Suami kedekut, Atirah bagai pengemis - Utusan Malaysia

Suami kedekut, Atirah bagai pengemis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehidupan selepas berumah tangga tidak sama dengan masa bercinta.

Bila sudah tinggal sebumbung, tidur sebantal, baru tahu perangai sebenar pasangan masing-masing. Itu kenyataannya.

Masa bercinta, ramai yang tidak menjadi diri sendiri. Pasangan sangat penyabar orangnya, tidak pernah marah kalau buat silap. Jika ada kekurangan sekalipun, masing-masing dapat menerimanya dengan hati terbuka.

Lebih lama usia perkahwinan itu, maka banyak jugalah dugaan dan ujian yang menerpa. Hanya mereka yang benar-benar cekal, iman yang kuat dan sabar berupaya mengharunginya.

Demikian juga dengan Atirah (bukan nama sebenar) yang diuji suami kedekut dan berkira dengan isteri serta anak-anak. Namun, dia berusaha mempertahankan perkahwinan dibina selama hampir 15 tahun yang pada awalnya berlandaskan kasih sayang itu.

Bergaduh dan menerima layanan buruk sekali pun, dia hanya mampu menangis dan reda dengan segala ketentuan. Akui Atirah, bahagia yang dirasai masa bercinta dengan Nordin, (bukan nama sebenar) tidak sama selepas berkahwin.

Masing-masing berusia awal 30-an ketika mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 selepas Atirah diperkenalkan kepada Nordin oleh teman baiknya.

Hasil perkongsian hidup selama hampir 15 tahun, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, masing-masing berusia 14 dan 12 tahun.

Menyingkap kisah cinta terdahulu, Atirah dan Nordin hanya mengambil masa singkat selama enam bulan mengenal hati budi sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.

Sepanjang tempoh bercinta Nordin digambarkan sebagai seorang yang pemurah, baik hati dan penyayang.

Pun begitu, segala-galanya berubah selepas pasangan ini berumah tangga.

Pada awalnya, Atirah tidak perasan, tetapi setiap kali keluar berbelanja membeli barangan keperluan suami buat tidak tahu sahaja.

Ketika di kaunter pembayaran, Atirah diminta mendahulukan bayaran dan suami berjanji mengganti semula sebaik pulang di rumah.

Bagaimanapun apa yang dijanjikan tidak pernah ditepati dan pelbagai alasan diberi kepada Atirah.

Suami juga berkira dengan Atirah yang ketika itu bekerja sebagai pembantu bahagian perhubungan awam di sebuah hotel di ibu negara atas alasan mempunyai pendapatan sendiri.

Situasi itu berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya. Daripada awal mereka berkahwin, anak-anak masih kecil hingga meningkat remaja, kesemua perbelanjaan ditanggung Atirah sendirian.

Bukan sahaja barangan keperluan dapur basah dan kering, bahkan pelbagai jenis bil. Daripada bil air, elektrik, telefon sehingga bayaran bulanan rumah.

Atirah juga terpaksa menggunakan wang gajinya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 setiap bulan, termasuk persekolahan dan pengasuh anak-anak.

Sebelum itu, suami ada juga menghulur RM300 untuk belanja dapur, tetapi semenjak melibatkan diri semula dengan aktiviti bermotosikal dia semakin culas melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.

Apabila Atirah menyuarakan, dia pula dimarahi dan dituduh tidak bersyukur. Sampai satu masa suami mula membiarkan Atirah menanggung segala-galanya.

Pekerjaan suaminya sebagai pengurus di sebuah syarikat perbankan terkemuka di ibu negara, ramai melihatnya hidup senang, namun sebaliknya. Dia terpaksa mengemis dan menagih simpati daripada suami sendiri.

Sepanjang tempuh hidup bersama dengan suami, Atirah tidak pernah terfikir ke arah untuk berpisah kerana masih sayangkan rumah tangga mereka.

Kisah Atirah tidak berakhir begitu sahaja. Dia diuji lagi apabila diberhentikan kerja semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dua tahun lalu.

Ketika itu Atirah sedikit tertekan, namun dia kuatkan semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup demi anak-anak.

Atirah beranggapan bila tidak bekerja, suami akan bersikap lebih prihatin, namun ternyata dia silap. Nordin masih tidak berubah. Sikap kedekutnya makin menjadi-jadi.

Hanya Allah yang tahu bagaimana dia dan anak-anak melalui dugaan sepanjang tempoh pelaksanaan tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Bayangkan setiap sen yang dikeluarkan untuk membeli barangan dapur perlu dicatatkan satu persatu.

Sebagai isteri yang pernah bekerja dan mempunyai gaji sebelum ini, Atirah tidak betah duduk diam.

Atirah belajar membuat kuih-muih dan menjualnya secara dalam talian sepanjang tempoh PKP dan meneruskan sehingga ke hari ini.

Di mata orang lain, Atirah tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya tidak bekerja kerana pendapatan suami sudah cukup menampung keluarga. Pun begitu, hidupnya tidak seindah dan berjalan mulus seperti dilihat orang lain.

Sehingga ke hari ini, Atirah tidak pernah berputus asa memanjatkan doa agar satu hari nanti Allah bukakan hati suami untuk berubah menjadi lebih baik, pemurah dan bertanggungjawab.
Kisah Atirah ini wajar dijadikan pengajaran kepada suami dan isteri di luar sana.

Sebelum mendirikan rumah tangga, masing-masing perlu memahami dan menghayati erti perkahwinan itu sendiri.

Perkahwinan yang dibina perlu berlandaskan agama, rasa tanggungjawab, kasih sayang dan prihatin sesama sendiri.

Sesungguhnya, Allah SWT menjadikan perasaan kasih sayang antara suami isteri sebagai satu sunnah yang ada sebagai tanda keagungan-Nya.

Sebagaimana firman-Nya: ‘Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia mencipta untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum , ayat 21).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×