Hormat kita pada bahasa Melayu masih jauh - Utusan Malaysia

Hormat kita pada bahasa Melayu masih jauh

PENGAJARAN dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan (SJK) dilihat masih belum mantap dan mampu membantu anak-anak ini berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa kebangsaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA berbangga apabila pemimpin utama negara berucap dalam bahasa Melayu di pentas dunia dan ini sepatutnya menjadi titik permulaan terbaik untuk semua pihak secara serius memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan.

Usaha ini tidak boleh dilakukan secara bermusim sebaliknya perlu terancang dan konsisten iaitu berterusan sepanjang masa. Semua pihak perlu sedar bahasa adalah lambang identiti bangsa berdaulat.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah terpateri kemas dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan di mana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi persekutuan yang diterjemahkan melalui Perkara 152 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Namun, apa yang menyedihkan ialah roh dan semangat yang dibawa oleh Perkara 152 serta akta ini dilihat tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan dan tidak dipedulikan oleh segelintir rakyat kita sendiri.

Sedarlah betapa pada hari ini bahasa Melayu hanya diterima sebagai bahasa kebangsaan tetapi penghormatan dan penghayatan terhadap bahasa rasmi ini masih jauh daripada yang sepatutnya.

Justeru, setiap warganegara perlu menzahirkan komitmen untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu baik dalam negara mahupun di pentas dunia walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Kesungguhan untuk mengangkat kedudukan bahasa ini perlu disusuli dengan inisiatif, usaha dan iltizam yang kuat. Ini melibatkan kerjasama dan komitmen semua pihak khususnya pihak berkuasa dan rakyat sendiri. Banyak sebenarnya kaedah untuk kita menghormati dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu.

Antaranya kita tidak boleh sama sekali berasa malu untuk berucap atau berkomunikasi dalam bahasa Melayu walau berada di mana sekalipun. Contohilah rakyat negara-negara maju seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan yang begitu kuat memartabatkan bahasa mereka tanpa malu atau segan di pentas dunia.

Masyarakat dunia sebenarnya sudah boleh menerima budaya keperluan menghormati bahasa ibunda orang lain.

Jadi, tidak perlulah malu atau takut untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan anggapan bahasa kita sebagai bahasa kelas kedua. Ingat, kalau bukan kita siapa lagi yang akan memikul tanggungjawab ini?

Kita juga perlu konsisten dalam usaha untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat khususnya bukan Melayu. Hal ini sangat signifikan kerana tahap penguasaan mereka masih membimbangkan. Misalnya, aspek pembacaan, penulisan dan pertuturan dalam kalangan murid ini masih membimbangkan.

Walaupun lahir dan membesar di negara ini, kita perlu terima hakikat masih ramai warganegara yang tidak pandai membaca dengan lancar dan bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu. Apa puncanya dan di mana silapnya? Sampai bila kita mahu membiarkan keadaan ini berterusan?

Kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Melihat senario semasa dalam kalangan masyarakat, ternyata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan (SJK) dilihat masih belum mantap dan mampu membantu anak-anak ini berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

ROJAK

Akibatnya bahasa rojak terus menjadi amalan harian mereka apatah lagi di rumah mengamalkan bahasa ibunda sendiri. Jika ini dibiarkan berlarutan maka seluruh generasi mereka juga akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.

Jadi, kita perlu melakukan sesuatu dengan segera supaya sistem pendidikan yang ada mampu memastikan sekurang-kurangnya anak-anak di SJK boleh membaca, menulis dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Kita tidak minta semuanya menjadi pakar bahasa tetapi janganlah sampai mencemar dan merosakkan bahasa kebangsaan.

Hakikatnya, usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu perlu bermula dari peringkat sekolah lagi. Biar semua anak-anak kita sedar dan ingat tentang tanggungjawab mereka untuk mengangkat kedudukan bahasa kebangsaan.

Selain itu, kita juga perlu konsisten dalam soal penguatkuasaan agar kedudukan dan martabat bahasa itu sentiasa terpelihara. Misalnya, pada hari ini masih banyak agensi korporat yang meminggirkan bahasa Melayu dan memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris.

Perkara ini perlu dibetulkan dengan segera melalui langkah penguatkuasaan yang tegas secara konsisten. Misalnya, jika agensi kerajaan ada pekeliling yang memandu dan mengawal penjawat awam agar sentiasa memberi keutamaan kepada bahasa Melayu, bagaimana pula dengan pihak korporat?

Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan dasar penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di semua agensi korporat dan swasta yang beroperasi di negara ini.

Selain itu, pelbagai kesalahan bahasa yang berlaku dalam masyarakat juga semakin mengeruhkan lagi keadaan. Misalnya, kesalahan bahasa dalam papan iklan serta penggunaan papan iklan dalam bahasa selain bahasa Melayu. Sampai bila kita mahu biarkan kesalahan seperti ini berterusan?

Kita berharap pihak berkuasa akan lebih konsisten dalam menguatkuasakan undang-undang yang ada dengan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pesalah bahasa tersebut.

Kelompok ini perlu dikenakan tindakan kerana tidak menghormati, mencemar dan mengaibkan bahasa kebangsaan serta melanggar tatasusila sebagai seorang warganegara.

Pada ketika ini, pemimpin utama negara sendiri semakin serius memartabatkan kedudukan bahasa Melayu, maka inilah masanya untuk semua pihak turut berganding bahu menyokong hasrat kerajaan.

Sedarlah, sudah tiba masanya martabat bahasa Melayu diangkat di persada dunia dan rakyat perlu yakin bahawa bahasa kebangsaan adalah setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

Kita juga perlu buang jauh-jauh persepsi dan tohmahan bahawa penggunaan bahasa Melayu akan menyebabkan kita ketinggalan, ekonomi tidak akan berkembang dan negara sukar membangun.

Percayalah, penggunaan bahasa Melayu tidak menjadikan negara mundur, sebaliknya, negara maju juga menggunakan bahasa sendiri. Kita perlu yakin bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir di universiti dan penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×