Idris bukan ahli PKR, ditawar kerusi Tangga Batu - Utusan Malaysia

Idris bukan ahli PKR, ditawar kerusi Tangga Batu

IDRIS HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas sepi seketika berikutan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendedahkan beliau menerima pelawaan dua parti untuk bertanding di Parlimen Tangga Batu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Idris menjelaskan, pelawaan itu lebih menjurus kepada bertanya khabar serta minatnya untuk bertanding di kerusi ber­kenaan.

Katanya, setakat ini beliau belum memberikan sebarang keputusan kerana perlu me­nunggu dan melihat sentimen rakyat serta keadaan politik semasa.

“Pelawaan itu adalah untuk Parlimen Tangga Batu yang mana mereka bertanyakan ke­sudian saya untuk bertan­ding jika ditawarkan. Saya masih memikirkan perkara ini kerana hendak lihat latar belakang parti, sentimen rakyat, suasana politik semasa, jentera untuk bekerja dan sebagainya.

“Saya juga mahu melihat calon-calon yang diketengahkan parti lain. Saya mungkin akan sertai PRU15 sekiranya calon yang diletakkan tidak berkaliber, tidak berdaya harap selain mengamalkan politik wang.

“Rakyat wajar diberikan pilihan yang lebih baik bagi membawa suara rakyat ke peringkat Parlimen sekiranya calon yang bertanding diletakkan secara semborono saja,” katanya ketika dihubungi.

DIPECAT

Pada PRN Melaka, Idris yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) selepas dipecat daripada UMNO tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan dengan majoriti 2,992 undian.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Sementara itu, mengenai keanggotaannya dalam parti, Idris memaklumkan, beliau belum menyertai mana-mana pihak meskipun sebelum ini bertanding atas tiket PH.

“Saya tidak sertai mana-mana parti politik setakat ini. Ramai yang bertanya kerana menyangka saya sertai PKR atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas disingkirkan daripada UMNO.

“Saya terima tawaran PH kerana mereka mempelawa saya untuk bertanding dan saya bersetuju tanpa keahlian parti. Dalam konteks pilihan raya umum di Malaysia, kita tidak perlu jadi ahli parti untuk bertanding asalkan mendapatkan watikah pencalonan daripada parti,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×