RAKYAT mahu kehidupan makmur, selesa, selamat dan sejahtera. Mereka mengharapkan survival bangsa sentiasa terjamin selain kebajikan generasi silih mendatang tetap terbela.
Rakyat meletakkan harapan ini pada setiap kali datangnya pilihan raya umum (PRU). Lalu, mana-mana parti atau pihak yang ikhlas menawarkan hal-hal begini tentu akan mudah mendapat sokongan rakyat.
Tawaran bukan diharap datang dengan kata-kata, tetapi lebih penting ialah jujur dan upaya. Ada pengalaman dilalui berakhir kesal dan kecewa. Janji yang ditaburi banyak tidak ditepati, tuturnya retorik hanya sekadar menyedap hati.
Malah, menjelang PRU15 tidak lama lagi, masih kedengaran janji-janji yang menggunakan skrip lama. Janji yang belum tentu ditepati. Justeru, berpandu pengalaman dilalui, rakyat sudah tahu yang mana palsu, yang mana asli.
Rakyat pernah memberi laluan kepada gabungan parti-parti tertentu memerintah negara. Mereka sanggup mengetepi seketika gabungan parti-parti lama yang mendominasi pemerintahan negara lebih enam dekad.
Tidak pasti sama ada laluan yang diberikan itu berupa percubaan atau sengaja mahu mengalih selera atau barangkali mengharapkan sesuatu yang baharu?
Usia pemerintahan di bawah gabungan parti gantian lama itu hanya bertahan 22 bulan. Lebih lama sedikit percubaan rakyat Jepun menggantikan Parti Demokratik Liberal (LDP) dengan parti baharu, Parti Demokratik Jepun (JDP).
Walaupun tempoh dilalui tidak begitu lama namun, cukup besar pengajaran yang sempat dikutip oleh rakyat. Tempoh peralihan itu memberi peluang kepada rakyat negara ini membuat pengukuran dan perbandingan sama ada dari aspek keberkesanan tadbir urus negara mahupun menepati cita rasa sebenar rakyat.
Dapat diselami sejauh mana gabungan parti-parti politik baharu itu dapat memahami dan menelusuri semangat struktur yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ternyata, suasana politik menjadi tidak stabil, sementara aspek perpaduan antara pelbagai kaum dan anutan agama kelihatan rapuh. Banyak isu bersifat provokasi timbul di sana sini.
Rakyat menjadi resah, lantaran hal-hal kebajikan seperti aspek kesihatan dan pemulihan ekonomi terutama ekoran penularan pademik Covid-19 seolah-olah gagal ditangani dengan berkesan.
Kesimpulannya, tidak perlu wujud istilah ‘cuba-mencuba’ dalam pemerintahan negara. Merombak sesuatu yang sedia lancar berjalan bermakna sedikit sebanyak menggugat kestabilan, mengganggu pentadbiran. Dan harga untuk menebus semula kestabilan bukan semudah apa yang difikirkan.
KLISE
Berbeza dengan meneruskan perjalanan pemerintahan sedia ada, tiada yang terbantut dasar, terencat pelaksanaan. Tidak membabitkan kerugian masa, tenaga dan tumpuan pemikiran.
Seperti sering diperkatakan, meruntuh jauh lebih mudah daripada membina semula. Justeru, elak berlaku keruntuhan. Lagipun, struktur baharu yang dibina belum tentu mampu menandingi keutuhan tempat yang pernah diduduki.
Apa pun, setiap yang berlaku tersalut ujian, terselit pengajaran. Rugi jika sebarang kelemahan dan kegagalan yang pernah dilalui dibiar berulang dan tidak diambil iktibar dijadikan peringatan. Elak segalanya kembali menghantui kehidupan.
Jadi, apa tawaran yang mahu dicagarkan kepada rakyat menjelang PRU15 tidak lama lagi? Benar, rakyat mahu yang realistik, bukan retorik. Kalau sekadar tahu bercakap, berjanji dan menyalahkan pihak lain, belum tentu boleh diterima.
Lagipun, corak pendekatan termasuk cara tutur kata dan janji yang sama sering berulang pada setiap kali menjelang PRU. Itu yang membuat rakyat bosan dan jemu. Rakyat tahu, ungkapannya klise dan penghujungnya tiada berhasil.
Yang pasti, rakyat tidak suka melihat sengketa berterusan di dalam dan di luar parti. Rakyat mahu melihat ada penyelesaian dan ada persefahaman demi kebaikan semua.
Bertelagah berterusan tidak meyakinkan sesiapa akan adanya hala tuju bagi kestabilan negara dan terjaminnya kemakmuran dan kebajikan rakyat. Kesesuaian calon juga perlu diambil kira.
Rakyat tidak gemar dengan sebarang provokasi yang boleh menghina dan memperlekeh mana-mana bangsa. Contohnya, orang Melayu kurang senang dengan keceluparan mana-mana pihak atau individu sehingga sanggup melabelkan pemerintahan negara yang didominasi Melayu lemah dan kurang berupaya.
Elak mainkan isu perkauman. Sekian lama, rakyat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan anutan budaya hidup muhibah aman sejahtera. Rakyat mahu hidup dalam tenang tanpa bimbang, curiga atau terancam. Bumi Malaysia untuk semua menikmati segala keindahan yang ada.
Sebuah kerajaan yang disukai rakyat adalah apabila dilihat mereka berupaya merancang dan melaksana sesuatu dasar dengan berkesan. Kerajaan yang bersifat sederhana tetapi progresif.
Pendekatannya dijamin inklusif dan adil saksama untuk semua. Melalui pengalaman yang ada, rakyat sudah tentu dapat menilai bukti untuk disandar harapan, disangkut keyakinan.
Sebuah kerajaan yang stabil, lengkap berstruktur dan bersistematik mampu menyerlahkan daya tarikan pelabur. Kemasukan pelaburan luar bermakna ekonomi negara bertambah segar dan rakyat pun dapat menumpang menstabilkan pendapatan. Lebih baik mengejar impian daripada mimpi yang belum pasti. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











