PETALING JAYA: Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin terasa.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang makin tertekan akibat putaran ekonomi, berharap PRU15 berjalan lancar dan kerajaan yang stabil akan dibentuk daripada mandat rakyat, dapat mengukuhkan kembali serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ini kerana, kerajaan yang stabil sangat penting untuk memulihkan kembali keyakinan pasaran dan pelabur.
Malah, mereka juga berharap kerajaan bakal dibentuk akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengukuhkan kembali nilai ringgit yang semakin susut nilai berbanding dolar, sehingga menjejaskan PKS terutama bumiputera yang terlibat dalam import bahan mentah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Figura (M) Sdn. Bhd. (Figura International), Mohd. Hafiz Khalid, kenaikan harga bahan mentah yang menjadi bahan utama kepada penghasilan produk kesihatan, perlu dikawal segera kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kenaikan harga produk dan lain-lain kos yang terlibat.
Pada masa yang sama, beliau berharap lebih banyak dana dan bantuan pembiayaan ditambah kepada golongan PKS khususnya membabitkan pembangunan dan penyelidikan (R&D), pendigitalan serta automasi dalam Bajet 2023, yang kini tergantung pelaksanaannya akibat pembubaran Parlimen.
“Apabila PKS mendapat dana R&D, sudah pasti produk yang dihasilkan dapat ditingkat kualiti, terjamin dan mampu berdaya saing di pasaran, seterusnya membuka ruang untuk bersiap ke pasaran antarabangsa,” katanya di majlis pra pelancaran produk kesihatan terbaharu keluaran Figura International iaitu Figura Junior.
Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz berkata, kerajaan yang bakal dibentuk juga perlu memastikan agensi-agensi kerajaan terbabit dengan PKS, lebih proaktif dalam membantu mereka memasarkan produk terutama ke luar negara, sekali gus mengantarabangsakan jenama Malaysia.
Menurut beliau, ketika ini ramai PKS menghadapi masalah untuk memasarkan produk terutama ke pasaran global, disebabkan persaingan dan kekangan modal selepas terjejas teruk akibat pandemik.
“Bantuan Pembangunan sumber manusia dan latihan juga perlu ditambah kepada golongan PKS yang kini berhadapan perubahan iklim pasaran global yang lebih memberi tumpuan kepada jualan secara online.
“ Bagi mengukuhkan lagi prestasi PKS, pihak kerajaan juga boleh mengambil inisiatif tertentu dengan menilai semula cukai dikenakan kepada PKS pada kadar yang terbaik sehingga keadaan ekonomi kembali pulih,” katanya. – UTUSAN










