Usah ada benci hingga semua dinafi - Utusan Malaysia

Usah ada benci hingga semua dinafi

PEMERINTAHAN di bawah UMNO bersama rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) selama lebih enam dekad telah memacu kemajuan dan kemakmuran negara dengan pesat dan progresif. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH tidak pernah membohongi kenyataan. Apa yang berlaku, dilalui dan dialami, itulah kenyataan. Menafikan segalanya dianggap dangkal dan sengaja menyeleweng fakta. Orang yang berpendirian begini biasanya payah dihormati dan dipercayai masyarakat. Nilai kejujuran mereka disangsikan.

Mengambil contoh kisah seorang lelaki yang terputus jodoh dengan isterinya lalu terpaksa berpisah, tentu tidak mewajarkan dia mengungkit dan menafikan segala bantuan dan sumbangan bekas mentuanya. Berpisahnya sepasang suami isteri itu mungkin berpunca daripada ketidaksefahaman isu-isu tertentu bersifat peribadi di antara kedua-dua pasangan terbabit.

Namun, jasa bakti bekas mentua membantu dan memberi pertolongan kepada alam rumah tangga mereka tetap tidak boleh dinafi malah selamanya wajar dihargai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, buatlah pendirian yang tepat dan jujur terhadap sesuatu yang sudah terbukti berupa kenyataan. Seseorang tidak boleh mengharapkan kenyataan boleh disesuaikan dengan kehendak peribadi dan sebarang sentimen di hati.

Dalam konteks kenegaraan, mungkin ada orang tidak sukakan parti-parti politik tertentu, tetapi tidak wajar menolak kenyataan jika parti yang tidak disukai itu telah banyak berbakti membangun, memakmur dan menstabilkan negara.

Di bumi Malaysia, UMNO mendominasi pemerintahan negara sejak lebih enam dekad. Ditambah kekuatan gabungan dikenali sebagai parti Perikatan di ambang menuntut kemerdekaan tanah air daripada tangan penjajah, kemudian melebarkan penyatuan kerjasama atas nama Barisan Nasional (BN) selepas terbentuknya Malaysia pada September 1963.

Berteraskan pendekatan berkonsensus atas sebarang keputusan tadbir urus negara, bersederhana, inklusif dan memastikan keadilan untuk semua, kerajaan di bawah UMNO sebagai peneraju utama telah bergerak cemerlang menjulang kejayaan dalam pelbagai aspek termasuk sosial dan ekonomi.

Kemakmuran negara dinikmati semua. Malah, rakyat berpeluang menggapai setinggi mana kejayaan tanpa dinafikan hak dan kebebasan.

Kaum Melayu dan bumiputera diberi layanan yang sesuai terutama dalam mengimbangi pemilikan ekuiti ekonomi. Hadir suatu gambaran atau kenyataan di mana perlunya dikurangkan jurang perbezaan kedudukan ekonomi di antara kaum bagi memastikan kestabilan sosial di negara ini. Ada pengajaran besar daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Dengan sama-sama menerima dan menghormati apa yang menjadi acuan sebenar asas struktur kenegaraan, rakyat tidak mengira kaum dan latar belakang agama serta budaya dapat hidup aman makmur penuh muhibah dan bersatu padu.

Perlembagaan Persekutuan menjadi tonggak rujukan, sementara Rukun Negara memandu arah kehidupan harmoni dan sejahtera.

FELDA, FELCRA

Semua pihak menerima hakikat bahawa perpaduan itu teras kemajuan dan kestabilan. Malah, sifat kemajmukan warga yang menghuni Malaysia didendangkan umum sebagai indah dalam kepelbagaian. Dunia luar turut mengagumi Malaysia.

Pemerintahan di bawah UMNO bersama rakan-rakan komponen BN telah memacu kemajuan dan kemakmuran negara dengan pesat dan progresif. Semua bidang diliputi kecaknaan yang sebaiknya.

Bidang pendidikan antara yang diberi tumpuan utama. Sistem pendidikan negara membuka peluang kepada semua anak bangsa agar menjadi golongan terpelajar dan kaya dengan ilmu pengetahuan serta kepakaran.

Pelbagai insentif disalurkan bagi memastikan peluang belajar tidak terbantut dan terhalang di mana-mana. Yang susah dibantu, yang senang terus diberi galakan bagi meraih kejayaan dan kecemerlangan. Institusi-institusi pengajian di semua peringkat ditingkat dan diperkasakan. Pusat-pusat pengajian tinggi awam tumbuh di setiap negeri.

Sektor luar bandar dimajukan. Pembangunan wilayah dibuka di merata kawasan. Penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) adalah antara inisiatif membantu masyarakat luar bandar untuk sama-sama membina kemajuan dan menstabilkan pendapatan.

Malah, berpuluh lagi agensi dan perbadanan ditubuhkan bagi memajukan warga Malaysia khususnya orang Melayu dan bumiputera. Ini termasuk sektor-sektor pertanian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri perladangan dan komoditi selain ternakan dan pemakanan.

Pun belum termasuk perwujudan pelbagai dasar dan ketetapan untuk memantapkan tadbir urus negara demi kepentingan semua. Lalu, tidak hairan, sesetengah pihak tampil bertanya, “Apa lagi yang tiada?”

Justeru, amat dikesali umum apabila ada pihak atau individu tertentu sengaja menafikan segala kenyataan yang sudah diterima umum bahawa lebih 60 tahun Malaysia stabil dan cemerlang. Lebih dikesali jika yang sengaja menafikan kenyataan ini adalah seseorang atau pihak yang pernah terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara.

Isunya berbeza di antara seseorang tidak sukakan parti tertentu ekoran tidak sukakan mana-mana individu dalam parti berkenaan dengan kenyataan yang perlu diterima tentang sumbangan dan jasa bakti parti berkenaan kepada rakyat dan negara.

Berapa ramai rakyat di beberapa negara khususnya sekitar Asia Barat akhirnya menyesal dan kecewa kerana terikut-ikut rentak sentimen marah dan termakan hasutan sehingga menafikan segala jasa dan kebaikan pemimpin lama, lalu tinggallah negara dalam huru-hara yang tidak berkesudahan?

Jangan jemu menikmati kemakmuran kerana yang menerjah dalam sangkaan belum tentu menjanjikan keindahan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×