UEM Sunrise, anak syarikat Petronas jalin kerjasama

Pembangunan lestari: UEM Sunrise, anak syarikat Petronas jalin kerjasama

SUFIAN Abdullah (tengah) bersama wakil anak-anak syarikat Petroas menunjukkan dokumen kerjasama membabitkan pembangunan lestari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui dua anak syarikat milik penuhnya, Petronas Global Technical Solutions Sdn. Bhd. (PGTSSB) dan Gentari Sdn. Bhd. (GENTARI).

Kerjasama itu untuk menerokai pelbagai peluang kolaborasi ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui, tenaga dan mobiliti hijau serta pembangunan bandar yang pintar dan mampan untuk masa hadapan.

Dalam kenyataan bersama, UEM Sunrise dan PETRONAS berkata, pihaknya merancang untuk menuju ke arah matlamat bersama dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net zero emissions’ menjelang 2050; dengan memanfaatkan teknologi, kepakaran dan sumber masing-masing untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, bandar pintar lestari dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Selain itu, perkongsian tersebut selaras dengan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UNSDG), khususnya matlamat ke-17, “Kerjasama demi Matlamat”.

“Kerjasama tersebut juga merangkumi penyelesaian lestari yang sedia ada serta penyelesaian terkini dalam pembangunan syarikat, di mana UEM Sunrise merupakan pemaju hartanah pertama yang bekerjasama dengan dua anak syarikat Petronas tersebut,” jelas kenyataan itu.

Dalam jangka masa terdekat, kolaborasi bersama GENTARI akan memberi tumpuan kepada penyelesaian karbon rendah, termasuk stesen pengecas EV dan ‘forecourt’ elektrik di pembangunan-pembangunan UEM Sunrise serta ladang suria di tanah UEM Sunrise.

MoU dengan PGTSSB pula akan menerokai penyelesaian karbon rendah dan berasaskan alam semula jadi seperti:
• Penyelesaian Tenaga Hijau Pintar dan Tenaga Boleh Diperbaharui – Menerokai dan menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang praktikal untuk menangani isu perubahan iklim secara berperingkat.
• Ekonomi Kitaran (‘Circular Economy’) – Melaksanakan pengurusan sumber kitaran penuh dengan meningkatkan kapasiti pengitaran semula dan menerapkan konsep sifar sisa.
• Penyelesaian teknikal dan teknologi mampan – Menerapkan penyelesaian pembangunan berteknologi tinggi baharu yang berdaya tahan, mesra alam dan mesra pengguna yang akan mewujudkan perubahan sosial yang positif kepada masyarakat.

“Secara keseluruhan, usaha kolektif bersama tersebut juga dijangka menerokai dan melaksanakan penyelesaian progresif dan mampan yang akan memberi manfaat kepada perniagaan masing-masing serta menyumbang kepada negara secara keseluruhan ke arah Malaysia yang mampan, dan negara sifar bersih menjelang 2050,” tambah kenyataan itu.

Mengulas kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, dengan kolaborasi yang strategik ini, beliau yakin bahawa Kumpulan menuju ke arah yang tepat untuk mencapai matlamatnya.

“Ini merupakan titik permulaan kepada kolaborasi yang saling menguntungkan di samping membawa nilai mampan jangka panjang untuk seluruh komuniti,” katanya.

Ketua Peralihan Penyelesaian Tenaga Bersih Petronas, Shahrizal Yang Razalli pula berkata, peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih membuka peluang besar di Malaysia.

Kata beliau, kerjasama dengan rakan kongsi yang amat komited tentang peralihan ini seperti UEM Sunrise, akan membantu GENTARI memajukan usaha bersepadunya dalam memacu peralihan ke arah mobiliti mampan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Dengan kerjasama ini, GENTARI terus memenuhi tujuan kami untuk menyelesaikan desakan keperluan tenaga mampan di dunia, memberikan penyelesaian yang dapat mengubah cara kehidupan kita hari ini untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PGTSSB Annaliz Abu Bakar pula menambah, Bahagian Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS melalui PGTSSB teruja untuk bekerjasama secara strategik sambil mengembangkan kepakaran melangkaui industri tenaga.

“Kami yakin bahawa sinergi melalui titik sentuhan kedua-dua syarikat akan terus berkembang dan memanfaatkan lebih ramai pemegang-pemegang kepentingan ketika Malaysia menuju ke arah negara neutral karbon menjelang 2050,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×