Masalah ekonomi negara bukan punca kejatuhan ringgit

Masalah ekonomi negara bukan punca kejatuhan ringgit

NILAI ringgit yang rendah menyebabkan harga barangan import semakin mahal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejatuhan ringgit ketika ini bukannya disebabkan oleh masalah ekonomi yang dihadapi negara, namun didorong oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, AS meningkat kadar faedah bagi mengatasi masalah inflasi di negara itu yang menjadi punca utama kejatuhan ringgit dan mata wang asing yang lain.

Katanya, situasi ketika itu berbeza dengan krisis kewangan Asia pada 1998 yang mana banyak pengeluaran modal dan kejatuhan eksport yang membawa kepada penyusutan ringgit.

“Sudah tentu penyusutan ringgit terutamanya ketika ini yang sudah mencapai lebih RM4.5 akan membawa kepada cabaran dalam ekonomi. Ini akan menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dan inflasi kerana banyak barang makanan adalah diimport.

“Oleh itu, banyak barangan asas akan naik harga seperti daging lembu, kambing dan makanan import yang lain. Ini pasti akan memberi kesan kepada kos sara hidup isi rumah.

“Jadi, apa yang dikatakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah benar dan kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Muhyiddin dalam hantaran Facebook miliknya kelmarin berkata, kerajaan tidak memandang serius isu kejatuhan nilai ringgit kerana masih tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil untuk membendung masalah tersebut.

Menurutnya, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.

Sementara itu, Kim Leng berkata, bagi meredakan tekanan kenaikan harga barangan tersebut terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah, kerajaan boleh memberikan subsidi kepada pengeluar barangan makanan supaya harga dapat diturunkan.

“Subsidi sementara diperlukan untuk tempoh antara enam hingga setahun bagi mengurangkan kos ini. Selepas tempoh itu, mungkin kerajaan dapat membuat penilaian sama ada harus diteruskan atau tidak.

“Dengan penyusutan ringgit, pendapatan eksport negara semakin baik. Jadi mereka mampu membawa lebih banyak cukai yang boleh digunakan untuk mengimbangi masalah inflasi makanan,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika kemelesetan ekonomi diukur dari segi penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia tidak akan berlaku kepada Malaysia untuk tahun ini kerana negara dijangka mencatat pertumbuhan antara 5.5 ke 6.5 peratus.

“Seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pertumbuhan KDNK setiap suku tahun kekal positif.

“Selain itu, kadar pengangguran juga semakin menurun, jumlah eksport kekal positif dan meningkat, akaun semasa dan imbangan dagangan masih positif, indeks pengeluaran juga positif di samping harga komoditi seperti minyak petroleum kekal tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×