Pelik! ada rakyat kita tidak bangga

Pelik! Ada rakyat kita tidak bangga

UCAPAN Ismail Sabri Yaakob di PBB, baru-baru ini memperlihat adanya kemahuan politik kuat pada kepimpinan tertinggi kerajaan semasa walaupun tidak begitu mendapat sokongan sewajarnya daripada barisan kepimpinan negara lain. – IHSAN/PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini dalam penyampaian ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77, terus-terusan dipertikai beberapa pihak yang merupakan warga kepada negara ini. Ini bukan sahaja amat menyedihkan, ia malang sekali kerana terdapat warganegara yang langsung tidak berasa bangga akan pencapaian ini.

Salah satu pertikaiannya ialah ucapan yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris itu tidak berkesan. Sebenarnya tidak semestinya begitu. Ini kerana penterjemahan selari dalam bahasa Inggeris yang secara spontan mengiringi ucapan dalam bahasa Melayu itu dilakukan pihak profesional. Justeru, ia disampaikan bukan sahaja berdasarkan kandungan asal, juga dalam nada sama seperti pada penyampaian lisan dalam bahasa Melayu, antaranya termasuklah kelantangan suara dan kelajuan bercakap. Oleh itu, tidak timbul kehilangan kesan retorik, antaranya penekanan mesej seperti yang dipertikai itu.

Begitu juga dengan tohmahan bahawa ucapan dalam bahasa Melayu itu tidak diendahkan kerana ramai yang tidak memahaminya. Oleh sebab tidak difahami ramailah, maka diadakan penterjemahan selari dalam bahasa Inggeris dan barangkali lima bahasa rasmi PBB yang lain. Sehubungan tohmahan ini yang disiarkan dalam beberapa media berbahasa Inggeris, ia bukan sahaja memperlihat sentimen buruk sangka, tetapi juga yang antinasional kerana begitu kuat sekali penentangannya terhadap aspirasi negara ini untuk ikut memartabatkan bahasa negara kita di persada antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada ini, tidak pernah timbul pula apa-apa jua pertikaian apabila negara anggota PBB lain yang berbuat demikian. Ini dengan jelas memperlihat sikap buruk golongan penentang bahasa Melayu ini yang langsung tiada perasaan cintakan negara. Sebenarnya penggunaan bahasa negara sendiri untuk menyampaikan ucapan di PBB bukan perkara baharu. Hanya Malaysia yang baharu melakukannya setelah menjadi anggota PBB pada September 1957 dahulu.

Ucapan di PBB itu memperlihat adanya kemahuan politik kuat pada kepimpinan tertinggi kerajaan semasa walaupun ia tidak begitu mendapat sokongan sewajarnya daripada barisan kepimpinan negara yang lain. Begitu juga daripada seluruh rakyat, termasuklah etnik Melayu sendiri yang sering mempersoal kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan negara.

Sebenarnya sikap ini sudah menjadi masalah besar sehingga perlu dititahkan Ketua Negara agar program kerajaan diberikan nama dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini, ia tabii biasa kalau kita mempunyai jati diri kebangsaan. Ini kerana program kerajaan bukan sahaja rasmi sifatnya, justeru harus mengikuti peraturan, yakni penggunaan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa rasmi negara. Ia juga memperlihat keperibadian nasional yang di dalamnya merangkumi persepsi kendiri rakyat selain kepekaan mereka terhadap apa-apa jua yang baik untuk negara.

KELUARGA MALAYSIA

Sudah tiba masanya kerajaan bersekali rakyat dalam kerangka Keluarga Malaysia Teguh Bersama mencari punca mengapa kita tidak seperti warganegara lain di rantau ini khususnya yang begitu kuat jati diri kebangsaan mereka. Yang paling menyedihkan dalam hal ini ialah etnik Melayu sendiri yang merupakan kelompok asal yang pula majoriti dan dominan di negara ini, ikut memperlihat kekurangan ini, iaitu tidak bangga kepada bahasa mereka sendiri yang diangkat menjadi bahasa negara. Sudah tentu sikap ini sama sekali tidak baik sebagai teladan kepada kelompok bukan Melayu untuk menerima bahasa Melayu secara ikhlas.

Persoalan ketiadaan jati diri ini adalah serius sekali. Ia bukan sahaja memperlihat kita tiada halu tuju jelas sebagai komuniti nasional untuk bergerak di dalam negara pertama-tamanya sebelum bergiat di luar negara. Lebih parah lagi ialah ia memperlihat kita meskipun sebagai warganegara sebetulnya tiada perasaan keterikatan kuat kepada negara ini dalam bentuknya sebagai tanah air.

Sebenarnya soal jati diri ini yang ada kaitan rapat dengan semangat cintakan negara yang dipamerkan melalui antaranya perasaan bangga terhadap bahasa negara, dibina secara sosial melalui pelbagai peranti negara. Antara yang terpenting ialah sistem pendidikan yang sememangnya boleh menyebabkan warganegara menjadikan jati diri kebangsaan sebagai jati diri peribadi mereka. Ini diperlihat negara jiran apabila Pancasila sebagai ideologi negara rata-ratanya ikut diterapkan dalam kehidupan peribadi rakyat Indonesia, apatah lagi kehidupan nasional mereka.

Sehubungan ini, warganegara Malaysia sangat perlu mengidentifikasikan diri mereka dengan negara ini, antaranya dengan menganggap aspirasi negara sebagai nilai peribadi untuk diterjemahkan sebagai pegangan dan nilai dalam kehidupan harian mereka. Pengidentifikasian ini adalah proses sosialisasi yang antaranya menitikberatkan iktikad dalam bentuk Rukun Negara itu, nilai kenegaraan seperti kebanggaan, kesayangan dan kesetiaan kepada bahasa negara, pencapaian negara seperti ucapan dalam bahasa Melayu di PBB, selain tradisi negara yang tercatat sebagai sejarah ibu pertiwi.

Pendedahan warganegara kepada semua ini untuk tujuan pengidentifikasian itu adalah sangat penting. Dengan ini, mereka sebenarnya akan bukan sahaja menjadikan jati diri kebangsaan paksi ulung untuk mentakrifkan diri mereka sebagai warganegara Malaysia dengan lebih bermakna lagi, juga jati diri kebangsaan akan menjadi panduan utama dalam mereka menilai keadaan sejagat untuk melekatkan Malaysia di dalamnya pada kedudukan sewajarnya. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×