Swasta, awam tiada pilihan selain bekerjasama - Tengku Zafrul

Sektor swasta, awam tiada pilihan selain bekerjasama – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor swasta dan awam tiada pilihan selain bekerjasama untuk memastikan peralihan yang saksama dan pantas ke ekonomi karbon sifar bersih untuk menghadapi risiko perubahan illim yang merupakan cabaran terhebat manusia, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kata beliau, dalam peralihan ke ekonomi yang berdaya tahan iklim, tidak ada mana-mana kerajaan yang mampu menggalasnya secara bersendirian.

Jelasnya, pendekatan ke arah peralihan hijau dan neutral karbon menjelang 2050 akan dipandu oleh prinsip 3R (responsive, responsible, reformist (responsif, bertanggungjawab dan reformis) oleh Kementerian Kewangan.

Tiga prinsip itu ialah:
* Responsif terhadap kesan perubahan iklim terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat, terutama dari segi kehilangan pekerjaan di dalam sektor tradisional, dan penjanaan pekerjaan di dalam sektor baharu.

* Bertanggungjawab dalam menggubal dasar yang memastikan tiada siapa akan ketinggalan semasa beralih ke arah ekonomi yang lebih hijau.

* Reformis dalam dasar bagi menangani cabaran struktur, di samping memudahkan peralihan yang adil dan inklusif bagi semua.

“Pihak kerajaan dan pihak berkepentingan harus berganding bahu memastikan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi dapat terus dijana dan dinikmati seluruh Keluarga Malaysia,” katanya semasa menjadi panelis dalam forum `The Cooler Earth Sustainability Summit: Facilitationg a Just Transition` anjuran CIMB Group Holdings Berhad di sini.

Tengku Zafrul berkongsi pandangan beliau itu di dalam media sosial miliknya.

Jelas beliau, turut menjadi ahli panel dalam forum itu ialah Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani manakala Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapura dan Bruinei, Karima El Korri sebagai moderator. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×