TARIAN ‘penari’ Rompin begitu mengasyikkan sehingga menggamit ramai lelaki dari seluruh dunia datang ke bandar kecil di Pahang itu untuk menyaksikan persembahannya. Senarai panjang tempahan untuk mendapat slot menyaksikan penari Rompin di depan mata, tidak jadi masalah. Soal harga ‘tiket’ pun bukan penghalang cita-cita. Walau dikenakan caj RM400 seorang, bagi mereka itu tidak mahal. Malah ada yang sanggup tampil lebih eksklusif walaupun cajnya mencecah RM2,000 seorang.
Itulah penangan gila penari Rompin.
Teks intro cuma satu imaginasi. Namun, penari ini benar-benar ada di Rompin. Penari dimaksudkan adalah ikan layaran yang didapati dengan banyak di perairan itu. Ikan ini lazimnya ‘menari’ di atas permukaan laut untuk meloloskan diri apabila terkena mata kail. Sebab itu, ikan layaran turut diberi gelaran The Dancing Queen.
Ikan layaran menari memang mudah ditemui di Rompin. Fenomena ini tidak banyak berlaku di mana-mana perairan lain di dunia. Ini kerana dikatakan faktor kedalaman lubuk di Rompin hanya antara 30 hingga 40 meter, menyebabkan ia melompat ke atas permukaan laut dan ‘menari’ kerana tidak dapat meluru jauh ke dasar yang dalam apabila terkena mata kail.
Untuk tulisan ini, fokusnya adalah isu, nasib, ancaman dan masa depan ikan layaran ini.
Ketika mana seisi dunia berdepan ancaman, ikan layaran Rompin menghadapi angkara sama. Ini kesan tiada peraturan atau undang-undang khusus melindungi spesies itu daripada kerakusan dan kejahilan manusia. Jabatan Perikanan hanya terkait dengan penangkapan ikan komersial untuk keperluan pengguna. Jabatan Laut pula antara lain mengeluarkan lesen pancing kepada bot berdaftar dengan Jabatan Perikanan.
“Skop Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memang tidak sampai ke tahap (melindungi) ikan layaran. Memang betul sailfish tidak beremak, tidak berbapa,” kata seorang nelayan Kuala Rompin di Forum Pembangunan Perikanan Pahang. Forum sempena Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2022 itu anjuran Persatuan Pemuliharaan Hidupan Marin Pahang (MALCONS) dengan kerjasama Tourism Pahang di Rompin, baru-baru ini.
Untuk bergerak ke hadapan, beberapa peringatan dan saranan dikemukakan pada Forum Pembangunan Perikanan Pahang tempoh hari. Antaranya, ancaman utama ikan layaran adalah kegiatan pukat tunda dan mengharamkan kegiatan itu di perairan tertentu di Rompin yang diwartakan sebagai zon ikan layaran.
Hakikatnya, isu perundangan untuk sukan memancing di negara ini sudah lapuk. Ia tidak pernah dipeduli dan dicermati. Kerajaan sewajarnya menyedari dan memperakukan gamefish atau ikan sukan seperti ikan layaran dan marlin adalah produk pelancongan bermutu tinggi kerana menjana hasil tahunan berbilion ringgit kepada negara terlibat di seluruh dunia.
Beberapa persatuan, aktivis dan majalah pancing acap kali mengangkat isu ini supaya diberi perhatian oleh kerajaan. Namun entah kenapa, saranan, kertas kerja dan memorandum berkaitan dipandang sepi. Usaha murni mahu mengangkat martabat ikan sukan dan memuliharanya terus menemui jalan buntu.
REVOLUSI
Saya ketika menjadi editor sisipan akhbar khas pancing bagi tempoh 1997 hingga 2009 pun memperjuangkan nasib ikan sukan dan industri memancing tempatan. Fakta, angka, gambar dan pelbagai testimoni dipaparkan. Ini diperkukuhkan lagi dengan impak sosioekonomi hasil penganjuran siri pertandingan memancing bulanan selama beberapa tahun yang akhirnya mencetuskan fenomena dan revolusi memancing negara yang kini boleh dilihat menerusi puluhan pertandingan besar serta menawarkan hadiah wang tunai jutaan ringgit setahun.
Menurut Penyelidik dan Pensyarah Institut Oseanografi dan Pengajian Maritim (INOCEM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Dr. Juliana Mohamed, tanpa penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran tata cara tangkap dan lepas yang betul, keunikan ikan layaran di Rompin tidak akan dapat dipertahankan. Kemungkinan tiada lagi pemancing tegar tempatan dan luar negara yang mendambakan cabaran menaikkan spesies itu ke dalam bot, mahu ke Rompin selepas ini.
“Ini mungkin melumpuhkan industri sukan memancing di Rompin. Operator bot dan penduduk tempatan juga akan menanggung kesannya,” katanya.
Itulah nilai ‘penari’ Rompin. Sedangkan jika ikan itu dilindungi dan dijadikan produk pelancongan, harga ‘persembahannya’ antara RM800 hingga RM2,000 untuk satu trip pancing.
Dengan mempraktikkan konsep ‘tangkap dan lepas’, nilainya berganda apabila dipancing dan dilepaskan berulang kali. Nilai tariannya mencecah ratusan ribu ringgit sepanjang tempoh hayatnya. Bukan lagi RM3.50 sekilogram kalau ia dibuat keropok atau RM20 semangkuk apabila dijadikan sup.
Justeru, dengan perkenan Sultan Pahang yang menganugerahkan status ‘diraja’, RPBIC sewajarnya mencetuskan inspirasi dan kesedaran kerajaan untuk melakukan sesuatu bagi memulihara ikan layaran demi kelestarian jangka panjang, bukan sahaja di Rompin bahkan di perairan seluruh negara.
Sementara itu, Pengerusi MALCONS selaku pengurus RPBIC edisi 2019 dan penganjur RPBIC 2022, Munir Kasman Abdul Hamid berkata, pihaknya bekerjasama dengan INOCEM yang sedang menjalankan dua kajian, iaitu biologi ikan berparuh dan kajian sosial bagi membantu pemuliharaan ikan berparuh di Rompin. Tanpa ikan berparuh di Rompin maka tidak akan ada RPBIC.
MALCONS menyifatkan RPBIC adalah platform strategik mempromosikan pemuliharaan ikan berparuh yang sangat penting bagi kesinambungan pertandingan itu dan seterusnya penjanaan ekonomi komuniti Rompin. RPBIC diiktiraf antara acara pelancongan utama berimpak tinggi oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta acara kelayakan bagi Kejohanan Luar Pantai Dunia (OWC) di Costa Rica tiap tahun. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.











