Pemilik Gerai Roti Canai Janda nikah semula - Utusan Malaysia

Pemilik Gerai Roti Canai Janda nikah semula

PERBEZAAN usia 19 tahun tidak menghalang Norasiah Abdul Rahman dan Adam Afendi Hawahir bergelar suami isteri setelah kedua-dua mereka diijabkabulkan di Masjid Kampung Kedondong, Pokok Sena, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Kalau sudah jodoh, perbezaan usia 19 tahun bukan penghalang kepada pemilik gerai makan Roti Canai Janda di Kampung Baru Derang, di sini Norasiah Abdul Rahman, 48, untuk bergelar isteri kepada Adam Afendi Hawahir, 29.

Pasangan mempelai itu selamat diijabkabulkan selepas solat Asar di Masjid Kampung Kedondong di sini, kelmarin dalam majlis akad nikah yang turut dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.

Menurut Norasiah yang sudah 15 tahun bergelar ibu tunggal, tiada kata yang mampu diungkapkan kerana perkahwinan dengan lelaki berbeza hampir separuh usia daripadanya itu diibaratkan mimpi.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk berkahwin. Selepas bercerai dahulu memang tertutup hati untuk mana-mana lelaki. Saya cuma mahu bekerja dan cari duit sahaja.

“Tetapi suami berjaya membuka hati saya semula dan saya sendiri tidak pernah menyangka akan dipertemukan dengan lelaki muda seperti dia. Saya terima ini jodoh saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah itu.

Mengenakan busana pengantin sedondon berwarna putih, Norasiah menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan seutas rantai tangan setelah selesai akad dengan sekali lafaz oleh pengantin lelaki.

Menurut Norasiah, walaupun suaminya yang merupakan duda anak satu itu jauh lebih muda namun perwatakannya sangat matang dan amat mengambil berat tentangnya.

“Apa yang menggembirakan anak-anak saya merestui perkahwinan ini. Begitu juga dengan anggota keluarga suami. Anak suami daripada perkahwinan terdahulu yang berusia empat tahun juga sudah manja dengan saya. Apabila sudah berkahwin ini saya akan menjaga anaknya itu di sini.

“Sementara waktu suami yang bekerja sebagai penyelia di Pulau Pinang akan berulang alik ke sini ketika cuti,” katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu.

Cerita Norasiah, dia berkenalan dengan suaminya itu menerusi aplikasi TikTok pada awal tahun ini sebelum bertunang selepas Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Kami cuma kenal beberapa bulan saja selepas itu suami lamar dan kami terus bertunang. Tiada apa yang diharapkan selain berdoa agar perkahwinan ini kekal sehingga ke jannah. Banyak yang tanya selepas kahwin ini gerai roti canai ini macam mana? Ada yang bergurau suruh letak Roti Canai Kahwin pula. Tengoklah macam mana nanti.

“Apa pun saya berharap untuk terus berniaga kerana banyak pelanggan tetap saya di sini. Hari ini pun ada yang datang walaupun kami tutup seminggu,” katanya.

Gerai Roti Canai Janda yang diusahakan Norasiah bersama anak sulungnya yang juga seorang ibu tunggal, Nurul Nadia Ismail, 28, sebelum ini tular di media sosial setelah kisahnya tersiar di akhbar ini dua tahun lalu terutama slogan yang diguna untuk menarik perhatian pelanggan, Nikmat Tak Terlupa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×