Pencinta muzik sudah tentu sentiasa mengidamkan untuk memiliki studio sendiri di kediaman.
Selain boleh menjadi tempat mendengar muzik dan mencari ilham, ia juga boleh menjadi salah satu elemen hiasan di kediaman.
Studio muzik di rumah yang dilengkapi dengan aksesori sesuai akan membangkitkan suasana ruang santai, minimalis dan moden.
Baru-baru ini, IKEA menerusi kerjasama dengan Swedish House Mafia, menyediakan rangkaian akesori bagi mencipta studio muzik sendiri di kediaman, OBEGRANSAD.
Ia menampilkan tema klasik yang malar hijau.
Reka bentuk klasik itu menjadikan setiap produk serba guna dan dapat disesuaikan mengikut susunan rumah sedia ada.
Ada lebih 20 pilihan kelengkapan rumah pintar untuk peminat muzik disediakan.
Namun, ada empat aksesori penting yang wajib ada jika mahu mewujudkan suasana studio.
1.Meja
Meja adalah tunjang utama bagi mana-mana pencipta muzik di rumah. Meja direka bentuk dengan dua kaki sokongan untuk meninggikan pembesar suara ke paras telinga. Bunyi adalah elemen penting dalam pembikinan studio di rumah.
2. Kerusi sandar
Keseimbangan bentuk dan fungsi yang sempurna adalah penting dalam memberikan ketenangan serta mereharkan minda. Rekaan kerusi berlengan dalam koleksi memberikan keseimbangan kepada pencinta muzik. Ia menyediakan tempat yang ringkas namun elegan untuk bersantai dan berfikir.
3. Para-para
Koleksi itu turut menampilkan storan pelbagai fungsi para-para dan aksesori atas meja untuk menjamin ruang yang bersih dan kemas di samping merangsang daya kreatif. Tempat simpanan piring hitam berstruktur wayar yang ringkas dan minimalis direka bentuk untuk menyimpan kira-kira 60 piring hitam vinil tanpa perlu menyembunyikannya.
4. Permaidani dan lampu
Permaidani dan lampu sudah tentu menjadi elemen wajib ada sebagai pelengkap gaya. Kehadiran dua aksesori itu mampu memberikan gaya lebih santai dan kemas pada ruangan.










