KEBOLEHAN dan pengalaman Profesor Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam bidang perubatan, akademik dan aktivis yang selama ini hanya didominasi lelaki, menyaksikan wanita juga mampu berada sebaris menggalas tanggungjawab besar dalam kepimpinan.
Mantan Naib Canselor wanita pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini tidak henti mencurahkan pemikiran inovatif dan kreatif, malah perjuangan beliau dalam memperkasakan wanita melayakkan dirinya diberikan jolokan ‘Wanita Besi Pencetus Transformasi’.
Meskipun pernah berada di kemuncak, wanita berusia 75 tahun ini berpengalaman berdepan situasi di mana wanita tidak diberi peluang dan keseimbangan dalam memimpin.
“Saya sensitif dengan pelbagai isu, terutama melibatkan wanita. Ketika saya menjadi Naib Canselor dahulu, saya lihat impak keputusan ke atas lelaki dan wanita sangat berlainan.
“Wanita mungkin diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kerana intelek dan kepakaran mereka, namun tidak di institusi sebagai ketua jabatan atau dekan.
“Contoh dalam kepimpinan, lihat sahaja kenaikan pangkat, khususnya di institusi. Saya boleh katakan ramai wanita tidak begitu menonjol kerana sifat mereka yang tidak suka menonjol, tetapi mereka ada kebolehan. Saya kira peluang sama perlu diberikan kepada wanita dalam memimpin, terutamanya keseimbangan dalam pemilihan. Saya tidak mahu keadaan itu menyebabkan ada yang tidak sedar mengenai kewujudan wanita untuk memegang jawatan tertinggi,” katanya kepada Seri.
Sebagai seorang yang berfikiran positif, beliau memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah. Walaupun cuba membantu menaikkan ahli akademik wanita, beliau tidak akan terpengaruh dengan sentimen.
“Saya tidak akan menjejaskan kreadibiliti universiti kerana harganya terlalu mahal. Saya suka mewujudkan persekitaran dan peluang yang membolehkan untuk menubuhkan sistem yang adil dan selebihnya bergantung kepada prestasi setiap kakitangan akademik. Perlu ada keseimbangan dalam pemilihan jawatan antara lelaki dan wanita,” katanya.
Selepas bersara pada 2013, beliau terlibat dalam pembangunan pendidikan kanak-kanak menerusi Program PERMATA Negara (PERMATA).
Beliau kini berganding bahu dalam Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang berperanan penting untuk membantu kerajaan memperkukuh perundangan perniagaan dan meningkatkan kecekapan. Malah, turut aktif dalam kerja menganalisis, selain memanfaatkan ilmu yang ada demi menjadi contoh kepada generasi muda.
WANITA SESUAI JADI PEMIMPIN
Begitupun, Dr. Sharifah Hapsah berpendapat, kepimpinan zaman sekarang tidak seperti dahulu. Networking, kerjasama, integriti dan sifat semula jadi kepimpinan mempengaruhi setiap pemimpin.
“Dulu, ramai berfikiran wanita tidak boleh keluar untuk menjadi pemimpin. Walhal, wanita beri kerjasama baik, empati, ambil berat, ambil tahu, cekap dari segi pengetahuan dan kemahiran untuk pergi bidang yang tahap lebih tinggi.
“Bagi saya, sifat wanita yang ada sekarang sangat sesuai untuk menjadi seorang pemimpin. Sifat natural akan meningkat keyakinan, ramai wanita berkebolehan tapi kurang keyakinan. Saya selalu pesan pada mereka untuk bina keyakinan supaya dapat tunjukkan kepada semua apa yang kita mampu lakukan. Inilah yang diperlukan dalam kepimpinan hari ini,” katanya.
Beliau juga tidak lokek dalam berkongsi tips agar tidak takut berhadapan khalayak, selain perlu pandai berkomunikasi, ada kemahiran mendengar yang baik, memahami dan mendalami perasaan.
“Paling penting, pemimpin perlu ada kebolehan komunikasi. Sebagai pemimpin, jika tidak boleh berkomunikasi sukar untuk menjadi ketua. Kita boleh lihat setiap pemimpin, masing-masing mempunyai perbezaan dari segi cara atau gaya bercakap dan berkarisma,” katanya yang sering memberi ceramah kepada pensyarah muda dan pasca siswazah tentang kepimpinan.
TUBUH TASKA PERTAMA DI FAKULTI
Isteri kepada Felo Akademik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (Jabatan Surgeri), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmud Mohd. Nor ini berkata, keprihatinan terhadap masalah ibu bapa bekerja untuk menghantar anak-anak kepada pengasuh, membuka ruang untuk Dr. Sharifah Hapsah menubuhkan taska pertama di fakulti dalam universiti.
“Semasa saya menjadi pensyarah di Fakulti Perubatan, saya tubuhkan Kelab Wanita Fakulti Perubatan UKM. Saya menubuhkan kelab itu kerana saya lihat ramai ibu bapa ada anak kecil berdepan masalah dengan child care. Mereka tidak tahu mana nak hantar anak, bayaran pengasuh pula mahal.
“Jadi, saya beritahu kepada kelab untuk set up nursery. Ia menjadi taska pertama yang ditubuhkan di Fakulti Perubatan di UKM pada 1979. Ramai mendapat manfaat dengan penubuhan taska khas untuk anak pekerja di situ, antaranya pemandu, atendan, pembantu makmal dan sebagainya,” kata ibu tiga cahaya mata dengan tiga cucu ini.
BERJUANG DALAM NGO
Pembabitannya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bermula sejak berkhidmat sebagai pensyarah di UKM pada 1979, apabila menyertai Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM).
Ia sekali gus menjadi titik tolak kepada perjuangannya membawa perubahan dan peluang yang lebih baik kepada pembangunan wanita.
“Sebenarnya, penglibatan saya dalam NCWO di Kuala Lumpur bermula ketika saya di Fakulti Perubatan UKM lagi. Saya sertai PSWM, kemudian mewakili organisasi ini untuk menjadi exco di NCWO dan dilantik pula menjadi timbalan presiden. Dari situ, mereka melihat kebolehan saya,” katanya yang banyak menyumbang kepakaran dalam menulis laporan, minit mesyuarat, penyelidikan, seminar, dialog dan sebagainya.
Beliau yang memegang jawatan sebagai Presiden NCWO sejak 2000 hingga kini bersyukur dikurniakan kebolehan mendengar dan pantas mengenal pasti sesuatu isu, mengeluarkan idea serta mengurus pasukan yang membuka pandangan baharu mengenai isu gender. Dr. Sharifah Hapsah mengakui sebati dengan NCWO. Kata beliau, nilai sayang dan cinta terhadap sebuah organisasi amat membantu ia berkembang dengan sempurna.
SUAMI, ISTERI KONGSI TANGGUNGJAWAB
Di sebalik kejayaan seorang wanita, berdirinya seorang lelaki bergelar suami. Beliau percaya, sehebat atau setinggi mana pangkat seseorang wanita, tanpa sokongan dan restu suami, beliau tidak akan berada pada tahap ini.
Dr. Sharifah Hapsah sangat menekankan konsep berkongsi tanggungjawab merupakan faktor utama dalam membina rumah tangga bahagia, selain menyayangi dan menghormati antara satu sama lain. Cinta sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan perkahwinan.
“Saya sangat bertuah mempunyai suami yang sentiasa bersama, memberi sokongan dan dorongan, ruang serta nasihat. Ini kerana Dr. Mahmud menyedari seorang wanita untuk mencapai kedudukan tertinggi dalam kerjaya, perlu bekerja lebih keras.
“Jadi, mudah untuk dia menerima hakikat bahawa isterinya perlu memberi tumpuan. Kami berkongsi tanggungjawab dan bahagi kerja dalam rumah seperti tugas menjaga anak-anak, ke pasar dan sebagainya.
“Suami tidak boleh balik kerja, terus tonton televisyen sedangkan isteri sibuk di dapur. Bagi saya, kursus kahwin perlu tekankan peranan suami isteri untuk berkongsi tanggungjawab dalam rumah tangga. Suami juga perlu ada kesedaran tinggi tentang tanggungjawab mereka,” katanya.
‘IBU SUMBER INSPIRASI’
Lantaran kuat kerja, beliau juga pernah digelar ‘gila kerja’. Beliau mengakui melekat dengan komputer di rumah. Jari-jemari ibarat menari di atas papan kekunci.
Ini kerana sudah terbiasa melihat kegigihan ibu, Datin Sharifah Zaharah Syed Ahmad Aljafri yang tidak pernah lelah melibatkan diri dengan kerja membantu wanita yang memerlukan.
“Ibu sumber inspirasi. Ketika saya masih kecil, saya selalu mengikut ibu dalam kerja amal di bawah Women Service League (WSL) di Kedah sebelum merdeka lagi. WSL (kini dikenali Pertubuhan Kebajikan Wanita Negeri Kedah Darul Aman) memberi bantuan kepada wanita yang memerlukan, mengajar pembuatan kraf, memasak, menjahit dan banyak lagi. Mereka sendiri akan masuk ke kampung dan memberi latihan kepada wanita ini.
“Ibu juga handal di dapur. Jadi, ibu akan ke kampung mengajar wanita untuk memasak dan membawa saya bersama. Disebabkan sudah terbiasa melihat perkara yang dilakukan ibu, dari situ tersemat untuk meneruskan kerja seperti ini. Itu yang menguatkan saya menyertai NCWO,” katanya.










