Bukan bajet pilihan raya

Bukan bajet pilihan raya

BAJET 2023 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) lebih menonjol untuk berhadapan cabaran ekonomi yang dijangka teruk pada tahun depan sekali gus memastikan rakyat mampu menjalani kehidupan harian. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN UMNO/Barisan Nasional (BN) mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin bagi membolehkan kerajaan yang stabil terbentuk menjadi salah satu punca beberapa pemerhati politik dan ekonomi sebelum ini melihat kerajaan Keluarga Malaysia menghadapi kesukaran sama ada mahu menjadikan inti pati Bajet 2023 sebagai ‘modal’ kempen PRU15 atau untuk pemulihan ekonomi negara.

Dakwaan itu bertiup kencang apabila adanya suara-suara menyatakan belanjawan kali ini yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkemungkinan besar menjadi usul belanjawan UMNO/BN bagi meraih sokongan pengundi.

Namun ternyata semalam, dakwaan-dakwaan tersebut ditepis apabila Bajet 2023 lebih menonjol untuk berhadapan cabaran ekonomi yang dijangka lebih teruk pada tahun depan sekali gus memastikan rakyat terutama golongan B40 dan M40 tidak ‘jatuh’ serta mampu menjalani kehidupan ekoran jangkaan kemelesetan ekonomi.

Bajet 2022 sebelum ini bersifat komprehensif dengan mengutamakan kepentingan rakyat yang bukan sahaja tertumpu pada usaha meningkatkan ekonomi negara, tetapi turut memberi fokus dalam membangunkan kehidupan rakyat khususnya selepas ‘bangkit’ daripada pandemik Covid-19.

“Ya, saya melihat Bajet 2023 adalah bajet yang seimbang iaitu perbelanjaan berdasarkan kutipan hasil kerajaan.” Itu kata pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob bagi mengulas pembentangan Bajet 2023 bertemakan Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Dengan peruntukan besar sebanyak RM372.340 bilion iaitu lebih RM40 bilion daripada Bajet 2022 (RM332.1 bilion), ia ‘datang’ daripada pinjaman dan penggunaan aset kerajaan dengan 26.8 peratus, hasil bukan cukai (18%), cukai tidak langsung (14%), cukai langsung lain (2.6%) dan cukai pendapatan (38.5%).

GST

Ini bermakna kerajaan menggunakan kesemua peruntukan dengan baik untuk tujuan perbelanjaan pembangunan dan mengurus. Ini sekali gus selari dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi merancakkan aktiviti ekonomi dengan memudah cara penerimagunaan teknologi digital yang lebih meluas, meningkatkan produktiviti buruh dan memastikan peluang perniagaan lebih baik selepas melangkah ke tahun ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025.

Selain itu, beliau turut mengatakan langkah Bajet 2023 ini juga akan memastikan pemulihan ekonomi yang memberi manfaat kepada semua dengan menyediakan pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi dan peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat. Tumpuan terhadap pembangunan mampan juga akan membuka ruang kepada pertumbuhan yang saksama dan inklusif demi kemakmuran rakyat dalam jangka masa panjang.

Pun begitu, Abu Sofian melihat beberapa perkara yang sepatutnya turut diambil kira dalam Bajet 2023 ini. Antaranya soal penjanaan pendapatan negara melalui pengenalan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan kadar dua hingga tiga peratus. Langkah ini secara tidak langsung akan memperkukuhkan penjanaan hasil kerajaan.

“Malah saya melihat perbelanjaan peruntukan untuk keselamatan perlu dinaikkan kepada empat hingga lima peratus ekoran saya berfikir banyak aset ketenteraan negara telah usang. Cara perolehan dan pembayaran perlu dipantau dengan rapi supaya tiada ketirisan,” ujarnya.

BAHAN LOKAL

Melalui pembentangan tersebut, jelas disebut peruntukan untuk Kumpulan Wang Covid-19 adalah sebanyak 1.3 peratus tetapi jika dilihat sewajarnya, kerajaan sebenarnya boleh mengurangkan nilai perbelanjaan bagi sektor itu kepada antara 0.7 hingga 0.8 peratus memandangkan negara sudah memasuki fasa endemik.

Selain itu, peruntukan untuk sosial boleh dikurangkan kepada lima peratus kecuali ada pembelanjaan pembangunan baharu. Sebahagian perbelanjaan sosial ini boleh diambil alih atau dibelanjakan menerusi beberapa agensi kerajaan yang ada kaitan terus dengan rakyat biasa.

Dalam masa sama, perun­tukan ekonomi per­lu mengambil kira penggunaan bahan lokal dan mengeluarkan produk baharu melalui inovasi dan teknologi digital.

“Kerajaan perlu bantu perniagaan mikro dan mengembangkan ekonomi makro. Kerajaan perlu memberi subsidi dan memudah cara pinjaman kepada perniagaan kecil dan sederhana.

“Dengan cara ini, ekonomi rakyat yang masih lagi ‘merangkak’ selepas dilanda wabak Covid-19 dapat dibangunkan,” katanya.

Akhir sekali, jelas beliau, kerajaan perlu memantau dan mengawal perkembangan dasar fiskal supaya inflasi dan kejatuhan nilai mata wang ringgit dapat dikawal.

Kini, kita hanya menunggu sama ada Bajet 2023 ini sempat diluluskan sebelum PRU15 atau sebaliknya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×