatnya.
“Ada ketikanya, saya tidak boleh terlalu bereksperimen dalam susunan lagu. Saya perlu sangat berhati-hati kerana setiap karya mempunyai nuansa dan memori tersendiri, terutama kepada peminat.
“Kalau saya ubah secara ekstrem, pasti ada yang pelik dan hilang memorinya. Mereka membesar dengan lagu-lagu itu. Saya tidak boleh ego hanya kerana mahu menunjukan kehebatan.
“Saya mahu mereka menyanyi bersama-sama, bukan kebingungan melihat dan mendengar susunan muzik baharu. Walaupun sudah 20 tahun nyanyi lagu sama, tetapi ada yang membesar dengannya,” ujarnya.











